Friday, May 15, 2009

'Lentera Timur' tetap meriah


SEPI publisiti, namun pertandingan akhir Anugerah Irama Malaysia 'Lentera Timur' dijangka tetap meriah. Pertandingan yang bakal diadakan di Tesco Aim Point Plaza Banting, Selangor, pada 19 Mei ini, jam 8 malam, menjadi medan untuk lapan peserta berentap sebelum menjuarai pertandingan itu.

Pengerusi Belia Persatuan Kelab-kelab Belia (MAYC) Kebangsaan, Rozana @ Ojane Kamarulzaman berkata, Anugerah Irama Malaysia anjuran Rakan Muda Seni Budaya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Siti Nurhaliza Production (SNP) pernah mencungkil penyanyi terkenal, Farawahida.

"Ingin saya jelaskan format pertandingan ini persis Akademi Fantasia (AF), di mana bekas guru vokal AF, Siti Hajar Ismail dan Maziah Selamat ditugaskan sebagai tenaga pengajar peserta.

"Kami di MAYC memberi peluang kepada belia bergiat aktif dalam semua bidang seni justeru itulah tercetusnya pertandingan ini. Jawatankuasa pertandingan pula terdiri daripada ahli Rakan Muda sekitar Lembah Klang. Bagi kami pendedahan ini amat berguna kepada mereka kelak," katanya.

Ojane berkata, pertandingan tiga tahun sekali ini mendapat sokongan dari penghibur tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Selaku pencetus idea, Anugerah Irama Malaysia mengambil sepenuh judul album Siti seperti Anugerah Nirmala, Anugerah Prasasti Seni dan terbaru, Anugerah Lentera Timur.

Untuk kemuncak pada 19 Mei ini, juri yang bakal mengadili Siti Hajar dan Maziah selain penyanyi bersuara lunak juga adik komposer Jari, Adillah Idris dan komposer Khairil Johari Johar.

Peserta lelaki terdiri daripada Mohd Rizal Ahmad, 35, (lagu Madah Berzaman), Saufi Saifullah Abdullah, 24, (Seni Berzaman), Mohd. Amirol Husni Mustapa, 16, (Inang Bujang dan Dara), dan Asri Sabarudin, 18, (Gerimis Di Lautan).

Peserta wanita pula diwajibkan menyanyikan lagu Siti Nurhaliza antaranya Ain Natasha Zainudin, 18, (membawakan lagu Di Kayangan Kita), Rosmah Sangari, 34, (Di Taman Teman), Nor Mazita Norhizlan, 24, (Bulan Mesra), dan Rizaida Mohd Salleh, 28, (Joget Menanti Kasih).

Pengerusi MAYC kebangsaan, Suraya Yaacub dijangka hadir pada malam itu selain Siti Nurhaliza. Juara pertandingan beroleh Trofi Datuk Siti Nurhaliza, wang tunai RM 1,500, sijil dan hamper.



Tempat kedua dan ketiga hanya dibezakan nilai wang tunai iaitu masing-masing RM 1,000 dan RM 700. Hadiah persembahan terbaik juga disediakan yang menawarkan wang tunai RM 300 dan trofi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: