TIRAI panggung sudah pun dilabuhkan. Pencarian untuk menobatkan mereka yang layak dengan gelaran terbaik juga sudah terjawab.
Setahun mencari dan menilai karya terbaik untuk diangkat ke peringkat tertinggi semuanya terlerai apabila Anugerah Industri Muzik Ke-16 (AIM 16) berlangsung dengan penuh meriah malam Sabtu lalu.
Biarpun ramai yang mengatakan iklim industri muzik tidak lagi sehangat dulu tetapi AIM sebenarnya membuktikan bahawa industri muzik tempatan masih lagi bernyawa.
AIM masih lagi mampu memperlihatkan kecemerlangan anak-anak seni tempatan baik yang muda mahupun senior bersaing hebat untuk merangkul kejuaraan yang diidamkan oleh semua karyawan seni.
Bukan juga untuk membuktikan siapa lebih hebat dan cuba untuk menidakkan kuasa muzik masing-masing, hakikatnya AIM lebih daripada itu.
Pelbagai kisah yang dicanangkan tentang AIM tetapi selama 16 tahun berdiri sebagai acara muzik yang paling berprestij dan gah di negara ini sudah cukup membuktikan bahawa AIM bukan sembarangan anugerah.
Peluang terus diberikan kepada muka baru dan lama untuk mempersembahkan dan mengalunkan karya masing-masing bagi menunjukkan kepada peminat muzik tempatan yang sebenarnya kita mempunyai bakat-bakat terbaik.
Cuma peluang itu kadang-kala tidak ada selain kerenah birokrasi serta pandangan skeptikal sesetengah pihak yang membuatkan industri kita tidak mampu untuk bangkit dan menjadi meriah seperti dulu.
AIM 16 juga membuka pintunya dengan lebih luas biarpun kontroversi tidak pernah lekang daripada penganjurannya saban tahun.
Tunduk kepada kehendak pasaran muzik semasa yang kini lebih mempertaruhkan single dan kandungan digital, AIM mengorak setapak lagi apabila mula memberikan pengiktirafan kepada medium baru ini.
Setidak-tidaknya, ia dilihat mampu memeriahkan industri hiburan tanah air dan membuka peluang kepada semua anak seni untuk mempertaruhkan hasil karya masing-masing.
Tetapi harus diingat apabila pintu itu sudah dibuka, janganlah pula tidak menitik beratkan aspek kualiti dan menghasilkan karya yang asal boleh.
Untuk menembusi tembok kebal AIM bukannya mudah kerana AIM satu-satunya anugerah di negara ini yang begitu mementingkan kualiti. Ia tidak bersandarkan kepada populariti semata-mata lantas menjadikan AIM begitu istimewa.
Mungkin agak menyedihkan apabila bilangan album kini jatuh merudum dan tidak sehebat sedekad yang lalu. Namun kesan kelukaan itu diubati dengan kehadiran media baru yang mampu menjadi pemangkin kepada masa depan industri hiburan kita.
Namun begitu, kesungguhan anak seni tempatan yang tidak pernah lelah berusaha menghasilkan album cukup wajar dipuji.
Cadangan Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) agar kerajaan menghulurkan bantuan menerusi pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM10 juta setahun juga dianggap sesuatu yang perlu diberi perhatian.
Apatah lagi, AIM mendapat sokongan sepenuhnya dan diiktiraf oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia.
Dengan cadangan itu, ia setidak-tidaknya mampu menyuntik semangat anak seni tempatan untuk terus menghasilkan muzik dan album yang berkualiti.
Apa yang mereka mahukan sebenarnya adalah untuk membuktikan jiwa mereka masih lagi kental melahirkan karya dan album untuk meneruskan kesinambungan karier mereka di dalam industri.
Dalam hal ini, album Lentera Timur milik penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza yang diangkat sebagai Album Terbaik AIM 16 boleh dianggap contoh terbaik.
Mungkin sesuatu yang mengejutkan apabila Lentera Timur diumumkan sebagai Album Terbaik kerana ramai yang meramalkan album Misha Omar milik Misha Omar, Hujan (Hujan) atau OK (Malique) yang akan menggenggam gelaran itu.
Buangkan segala prasangka ataupun pandangan sinis yang mengatakan AIM sengaja mahu mengiktiraf Lentera Timur. Alasannya, muzik etnik semakin dipinggirkan atau sebagai membalas pengorbanan Siti yang mahu terus memperjuangkan irama pop etnik.
Bukan untuk memuji melangit tetapi Lentera Timur menghidangkan muzik pop etnik dalam erti kata sebenar biarpun album itu mendapat kritikan yang pelbagai daripada pengkritik.
Muzik etniknya masih lagi kental dan tebal biarpun disulami dengan muzik yang lebih kontemporari sesuai dengan kehendak pasaran muzik semasa. Itulah yang mahu terus diperjuangkan Siti.
Inilah yang dikatakan pembaharuan yang wajar dijadikan contoh dalam melahirkan karya yang berkualiti untuk terus melihat muzik kita bergerak pantas dan maju seiring dengan arus modenisasi hari ini.
Selain itu, Lentera Timur yang turut dinobatkan sebagai Album Pop Etnik Terbaik juga lengkap segala rencah dengan susunan muzik yang cemerlang dan persembahan vokal yang hebat. Bukan itu sahaja, malah kualiti komposisi muzik yang dihasilkan oleh 10 komposer berbeza yang menepati kriteria untuk juri mengangkatnya sebagai Album Terbaik.
Dalam perkembangan lain, AIM 16 juga menyaksikan kebangkitan kuasa-kuasa baru industri muzik yang telah memberikan ledakan yang luar biasa sejak kehadiran mereka di dalam industri.
Nama-nama seperti Aizat, Hujan dan Meet Uncle Hussain diangkat serta diktiraf apabila mereka berjaya mengenepikan nama-nama besar lagi hebat yang turut sama tercalon dalam kategori yang dipertandingkan.
Kehadiran mereka di dalam industri adalah sebagai satu signal untuk membuktikan kehadiran mereka bukanlah sekadar penyeri tetapi serius untuk memperjuangkan nuansa mereka demi industri hiburan kita.
Mereka ini adalah pelapis negara yang sewajarnya diberi perhatian kerana mereka inilah yang mampu untuk mengangkat nama negara ke peringkat lebih tinggi jika diberi peluang.
Tetapi itu tidak bermakna muka lama dipinggirkan kerana mereka yang lebih senior ini merupakan permulaan segala-galanya apabila membicarakan tentang revolusi muzik tempatan.
Artis senior juga perlu melihat senario ini sebagai satu yang cukup positif kerana kehadiran pengkarya muda bukanlah untuk menenggelamkan mereka tetapi adalah untuk menyambung legasi yang telah tercipta.
Peluang ini harus digunakan sebaik-baiknya untuk sama-sama mencurahkan idea kreatif masing-masing untuk menghasilkan karya yang lebih dinamik. Lihat sahaja fenomena yang tercetus daripada gabungan idea Malique dan M.Nasir yang menghasilkan Mentera Beradu.
Apa yang lebih membanggakan untuk melihat karya yang dihasilkan oleh anak seni daripada kaum lain seperti Cina dan India yang turut sama-sama bersaing dan memeriahkan industri hiburan tanah air.
AIM berjaya menghasilkan impak yang luar biasa apabila pertama kali membuka peluang kepada mereka tahun lalu menerusi kategori yang dipertandingkan khusus untuk mengiktiraf hasil kerja mereka.
Pentas AIM menjadi saksi bahawa muzik mereka juga mempunyai kualiti yang boleh dibanggakan dan kita bertuah dengan adanya pemuzik bangsa lain yang tidak pernah lekang dengan idea kreatif.
Pandangan itu juga turut dikongsi bersama penyanyi seberang, Rossa yang menyatakan kekagumannya melihat industri hiburan Malaysia yang begitu majmuk dan memperjuangkan muzik tanpa batasan dan sempadan.
Cuma apa yang sedikit dikesalkan apabila pembahagian trofi yang dilihat tidak begitu relevan walaupun perkara ini pernah dibangkitkan satu ketika dahulu.
Sebagai contoh, untuk kategori Lagu Terbaik serta pemenang dalam genre masing-masing, apalah salahnya ia turut diberikan kepada penyanyi.
Tanpa suara sang penyanyi yang melagukan karya komposer dan penulis lirik berkenaan, rasanya tidak akan menjadi juga lagu itu untuk diangkat sebagai pemenang.
Umum mengetahui matlamat AIM mahu mengiktiraf komposer dan penulis lirik tetapi bukankah penyanyi juga sebahagian daripada industri seperti mana yang berlaku di Grammy?
Tidak salah kalau pihak AIM melaburkan wang untuk memberi trofi kepada penyanyi yang bersusah payah melagukan dendangan si pengkarya dan ia secara tidak langsung menjadi pembakar semangat buat mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: