| CERITA legenda Bawang Putih Bawang Merah cukup popular di kalangan masyarakat. Bukan hanya meninggalkan kesan tersendiri malah memaparkan kisah pengajaran buat penonton. Ia menjadi inspirasi kepada Radius One Production Sdn Bhd untuk menghasilkan drama bersiri Merah Puteh. |
Jika sebelum ini kisah berkenaan memaparkan kehidupan dan perkelahian antara adik-beradik tiri wanita. Begitupun berbeza untuk siri Merah Puteh versi moden 20 episod yang disiarkan menerusi slot Legenda jam 4.30 petang di TV3 dan 8.35 malam (TV9) setiap Isnin hingga Khamis bermula 7 April lalu.
Penonton bukan saja dibawa mengikuti kisah kehidupan adik-beradik tiri lelaki malah hubungan mereka akrab walaupun berlainan ibu.
Hasil kreativiti pengarah muda yang pernah mencurah keringat menerusi drama Sindarella iaitu Isma Yusoof, drama ini menampilkan karakter lelaki sebagai pelakon utama.
Malah bukan saja karakter utama, tetapi inti pati dan kisah keseluruhan drama itu juga diubah mengikut kesesuaian. Kunjungan Rap di lokasi penggambaran di Shah Alam menyaksikan kru penerbitan yang ditunjangi pengarahnya Isma Yusoof sedang menyiapkan beberapa babak akhir drama berkenaan.
Menurut Isma sendiri idea untuk menghasilkan drama legenda berkenaan sudah lama dirancang oleh pihak produksi itu. Kesempatan itu terlaksana apabila TV3 bersetuju untuk menyiarkan drama berkenaan dalam slot Legenda.
"Apabila menyebut cerita legenda pasti orang akan mengaitkannya dengan magik dan pari-pari. Begitu juga garapan yang cuba ditampilkan menerusi drama ini. Memandangkan watak utama dalam drama ini ditunjangi pelakon lelaki justeru apa salahnya jika ubah sikit jalan ceritanya supaya ia menjadi lebih menarik dan berbeza dari apa yang pernah dipertontonkan sebelum ini.
"Jika dalam versi Indonesia wujud watak pari-pari, dalam Merah Putih juga ada watak sedemikian tetapi saya gantikan dengan watak witch yang bernama Mulan Marishka. Cuma watak 'witch' itu tidaklah tipikal seperti memakai jubah hitam dan mengamalkan jampi serapah," katanya.
Sebelum ini, Isma kerap terbabit dalam tugas di belakang tadbir berbesar hati kerana diberi kepercayaan oleh pengurusan Radius One serta penerbitnya, Shahrul Ezad Mohameddin atau Ezad untuk mengarahkan drama itu.
Dia turut terbabit dalam penggambaran telemovie, Sutun sekitar 2002 seterusnya kerap bersama Radius One selain menuntut ilmu bersama Ezad ketika menjayakan drama seperti Seputeh Kasih, Kerana Cintaku Saerah dan Emil Emilda.
| |
Menurutnya, walaupun pertama kali mengarah namun dia bersyukur kerana mendapat bantuan sokongan daripada mereka yang mahir dalam bidang itu. Malah kehadiran Megat Sharizal Mohamed Yusoff sebagai pengarah bersama juga banyak membantu dalam penggambaran itu.
| |
"Kalau ikutkan memang saya tidak ada keyakinan untuk mengarah. Namun selepas difikir dalam-dalam mengenai peluang dan kepercayaan diberikan oleh pihak pengurusan terutama Ezad tidak mungkin saya dapat melepaskan peluang untuk mengarahkan drama ini. Begitupun saya tetap menganggap diri masih kecil dan dalam proses belajar.
"Justeru saya berasa sangat bertuah kerana mempunyai pasukan penggambaran yang baik. Malah tidak timbul masalah untuk berkerja sama kerana sudah kenal agak lama ketika terbabit dalam penggambaran terdahulu," katanya.
Mengulas lanjut mengenai drama itu. Isma memaklumkan drama itu masih mengekalkan beberapa ciri cerita legenda begitupun perubahan dilakukan mengikut kesesuaian watak dan penceritaannya.
Drama ini turut membariskan ramai pelakon muda dan semakin meningkat naik seperti Ellyas, Zahiril, Wan Sharmila, Dira Abu Zahar, Ainul Aishah Tania Zainal dan Nadia Aqilah.
Merah Puteh mengisahkan kehidupan Izwan dan Nazlee, dua beradik tiri berlainan ibu. Izwan seorang remaja lelaki yang suka berlawak, ceria, peramah, aktif dan agresif. Nazlee pula mempunyai karakter yang begitu berbeza. Dia seorang pendiam dan suka menyendiri.
Merah dan Puteh sentiasa menyokong antara satu sama lain lebih-lebih lagi Puteh yang sentiasa mendapat layanan buruk ibu tirinya, Datin Mastura yang sebenarnya berdendam dengan ibu Puteh, Rahayu, isteri kedua Datuk Jehan.
Walaupun Rahayu sudah meninggal dunia, dengki Datin Mastura tidak pernah terpadam terutama apabila dia mendapat tahu Datuk Jehan hendak membahagikan sama rata harta antara dua beradik itu. Konflik menjadi bertambah kusut apabila muncul seorang gadis bernama Anggun dalam hidup dua beradik itu.
DRAMA BERSIRI: Merah Puteh
TERBITAN: Radius One Production Sdn Bhd
PENGARAH: Isma Yusoof
PENGARAH BERSAMA: Megat Sharizal Mohamed Yusoff
PENOLONG PENGARAH: Bahri Umararif Bajuri
PENGURUS PRODUKSI: Safrina Mohd Bakri
PENOLONG PENGURUS PRODUKSI: Saliza Jainan
JURU KAMERA: Mohd Reduan A Manaf
KRU TEKNIKAL: Rosmani Ahmad, Rushaidi Hamid, Che Mokhtar Che Wan, Shahrul Nizam Mohd Sarif
PROPMASTER: Muhamad Fardlee Ramli
PEMBANTU PROPMASTER: Muhamad Fazreil Muslim, Meor Farhan Nekmat, Muhamad Azreen Rahman
PEMBANTU PRODUKSI: Mohd Razak Mohd Sukini, Norhamizah Abd Halil Pembantu
KONTI: Kalsom Saad
WARDROBE: Norazila Nan
JURUSOLEK: Mohd Hafezee Zainal
PELAKON: Wan Ellyas sebagai Puteh, Mohd Zahiril Adzim (Merah), Dira Abu Zahar (Anggun), Tania Zainal (Datin Mastura), Nadia Aqilah Bajuri (Mulan Marishka), Shaharuddin Tambi (Datuk Jehan), Ridzuan Hashim (Datuk Yusoff), Ainul Aisyah (June), Wan Sharmila (Iman), Norish Ali (Hana), Hairul Azreen (Beego) dan Tasha Aziz (Hamidah).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: