Thursday, May 14, 2009

Kenangan lalu


Acha Septriasa

Bagi Acha Sepriatasa, Irwansyah adalah sebahagian sejarah kehidupan peribadinya, sekali gus menolak khabar angin mereka akan kembali bercinta

ADA yang mendakwa Irwansyah, bekas kekasih bintang jelita bernama Acha Septriasa ini masih menaruh perasaan terhadapnya. Malahan, ada yang mengandaikan lagu Ku Tunggu Jandamu nyanyian Irwansyah di dalam album terbarunya berjudul Soliter, menggambarkan betapa tegar isi hati sang pemuja cinta yang sanggup menanti bekas kekasih kembali ke pangkuannya.

Hingga saat ini masih belum jelas kenapa hubungan yang terjalin sekian lama antara mereka berakhir begitu saja. Bertemu pelakon dan penyanyi yang mula melakar nama di Malaysia menerusi filem Heart itu baru-baru ini di kediaman persinggahan keluarganya di Kuala Lumpur (berdekatan dengan KLCC), Hip ajukan soalan, “Bahagiakah anda sekarang?”

Jawabnya penuh senyuman sambil menunjukkan pendakap gigi yang mula dipakainya tahun ini, dia sedang bahagia melalui rentak kehidupan kini. Bayangkan sudah setahun, Acha dan Irwansyah memilih haluan masing-masing, namun kata Acha tanpa berselindung, dia masih menghargai cinta lokasi pertamanya itu sebagai kawan.

“Dalam sejarah kehidupan peribadi ini, dia pernah bertakhta di hati saya. Lalu, biarpun sudah terpisah jauh, dia masih kawan yang pernah saya sayangi suatu ketika dulu. Kami masih berbicara andai berpeluang, namun genre cerita kami lebih kepada soal kerja.

“Cuma kami tak sekerap dulu untuk berjumpa dan bersua muka. Buat apa mengenang kisah lalu kerana kehidupan ke depan harus diteruskan. Tiada lagi kisah air mata yang perlu diperkatakan. Malahan, kami ada meminta lagu untuk diri masing-masing dinyanyikan di dalam album,” katanya yang anggun disolek jurusolek kegemarannya, Deq Sha.



Enggan dibiar tergantung mengenai kelopak hati si pelantun lagu Berdua Lebih Baik ini yang sedang mekar berkembang, Hip kembali mendasari perasaannya yang mengaku sedang menjalin hubungan dengan seseorang. Secara terbuka, Acha berkongsi kisah lelaki yang mula mengintai kamar hatinya.

“Saya dengan dia berteman sejak kecil lagi ketika bersekolah rendah, sewaktu usia 10 tahun. Tanpa diduga, kami bertemu kembali di universiti yang saya sedang belajar ini. Cuma bezanya, kami berlainan jurusan, malah dia akan meneruskan pengajian peringkat Sarjana Julai ini.

“Dalam tempoh bertemu kembali itu, saya seronok bersama dengannya. Kehadirannya membuatkan saya senang sekali. Lagipun, saya sudah tidak mahu sedih mengenang kenangan lalu. Saya sudah penat dan kini, hanya mencari hubungan yang sihat dan baik. Saya bukan jenis gadis yang terlalu cepat berganti kekasih.

“Mudah-mudahan, dia lelaki pilihan saya yang tepat untuk dibuat kekasih dan mampu membahagiakan saya hingga ke akhir hayat. Tak saya nafikan, dia memang memahami saya luar dan dalam kerana kami sudah lama kenal,” katanya yang sedang menangguhkan cuti daripada pengajiannya dalam bidang Komunikasi Massa, Penyiaran dan Multimedia di Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya selama lima bulan.

Semakin bijak tangani gosip

MENURUTNYA yang sudah pun tamat kontrak bersama Warner Music sejak Disember tahun lalu, cuti itu diambil demi melunaskan tuntutan kerjaya seninya yang terus memuncak. Acha bakal memulakan pengajiannya kembali pertengahan Ogos ini, itu pun selepas melangsaikan hutang drama dan filem yang dibintanginya.

Kata Acha, dia baru saja selesai menjalani penggambaran drama Sakinah yang khabarnya bakal disiarkan di sebuah stesen TV di Malaysia. Baru saja selesai penggambaran 20 episod drama arahan Umam Ap itu, baki 80 episod akan disambung dari semasa ke semasa. Ogos ini, Acha turut akan mengikuti penggambaran filem berjudul Jodoh Untuk Rachel di sisi pelakon Malaysia yang menempa nama di Indonesia iaitu Miler.

“Alhamdulillah, dalam kesibukan saya mengikuti pengajian di sini, kerjaya seni saya terus berjalan lancar. Yang jelas, saya juga sudah cukup dewasa untuk berdepan dengan segala-galanya. Saya pernah dikenali sebagai pelakon dan penyanyi lagu runut bunyi filem. Kini, saya ingin menambah cabang kerjaya lain dan membina imej baru sebagai penyanyi solo pula.

“Saya kini di bawah label Lima Dua Belas Music milik pengurusan penyanyi Rossa dalam proses menghasilkan album mini memuatkan empat single. Lagu yang bakal dimuatkan masih dipilih dan konsepnya lebih terarah kepada pop. Insya-Allah, single dijangka akan dimainkan sekitar Jun ini.

“Tanpa disedari, sudah empat tahun saya memenuhi ruang seni. Saya menikmati segala suka duka dunia hiburan ini dengan lebih tenang. Di awal kemunculan dulu memang saya tak nafikan begitu sulit menangani emosi apabila berdepan dengan gosip. Namun, seiring peningkatan usia, saya semakin kuat,” katanya yang setia mendapat sokongan keluarga, teman terdekat dan rakan media.

Terlanjur menyebut perihal gosip, ia adalah rencah di dalam dunia hiburan yang harus ditangani dengan bijak buat mana-mana insan yang bergelar selebriti. Acha sendiri antara yang tidak terlepas menerima tempias gosip itu. Selain kisah putus cintanya dengan Irwansyah menjadi bualan, kisah penyebaran gambar seksi adiknya, Juwita Marsha di laman maya turut dipersoalkan apabila tak semena-mena, Acha terpalit sekali kerana persamaan wajah mereka.

Begitu juga dengan kisah kononnya Acha bercinta dengan vokalis kumpulan Ungu, Pasha yang ternyata tidak benar sama sekali. Ungkap Acha, dia sebolehnya tidak mahu bergelar artis yang terlalu diperkatakan mengenai gosip berbanding rencana kerjaya.

“Saya masih tahan untuk berdepan dengan segala kemungkinan gosip yang memang menjadi sajian penting di negara kelahiran saya. Infotaiment dan gosip memang menjadi sajian di kaca TV di sana. Saya tidak emosional lagi seperti dulu.

“Setiap gosip yang melanda, saya hadapinya dengan baik dan penuh senyuman. Ada kalanya, saya ketawa sendirian. Pendapat awam mengenai gosip ini memang tidak bisa dibendung. Saya hanya menjadi diri sendiri dan selagi insan paling dekat tahu siapa saya, itu sudah memadai,” katanya mengakhiri bicara ditemani ibunda tersayang, Rita Sagitta di sisi.

Sepintas: Acha Septriasa

  • Rakan media: Media cukup banyak mengajarnya cara untuk menangani dan menepis gosip dengan baik. Malah, Acha turut berkawan dengan wartawan dan sudah semakin bijak menjawab soalan dalam usaha mengelak jawapan yang boleh mengundang sensasi (terutama media di Indonesia). Cukup menghargai peranan wartawan, malah wartawan dan artis begitu saling memerlukan.

  • Susah memenuhi undangan fotografi di Malaysia kebelakangan ini: Bukan mengelak, tapi Acha memberitahu, dia begitu sibuk dengan tugasan dan kepadatan jadualnya sebagai pelajar. Sebagai contoh, Acha harus menyiapkan projek filem pendek berdurasi empat minit untuk dipersembahkan di depan pensyarah dan rakan pelajar lain. Projek berkisar mengenai dunia pelacuran itu dimantapkan kerjasamanya dengan empat orang lagi rakannya yang terdiri daripada pelbagai negara termasuk Malaysia, Indonesia dan Arab. Kata Acha lagi, untuk projek terbabit, selain menjadi pembantu pengarah dan merasai pengalaman bergelar kru, dia turut berlakon sebagai pelacur.

  • Kaki kelab malam: Pernah timbul gosip kononnya Acha gemar bersosial dengan menghadiri kelab malam terkemuka di Kuala Lumpur. Acha sedia maklum mengenai gosip itu, malah tidak menafikan yang dia memang pernah sekali menjejakkan kaki di sebuah kelab, namun kelibatnya itu atas dasar memberi sokongan kepada abangnya, Jessi Septamirza yang bergelar deejay di kelab terbabit.

  • Pasha Ungu: Gosip itu timbul hanya disebabkan hadiah yang diberi Pasha kepada Acha sempena ulang tahun hari lahirnya pada 1 September tahun lalu. Ia disensasikan pihak tertentu dan kebetulan ketika itu, rumah tangganya sedang bergolak. Menurut Acha, Irwansyah dan beberapa teman artis turut hadir memeriahkan majlis hari lahirnya itu.

  • 10 tahun lagi: Katanya, barangkali dia sudah mempunyai seorang anak. Berkeinginan untuk menjawat jawatan sebagai pengarah filem dan penulis skrip untuk berita (kerana sukakan bidang kewartawanan). Ingin memiliki sebuah restoran dan ingin tinggal di sebuah tempat di negara Eropah. Insya-Allah, Acha akan ke sana buat julung kali hujung tahun ini. Bagaimanapun, ia hanya akan direalisasikan selepas perancangan mengerjakan umrah terlaksana.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: