Friday, May 15, 2009

Kelainan Keagungan Zikrullah


SUKAR untuk digambarkan nikmat yang dirasai tatkala berada di Tanah Suci menunaikan ibadat haji. Apatah lagi, untuk menzahirkan kerinduan bersama dengan lautan jemaah lain yang tanpa henti beribadah, agak rumit untuk dijelaskan melalui pengucapan.

Bertitik mula dari situ, akhirnya mendorong pengacara rancangan Kalam Suci, Dzulkarnain Hamzah, 44, untuk mengeluarkan album berjudul Keagungan Zikrullah, yang membawa pendengar menerokai nikmat pengalaman berzikir di padang Arafah sewaktu menunaikan ibadat haji.

Menariknya, kelainan yang terdapat dalam Keagungan Zikrullah berbanding dengan album zikir yang ada di pasaran, ialah kepada melodi yang dihasilkan cukup istimewa.

“Dalam album ini, saya menggunakan lirik zikir yang sama seperti album zikir yang lain, cuma melodinya sahaja yang berbeza dan itulah uniknya Keagungan Zikrullah.

Bercerita lanjut mengenai penghasilan melodi, kata Dzulkarnain, dia mendapat ilham ketika khusyuk berzikir di Padang Arafah bersama dengan jemaah haji yang lain.

“Ketika itu adalah ‘Malam Arafah’ atau dikenali sebagai malam makbul doa. Tidak sangka, ketika khusyuk mengimankan pembacaan zikir jemaah haji, secara tiba-tiba ilham itu datang,” katanya.

Keagungan Zikrullah dipilih sebagai tajuk utama album ini untuk menggambarkan keagungan Tuhan dan membawa manusia mengenali diri serta peranan sebenar di muka bumi.

“Apabila mendengar album ini, mereka akan dapat berimaginasi seolah-olah berzikir di Padang Arafah.

“Ini kerana, penghayatan saya dalam album ini tinggi di samping melodi yang saya dapat ketika berzikir di Padang Arafah, insya-Allah, mampu membawa pendengar menjiwai perasaan berada di sana,” katanya.

Keagungan Zikrullah, diterbitkan oleh Islamic Media Edutainment, memuatkan Al-Istighfar 1, Tasbih, Allahu Allah 1, Hasbiallah, Zikir Kasyifah, Kalimah At-Tauhid, Kalimah Toyyibah, Ya Allah 1, Ya Latif, Ya Allah 2 dan ditutup dengan Doa Taubat.



Album ini yang berada di pasaran sejak April lalu, sudah mencatat hasil jualan yang memberangsangkan apabila berjaya terjual sebanyak 5,000 unit dalam masa sebulan.

“Syukur dan gembira kerana di saat kegawatan ekonomi melanda negara, hasil kutipan jualan album Keagungan Zikrullah boleh dikirakan membanggakan.

“Insya-Allah, dalam bulan ini, kami akan mengeluarkan dalam bentuk VCD pula dan dilengkapi dengan terjemahan zikir dalam dua bahasa iaitu Melayu dan Inggeris," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: