
PERTANDINGAN nyanyian karaoke sememangnya sudah sinonim dengan majalah Hai. Sudah berkali-kali menganjurkan pertandingan itu khas kepada pembacanya, Hai yang ingin mengekalkan tradisi karaoke kembali dengan Suara Karaoke Hai.
Bukan sahaja merupakan acara yang boleh mendekati serta menghargai pembacanya, majalah Hai juga ingin menggunakan platform ini untuk mencari bakat baru yang boleh menyanyi. Walaupun kali terakhir dianjurkan pada empat tahun lalu di Menara Kuala Lumpur, majalah Hai berharap aktiviti karaoke itu akan dijalankan setiap tahun.
"Red Box telah memilih Utusan Karya Sdn. Bhd., (UKSB) sebagai media untuk bekerjasama. Maka, dari pihak UKSB
pula kami memilih majalah Hai kerana majalah itu sudah sinonim dengan pertandingan karaoke," kata Pengarang Kanan Unit Majalah Hiburan UKSB, Noor Joha Ahmad ketika ditemui pada majlis mempromosikan pertandingan itu.
Hanya menerima 200 peserta di kelima-lima lokasi iaitu di Johor Bahru, Klang, Seremban, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, pertandingan itu akan diadili oleh editor hiburan dan juga barisan artis. Kesemua peserta juga diperlukan untuk menyampaikan lagu yang telah ditetapkan.
"Pendaftaran dibuka pada pukul 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari. Pusingan saringan akan dijalankan pada pukul 12 tengah hari hingga 4.30 petang. Sementara, pusingan separuh akhir pula akan berlangsung pada 5 petang. Daripada kelima-lima lokasi, seramai 20 orang akan dipilih di setiap lokasi.

"Namun, daripada 100 peserta itu, hanya 15 sahaja yang layak untuk berentap pada pusingan akhir yang akan berlangsung pada bulan November nanti. Lokasi pertandingan akhir akan diberitahu nanti," kata Joha lagi.
Ditaja oleh Jamu Mak Dara dengan kerjasama Red Box, pemenang utama pada pusingan akhir akan menerima wang tunai sebanyak RM5,000. Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM3,000 dan RM2,000.
Sementara itu, pemenang pada pusingan separuh akhir akan menerima wang tunai RM200 bagi pemenang tempat pertama. Peserta tempat kedua dan ketiga akan membawa pulang RM150 dan RM50.

"Ini merupakan kali pertama kami bekerjasama dengan pihak media. Kami sebenarnya ingin menyalurkan mesej bahawa karaoke itu satu aktiviti yang sihat. Majalah Hai mampu membantu kami untuk mempromosi serta memberikan mesej sihat kepada sasaran pelanggan kami.
"Kami di Red Box juga akan membantu mempromosikan majalah Hai. Maka, ini adalah kerjasama yang memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak. Kami amat teruja dengan kerjasama ini," kata Pengarah Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Red Box, Desmond Chin yang turut menghadiri majlis itu.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Pengarang Majalah Utusan Karya Sdn. Bhd., Badrul Azhar Abdul Rahman, Editor Hai, Emma Hassan dan Pengarah Urusan Jamu Mak Dara, Syed Muhammad Gadaffi Syed Ali.
Mereka yang ingin menyertai perlu merupakan warganegara Malaysia dan berumur antara 13 hingga 30 tahun. Peserta juga perlu menyampaikan lagu-lagu yang disenaraikan seperti di bawah:
*Matahariku (Agnes Monica)
*Bertaktha Di Hati (Farahdiya)
*Kalis Rindu (Elyana)
*Bunga-bunga Cinta (Misha Omar)
*Rama-rama (Ella)
*Kesetiaan (Siti Sarah)
*Terlalu Istimewa (Adibah Nor)
*Hanya Kau Yang Mampu (Aizat)
*Ketahuan (Matta)
*Seribu Tahun (Imran Ajmain)
*Kau Yang Bernama Seri (Handy Black)
*Bila Rasaku Ini Rasamu (Kerispatih)
*Mahligai Syahdu (Hattan)
*Pelangi Petang (Sudirman)
*I'm Yours (Jason Mraz)
*When You Say Nothing At All (Ronan Keating)
*Because Of You (Kelly Clarkson)
*Beautiful (Christina Aguilera)
*Flying Without Wings (Westlife)
*I Will Always Love You (Whitney Houston)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: