Friday, May 22, 2009

Kutipan cerita daripada Taurat


PARA pelakon Mana Setangginya selepas sidang media teater itu di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


PANGGUNG Sari, di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, tidak pernah sepi dalam menganjurkan seni pementasan teater naskhah-naskhah penulis tempatan pada setiap tahun.

Terbaru, IB akan mementaskan teater naskhah popular hasil nukilan Sasterawan Negara, Datuk Noordin Hassan berjudul Mana Setangginya mulai 13 hingga 21 Jun ini pukul 8.30 malam.

Menariknya, teater itu bukan setakat pertama kali dipersembahkan di IB tetapi intipati jalan ceritanya juga difahamkan dipetik daripada kitab Taurat yang menjadi pegangan kaum Yahudi.

Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani ketika memberi responsnya berhubung isu itu berkata, beliau sudah bersedia dengan sebarang kritikan atas isi kandungan naskhah tersebut.

Katanya, isi kandungan jalan cerita Mana Setangginya bukan suatu perkara asing tetapi ia sudahpun diketahui ramai kandungannya sejak lebih 10 tahun lalu.

“Saya sudah bersedia dengan apa juga kritikan apabila teater ini dipentaskan kelak kerana jalan ceritanya begitu umum, relevan dan berlaku pada sepanjang zaman walau di mana juga.

“Kalau naskhah ini tidak sesuai, tentunya DBP (Dewan Bahawa dan Pustaka) tidak akan membenarkan ia dicetak. Kalau dilihat secara keseluruhan barulah kita akan dapati gambaran yang sebenarnya.

“Naskhah ini ada kelainannya dan ia tidak seperti karya Cikgu Noordin (Noordin Hassan) yang sebelumnya seperti Peran dan sebagainya,” katanya pada sidang media Mana Setangginya di IB, baru-baru ini.

Difahamkan Mana Setangginya mengambil lontaran permasalahan yang dipetik daripada kitab Taurat yang menjadi pegangan bani Israel ribuan tahun lalu termasuklah membabitkan isu politik.

Pengarah Mana Setangginya, Zaifri Husin pula menegaskan biarpun teater itu mempunyai pengaruh daripada Taurat tetapi ia telah dikaji kesesuaiannya untuk pementasan tersebut.

Jelasnya, tidak timbul isu kandungan daripada Taurat, sebaliknya beliau akan cuba menyesuaikan pementasan itu supaya ia tidak menyentuh sensitiviti masyarakat di negara ini.

“Memang dalam pementasan ini kita bukannya mahu bercerita tentang Islam kerana intipati naskhah ini diambil daripada kitab Taurat yang diturunkan lebih awal ribuan tahun sebelum turunnya al-Quran.

“Malah, penghasilan naskhah ini juga telah dikaji oleh Cikgu Noordin sendiri. Selain itu, saya juga akan menyesuaikan pementasan ini dengan keadaan politik yang sedang berlaku sekarang supaya tidak timbul konflik,” ujarnya.

Paparan jalan cerita Mana Setangginya jelas tidak banyak mengaitkan dengan unsur keislaman, sebaliknya turut menampilkan nama-nama watak yang wujud pada zaman era turunnya Taurat.

Sebagai contoh, antara watak-watak yang ditampilkan menerusi teater itu ialah Juda, Ibra, Uzza, Hawar, Silbi dan termasuklah watak seperti Sami dan Paderi agama zaman tersebut.

Bukan situasi di Malaysia

Tony Eusoff yang merupakan pelakon utama dalam Mana Setangginya berkata, beliau telah meneliti skrip naskhah itu sebelum menerima tawaran melakonkan watak Juda dalam teater tersebut.

Menurut Tony atau nama sebenarnya Anthony Joseph, daripada pemahamannya naskhah itu bukan dipetik berdasarkan situasi politik yang sedang berlaku di sini.

Sebaliknya, anak pribumi kelahiran Sarawak ini yakin mesej yang ingin disalurkan menerusi Mana Setangginya cukup relevan untuk dihayati oleh sesiapa, walau di mana dan pada bila-bila masa.

“Cerita naskhah ini bukannya dipetik berdasarkan situasi yang sedang berlaku di Malaysia. Ini kerana, masa dan tempat yang dikisahkan dalam cerita ini amat umum sifatnya.

“Banyak mesej yang boleh direnungkan daripada jalan cerita teater ini,” katanya yang menerima tawaran berlakon teater itu selepas dua tahun tidak terbabit dalam pementasan teater.

Tambah Tony, dia berasa teruja untuk meneruskan bakatnya dalam pementasan teater kerana tertarik dengan wataknya dalam naskhah itu yang dianggapnya sebagai suatu cabaran.

Apatah lagi ujarnya, teater sama seperti medium drama dan filem yang pernah diceburinya sebelum ini mampu memberi kepuasan kepadanya dalam menerjah lebih jauh dalam dunia lakonan.

“Antaranya, saya sudah gian untuk berlakon teater selepas dua tahun tidak berlakon atas pentas teater. Kali terakhir saya berlakon teater ialah menerusi bangsawan Naga Chini di IB.

“Selepas melihat jalan cerita Mana Setangginya yang sarat dengan falsafah, seni dan isu semasa yang agak ‘berat’ maka saya memang tertarik untuk terbabit dalam pementasan ini,” jelasnya.

Sementara itu, Sabrina Ali yang melakonkan watak Iriam yang pertama kali terbabit dalam pementasan teater cukup teruja untuk melakonkan watak tersebut.

Pelakon berdarah kacukan Pakistan dan Melayu itu membaca skrip Mana Setangginya lebih daripada tiga kali bagi memahami jalan cerita teater yang sarat dengan sindiran semasa.

“Saya membaca skrip teater ini banyak kali untuk memahami jalan ceritanya. Selepas itu barulah saya ‘membaca’ pula apakah watak yang akan saya lakonkan itu.

“Sama seperti berlakon drama sebelum ini, saya yakin dengan pengalaman yang ada dan saya mampu untuk melontarkan suara saya dengan baik semasa melakonkan watak Iriam,” katanya.

Pengacara rancangan televisyen Sihat, Cergas dan Cerdas ini juga tidak berasa tertekan untuk menghayati watak utama dalam Mana Setangginya walaupun ia merupakan percubaan pertamanya dalam medium lakonan tersebut.

Teater itu sepatutnya dipentaskan semasa pembukaan IB pada tahun 1999 tetapi kerana masalah yang tidak dapat dielakkan ia terpaksa ditangguhkan sehinggalah ia dipentaskan di pentas bertaraf dunia itu bulan depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: