| MARAK...kilang tilam terbakar lagi tengah hari semalam. |
KLANG: Selepas dimamah api kelmarin, kilang tilam di Jalan Haji Abdul Manan Off Jalan Meru, dekat sini, terbakar sekali lagi semalam.
Kebakaran kali kedua itu menimbulkan tanda tanya sama ada ia perbuatan khianat atau sebaliknya.
Dalam kebakaran kira-kira jam 1 tengah hari semalam, hampir 70 peratus kilang itu musnah, tetapi tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.
Kebakaran kali kedua itu dikesan bermula di tingkat satu kilang dua tingkat itu sebelum merebak membakar hampir keseluruhan bangunan membabitkan kerugian mencecah jutaan ringgit.
| |
Pekerja kilang terbabit, Rafeah Mokhtar, 48, berkata ketika kejadian hanya tinggal dia dan rakan, Robiah Othman, 43, di kantin di tingkat satu, manakala semua pekerja lain keluar rehat.
| |
“Ketika itu saya sedang bersiap untuk solat selepas selesai makan. Saya juga buka sedikit tingkap kerana bau kebakaran semalam (kelmarin) belum hilang.
“Tiba-tiba saya lihat kepulan asap hitam memenuhi ruang atas kilang sebelum saya menarik tangan Rubiah untuk melarikan diri,” katanya, semalam.
Katanya, beg pakaian yang mengandungi wang tunai serta dokumen penting miliknya gagal diselamatkan.
“Sebelum kejadian saya sebenarnya sudah tidak sedap hati kerana semalam (kelmarin) kilang sudah terbakar. Tapi saya terpaksa duduk di kantin kerana tiada kenderaan untuk keluar.
“Tapi tak sangka ia terbakar kali kedua,” katanya.
Difahamkan ketika kejadian terdapat kira-kira 150 pekerja di kilang terbabit.
Penguasa Bomba dan Penyelamat, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Farhan Sufyan Borhan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Unit Siasatan Bomba dan Penyelamat yang berada di situ untuk membuat siasatan lanjut kebakaran, kelmarin.
Katanya, pihaknya menerima panggilan jam 1.19 tengah hari dan lima jentera bersama 70 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat dari Shah Alam, Klang Utara, Klang Selatan, Pelabuhan Klang dan Petaling Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Ketika kami tiba, api sedang marak membakar hampir keseluruhan kilang terbabit, tapi dengan kepakaran yang kita ada berjaya mengawal kebakaran.
“Api dapat dikawal jam 1.30 tengah hari dan kebakaran dapat dipadam sepenuhnya dalam tiga jam.
“Dalam kebakaran kelmarin kerugian dianggarkan RM5 juta, tapi dalam kebakaran semalam kita jangka kerugian akan meningkat berikutan hampir keseluruhan kilang musnah,” katanya menambah punca kejadian masih dalam siasatan.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mad Yusop yang turut berada di lokasi kejadian berkata, kelmarin bahagian stor dan mesin terbakar manakala semalam hampir semua kilang yang berkeluasan dua hektar terbakar.
“Kita akan buka kertas siasatan. Bagaimanapun kami akan tunggu laporan bomba,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: