|
| TEKS teater Mana Setangginya karya Sasterawan Negara, Datuk Noordin Hassan, 80, sudah disiapkan sejak 1999 khusus untuk dipentaskan pada perasmian pembukaan Istana Budaya (IB). Namun atas beberapa faktor, ia tidak jadi dipentaskan. |
Selepas teks itu terperap hampir 10 tahun, baru kini Mana Setangginya akan menemui khalayak apabila dipentaskan di kompleks kesenian terulung itu pada 13 hingga 21 Jun ini, jam 8.30 malam. Tiket berharga RM30, RM50, RM70 dan RM100. Teks Mana Setangginya ini sudah dibukukan Dewan Bahasa dan Budaya.
Oleh kerana ia teks besar dan penting, Zaifri Husin yang dipertanggungjawakan mengarah pementasan itu sedang membuat persediaan rapi.
Zaifri sendiri menyifatkan teks Mana Setangginya sangat istimewa dengan jalan cerita universal dan biasa berlaku dalam masyarakat seluruh dunia.
"Apabila diminta mengarahkan teater ini, saya gembira tetapi susah hati takut tidak dapat memenuhi kehendak peminat Datuk Noordin kerana kebanyakan karyanya yang dipentaskan sebelum ini berjaya. Peminat seni teater pasti hendak melihat sejauh mana saya boleh mempersembahkan teater ini.
"Saya mengenali Datuk Noordin pada 1993 ketika saya mula bekerja dengan Kompleks Budaya Negara yang kemudian ditukar nama kepada Panggung Negara.
"Saya amat mengkagumi karya beliau malah pernah berlakon dalam pementasan teater yang ditulisnya, Selendang Umi dan Tiang Seri Tegak Berlima. Tetapi berlakon tidak sama mengarahkan karya beliau.
"Teks dihasilkannya menggunakan bahasa lain daripada yang lain dan penuh falsafah, pembaca biasa mungkin sukar memahami penulisannya. Penonton yang akan menyaksikan pementasan teater ini pula bukan saja ingin menikmati persembahan itu malah ingin merasai sendiri keindahan teks itu.
"Kalau khalayak biasa mereka hanya melihat pementasan itu seperti biasa, tetapi pencinta teater dan golongan intelektual mahu lebih daripada itu. Pun begitu agar semua yang menonton dapat memahami teks itu dengan lebih jelas saya akan terjemahkan teks itu dalam bentuk agak mudah tanpa meminggirkan nilai sasteranya.
"Sebenarnya ini kali kedua saya mengarahkan teks teater Datuk Noordin. Pementasan pertama berjudul Sarah, tetapi teks kali ini lebih mendebarkan saya. Oleh itu saya membuat banyak kajian," katanya yang ditemui selepas sidang media Mana Setangginya di IB, baru-baru ini.
Mengenai pelakon teater itu, jelas Zaifri pelakon sudah dipilih tetapi keputusan akhir akan ditentukan jawatan kuasa pementasan teater itu. Kemungkinan akan diambil seorang dua pelakon popular untuk menarik orang ramai menyaksikan teater itu.
"Sepatutnya pementasan ini dibuat pada penghujung tahun ini, tetapi IB minta ia dipercepatkan. Datuk Noordin pun sekarang tak berapa sihat sebab itu beliau tidak dapat hadir ke sidang media teater ini," katanya.
Mana Setangginya berkisar kepada perkampungan nelayan di tepi pantai. Penduduknya menyara hidup dengan memerangkap ikan dan menjual hasil pokok setanggi. Nelayan dilarang menangkap ikan pada Sabtu, iaitu hari beribadat.
Kumpulan nelayan yang derhaka di bawah pimpinan Hawar sudah berpindah ke bukit. Walaupun hidup mewah, mereka melanggar perintah. Kedatangan Uzza selaku orang asing membawa falsafah baru dalam kehidupan mereka.
Juda anak Hiwar mengahwini kekasihnya, Iriam anak kepada Ibra. Tetapi Silbi dan Subhat menabur fitnah akan asal-usul Iriam. Juda bermuka-muka akan kebaikannya untuk mengaburi penduduk kampung. Lantaran itu, dia dan ayahnya mahu kampung nelayan yang bertaburan mengiktiraf kedudukan mereka sebagai raja. Yang ingkar akan diserang. Mereka menguasai kampung ini dan berkehendakkan segala tangkapan hendaklah dijual kepada mereka. Paderi yang menasihatkan Hawar dan Juda ditangkap Uzza. Manakala Ibra dan Iriam yang datang untuk membebaskan paderi dikenakan syarat 10 bakul ikan sebagai tebusan. Iriam juga diserahkan kepada Uzza dengan persetujuan Juda.
Tiba-tiba turun ribut dahsyat. Belut gergasi yang dibela Uzza makan tuannya serta membunuh Hawar. Akhirnya Juda pun menemui sodom wa gamurahnya. Moral cerita ini, memang benar manusia dijadikan pada tahap tinggi, tetapi dia akan kembali kepada Tuhannya dalam keadaan serendah-rendahnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: