Friday, May 15, 2009

Kumpulan Black Dog Bone masih bersinar

Terpegun, itulah apa yang dapat penulis katakan bila melihat sendiri kehebatan persembahan kumpulan rock veteran, Black Dog Bone (BDB) yang cukup popular dengan lagu Gadis Ayu. Bagai mengimbas kembali kegemilangan lagu era 70-an, kehilangan hampir 30 tahun kumpulan kelahiran Singapura ini memang dinantikan peminat. Mereka nyata tidak menghampakan ketika mengadakan persembahan hebat sempena sambutan Hari Ibu di Istana Budaya, baru-baru ini.

“Kalau mengikut peringkat umur saya, semua lagu susah untuk dinyanyikan tetapi saya cuba yang termampu dan terdaya. Saya berdoa moga kesihatan saya sentiasa konsisten. Saya tidak mempunyai apa-apa rahsia kerana muzik merupakan ‘passion’ saya. Sebagai pemuzik dan penyanyi, fokus saya adalah untuk menghiburkan penonton apabila berada di atas pentas.

“Ikutkan dalam semua lagu saya akan bermain dram tetapi sama ada menyanyi sambil bermain dram atau tidak, kedua-duanya saya suka. Yang penting dapat menghiburkan penonton,” kata penyanyi utama BDB, Jatt.

Kesemua penonton yang hadir ke konsert tersebut bagaikan terpukau dengan persembahan sehinggakan setelah selesai persembahan pun penonton yang hadir tidak mahu meninggalkan tempat duduk masing-masing.

“Saya menyanyikan 18 buah lagu kerana masa yang terhad biarpun pada mulanya kami menjangkakan untuk mempersembahkan 20 lagu. Saya rasa kami telah berikan seratus peratus yang termampu dan kami gembira melihat penonton begitu terhibur walaupun ada sedikit masalah yang timbul,” ujar Jatt yang berjaya menggamatkan Panggung Sari apabila menjemput beberapa penonton menari bersama ketika mengalunkan lagu Joget Hati Jujur dan Joget Bujang Di Rantau.

Selain Jatt, konsert yang berlangsung selama dua jam 20 minit ini turut disertai oleh Masrom Ali, Hamid Ahmad, Michael Heng dan James Chai. Turut ditampilkan, penyanyi Jay Jay dan pemain seruling, Rahim Othman dan Orkestra Simfoni Kebangsaan yang dipimpin oleh muzik Mustafa Fuzer Nawi.


Jay Jay terkilan

“Saya tiada masalah untuk berduet dengan Jatt tetapi disebabkan masalah teknikal dan sedikit ‘adjustment’, kami tidak dapat melakukannya. Saya rasa ini disebabkan masalah mikrofon dan monitor yang tak boleh ‘terima’ bunyi seruling kerana ia menggunakan angin,” ujar Rahim Othman yang kelihatan kurang berpuas hati dengan kualiti bunyi lagu Mission Imposible, Doa dan Untukmu Ibu.

Jay Jay pula meluahkan rasa terkilan kerana tidak dapat membuat persembahan bersama kumpulan Carefree. Begitu pun, dia tetap menghiburkan penonton dengan persembahan yang mengasyikkan menerusi Dendangan Laguku, Bayangan Tarimu, Cukuplah Sekali, Belaian Jiwa, Kini Baru Kau Sedar, Rindu Bayangan dan Joget Angan Tak Sudah.

“Walau apa pun terjadi, saya tetap akan menyanyi dan terus menyanyi kerana bidang nyanyian merupakan punca rezeki saya,” kata penyanyi hebat ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: