![]() |
| KAMAL, pelakon Bio-Nik yang sangat obses dengan watak adi wira. |
NAMANYA masih baru dalam dunia hiburan tempatan. Namun wajahnya kini banyak terpampang di dada akhbar dan majalah juga skrin televisyen.
Bakat lakonannya sudah terbukti dalam drama-drama seperti Zati Dan Si Mawas, Impian Sunsilk dan Renjis 2. Siri televisyen terbarunya, Bio-Nik menyaksikan dia dihidupkan semula daripada koma menjadi manusia separuh robot yang memiliki tenaga yang luar biasa.
Begitulah hebatnya pemilik nama Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli ini. Selain berlakon, dia juga terlibat dalam bidang pengacaraan dan peragaan.
![]() |
| |
Bagaimanapun, kalau dah namanya dunia hiburan, gosip peribadi agak sukar ditolak tepi. Terbaru, juara Hero Remaja ini semakin panas diterpa gosip dengan pasangannya dalam drama terbitan KRU Studios, Bio-Nik, Intan Ladyana.
Malah ada yang mengatakan dia punca kepada perpisahan Intan dengan bekas kekasihnya, Kevin Zahri. Tapi ramai yang tidak tahu hati Kamal sudah pun dimiliki oleh seorang personaliti stesen televisyen. Malah perhubungan mereka kini sudah menjangkau usia empat tahun.
Memberi respons mudah, Kamal mengatakan dia dan Intan cuma kawan biasa yang 'bercinta' di set penggambaran. Dan akuinya, dia masih lagi menyayangi buah hatinya yang dikenali sejak di kolej lagi.
Enggan berbicara lanjut, Kamal juga banyak mengelak dengan menyatakan dia sudah penat dan perlukan ruang untuk dirinya bernafas.
"Saya dah penat dengan soalan-soalan peribadi yang mengaitkan kisah cinta saya, pasangan saya dan sebagainya. Jadi kita lihat sajalah nanti perkembangannya. Apa yang penting sekarang ialah tuntutan karier saya. Selagi saya boleh pamerkan yang terbaik, saya akan teruskan," ujar Kamal.
MAWAS
Seronok bila pakai bulu untuk drama Mawas. Walaupun sangat panas tapi teruja bila dapat merasai sesuatu kejadian yang luar daripada sifat manusia. Teruk rasanya bila jadi binatang, seolah-olah tidak diterima manusia.
Itu satu pengalaman yang menarik buat saya. Lagipun sejak dulu lagi memang saya suka tengok cerita-cerita dongeng yang bukan bersifat manusia biasa.
ROBOT
Impian saya memang nak jadi superhero. Lagipun jarang ada cerita superhero yang berat dan serius di Malaysia. Yang paling saya suka bila jadi robot dalam Bio-Nik ialah masa saya berlawan dan buat aksi stunt sendiri. Ia sangat hebat!
BATMAN
Saya teringin nak jadi Batman. Sebabnya dia hero yang sangat kaya dan kuat selain kebaikan yang dia buat untuk membantu orang susah. Tapi yang paling penting kalau saya dapat jadi Batman, saya nak bawa ibu-bapa saya bersiar-siar menaiki kereta dia yang hebat tu!
KACAK
Anugerah Tuhan kepada saya. Walaupun dikategorikan sebagai kacak, saya akan pastikan ia digunakan dengan sebaiknya. Ini rezeki saya. Tapi kadang-kadang takut juga bila ada lelaki lembut yang mendekati. Tipulah kalau tak ada. Tapi yang penting kita pandai jaga diri.
PERAGUT
Saya benci peragut. Banyak kes yang dah berlaku sekarang. Kalaulah saya berhadapan dengan peragut, mungkin saya beranikan diri untuk kejar dia. Kalau setakat seorang dua, beranilah. Tapi kalau mereka ramai mungkin saya pun kena cabut untuk selamatkan diri.
SEGI TIGA BERMUDA
Saya pernah berangan nak pergi ke Segi Tiga Bermuda kalau saya ada kuasa untuk terbang. Teringin nak tengok apa yang ada di sana. Kalau tak dapat pergi situ singgah di Hawaii pun jadilah. Tak ada kawalan imigresen dan percutian yang percuma. Bila dah bosan baliklah Malaysia.
MENYANYI
Saya seorang yang sangat suka menyanyi di dalam tandas. Sebab saya rasa suara saya sedap sangat bila dalam tandas. Mak saya pun cakap sedap. Tapi bila dah keluar, jadi tak sedap. Sebab tu saya tak nak menyanyi depan orang.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: