Friday, May 22, 2009

Kejutan buat diri sendiri


JIKA tahun lalu dua peserta lelaki, David Cook dan David Archuletta berentap di pentas akhir program realiti popular, American Idol dan kemenangan berpihak kepada Cook, tahun ini sekali lagi dua peserta lelaki, Adam Lambert dan Kris Allen layak ke peringkat akhir untuk merebut gelaran juara musim kelapan.

Acara yang berlangsung di Nokia Theatre, Los Angeles, California Amerika Syarikat itu, mengumumkan Allen sebagai juara baru program pencarian bakat nyanyian itu. Persembahan kedua-dua peserta ini dinilai empat juri profesional, Simon Cowell, Paula Abdul, Randy Jackson dan Kara DioGuardi.

Kemenangan pelajar berusia 23 tahun dari Conway, Arkansas ini sebenarnya memberi kejutan apabila barisan juri sebelum ini menjangkakan Lambert adalah peserta pilihan untuk menang.

Sebelum ini, peserta di tempat ketiga, Danny Gokey juga menjadi pilihan juri, tetapi Allen membuktikan dia peserta pilihan penonton sekali gus menewaskan Lambert pada pertandingan akhir.

Allen berjaya meraih hampir 100 juta penonton yang mengundinya menerusi SMS. Ketika pengacara Ryan Seacrest mengumumkan namanya sebagai juara, peserta ini kelu untuk menyampaikan ucapan kemenangan dan sekadar menyatakan ia adalah kejutan buatnya.

Malah, Allen yang merendah diri sempat berkata, Lambert selayaknya untuk menang.

"Saya minta maaf. Saya tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan perasaan ketika ini. Apapun, kemenangan ini suatu yang mengejutkan," katanya.

Kemenangan Allen sebagai juara membawa pulang hadiah lumayan, AS$1 juta (RM3.6 juta), kontrak rakaman dan kereta jenama Ford.

Cabaran untuk kedua-dua peserta kali ini apabila mereka diminta menyanyikan tiga lagu berbeza iaitu pilihan sendiri, pilihan produser Simon Fuller dan lagu baru, No Boundaries ciptaan Kara.

Pusingan pertama, Lambert menyampaikan lagu Tears For Fears nyanyian asal Mad World manakala Allen Ain't No Sunshine (Bill Withers). Memasuki pusingan kedua, Fuller memilih lagu Sam Cooke, A Change Is Gonna Come untuk Lambert dan Kris mendapat lagu What's Going On (Marvin Gaye).



Berbeza dengan dua lagu yang dinyanyikan sebelum ini, pusingan ketiga menerusi lagu No Boundaries memperlihatkan kreativiti peserta dalam membawa lagu yang sama, tetapi mengikut cara penyampaian sendiri. Jika Lambert selesa dengan rentak rock, Allen pula tampil dengan genre pop R&B.



Persembahan Lambert dinilai mempunyai kekuatan pada vokal yang lebih garang, sebaliknya Allen lebih menghiburkan dengan persembahan secara akustik bersama instrumen muzik seperti gitar dan piano.

Allen dikatakan mempunyai kelebihan dari aspek pakej sebagai penyanyi kegemaran ramai yang bukan hanya memiliki kehebatan vokal dan paras rupa, tetapi persembahan di pentas akhir kali ini membuai perasaan penonton.

Lambert, 27, berasal dari Los Angeles berkata dia selesa menyanyikan lagu rock. Biarpun, ketika dalam pertandingan dia dikejutkan dengan kontroversi status dirinya gay berdasarkan beberapa gambar bercium tersebar di Internet, dia sebaliknya mahu memberi fokus kepada karier nyanyian yang baru bermula.

"Fokus pada muzik menjadi keutamaan untuk saya mengembang karier selepas ini," katanya.

Komen juri pula, mereka menganggap Allen dan Lambert sudah menunjukkan bakat sebenar yang berjaya menghiburkan ramai penonton. Juri yang lantang bersuara, Cowell memberikan kata-kata sokongan kepada kedua-dua peserta ini dan menyatakan keyakinan terhadap potensi mereka untuk berjaya sebagai penyanyi.

"Apabila nama Allen diumumkan minggu lalu sebagai peserta yang layak ke peringkat akhir, saya tidak pasti sama ada penonton membuat pilihan yang tepat.

"Bagaimanapun, akhirnya terbukti apabila Allen diundi sebagai juara. Pada saya, Allen dan Lambert mempunyai kehebatan tersendiri dan masa depan menjadi milik mereka berdua," katanya.

Pada pertandingan akhir ini yang berlangsung selama dua jam turut diserikan dengan persembahan penyanyi jemputan. Peserta Top 13 membuka persembahan bersama penyanyi Pink menerusi lagu So What disusuli penampilan juara tahun lalu, Cook menyampaikan single barunya, Permanent.

Turut menarik perhatian, persembahan Lil Rounds duet bersama Queen Latifah, Jason Mraz berganding bersama Top 11 menerusi lagu I'm Yours, peserta wanita bersama Fergie dan kumpulan Black Eyed Peas, peserta di tempat keempat, Allison Iraheta menyanyikan lagu Time After Time bersama Cyndi Lauper.

Tidak ketinggalan, Gokey menyanyikan lagu Hello bersama Lionel Richie. Rod Stewart juga muncul dengan menyanyi lagu Maggie May selepas peserta lelaki menyampaikan lagu Do Ya Think I'm Sexy.

Allen juga mengambil kesempatan berduet dengan Keith Urban dengan lagu Kiss A Girl manakala Lambert mencuri tumpuan dengan persembahan bertenaga bersama kumpulan Kiss. Menariknya, Lambert dan Allen juga beradu vokal menerusi lagu We Are The Champions sambil diiringi beberapa anggota kumpulan rock legenda, Queen.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: