|
 |
| KEJAYAAN mengekalkan gelaran Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) di Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM16) untuk kali ke-10 pada 2 Mei lalu, pastinya satu kejayaan membanggakan buat penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 30. |
Namun, ada pihak dari kalangan penggiat industri beranggapan selagi Siti dicalonkan di AIM, selagi itulah peluang untuk artis lain menang kategori itu dianggap mustahil.
Tahun ini juga AIM16 melakukan perubahan menilai vokal penyanyi berdasarkan lagu dan bukannya dalam album sebagaimana sebelum ini.
Siti yang menang menerusi lagu Di Taman Teman, turut dicalonkan untuk Di Kayangan Kita manakala calon lain adalah artis baru yang dicungkil bakat dari program realiti, Ayu (Hanya Di Mercu), Dina (Sejauh Ini) dan Shila (Memori Tercipta).
Dengan tegas Siti mengatakan, AIM adalah pertandingan yang dianjurkan industri seni untuk mengiktiraf usaha keras setiap pihak hingga terhasilnya satu-satu album.
Katanya, AIM dianggap begitu penting untuk mengukur pencapaian dilakukan dalam bidang seni.
Siti juga mempertahankan gelaran Penyanyi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) untuk kali ke-12 pada 12 April lalu. Untuk Anugerah Juara Lagu pula, Siti sedia mengalah untuk tidak bertanding sejak beberapa tahun lalu apabila ada pihak mengatakan asyik-asyik dia yang menang.
"Kalau ada pihak yang tidak mampu bertanding secara sihat, kasihan kepada industri kita. Saya melihat kejayaan itu sebagai bukti kerja keras yang dicurahkan apabila menghasilkan album.
"Walaupun berjaya mempertahankan gelaran Persembahan Vokal Terbaik Wanita buat kali ke-10, saya tidak pernah menganggap diri yang terbaik dan bagus sebaliknya yakin ada penyanyi lain yang lebih baik dan punya vokal yang bagus. Cuma mereka perlu bekerja lebih keras untuk mengecapi apa yang saya capai kini.
"Alhamdulillah, setiap kali muncul dengan album baru, ia mendapat penghargaan di AIM. Album Lentera Timur menang Album Pop Etnik Terbaik dan Di Taman Teman juga menang Lagu Pop Etnik Terbaik," katanya ketika ditemui di majlis sidang media Konsert Eksklusif Satu Datuk Siti Nurhaliza di Istana Budaya, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Siti tidak hadir di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk menerima anugerah itu kerana menunaikan umrah di Makkah dari 2 hingga 8 Mei. Siti membawa ibunya, Siti Salmah Bachik dan empat saudara-mara bersama.
Kata Siti, kemenangan ini juga bukan untuk dirinya seorang sebagai penyanyi malah penerbit dan komposer yang menjayakan album ini yang bertungkus-lumus buat yang terbaik.
"Apabila AIM tahun ini melakukan perubahan dengan menilai vokal berdasarkan lagu, bermakna pencalonan lebih terhad berbanding kalau dinilai persembahan vokal dalam album. Tapi jika kita buat yang terbaik, tentu diiktiraf terbaik.
"Sebenarnya Di Taman Teman dirakamkan tiga kali kerana saya mahu benar-benar puas hati. Selepas rakaman kedua, saya dengar semula dan rasa ada yang tidak sampai dengan apa yang saya mahukan menyebabkan saya meminta Fauzi Marzuki lakukan rakaman sekali lagi.
"Beliau sendiri bertanya sampai tiga kali, tetapi saya bertegas mahu lakukan sekali lagi untuk benar-benar puas. Begitu sekali ketelitian saya untuk memberikan yang terbaik. Kalau ada yang menganggap saya menyekat peluang mereka untuk menang, saya rasa kasihan kepada industri kita," katanya.
Mengenai tindakannya mengerjakan umrah pada tarikh berlangsungnya AIM, Siti mengakui sejak kematian ayahnya, Tarudin Ismail pada 15 Februari lalu, hatinya begitu rindukan Makkah dan mahu ke sana bersama ibunya. Akhirnya memutuskan tarikh itu pada saat-saat akhir walaupun sedar berlangsungnya AIM14 pada 2 Mei.
"Hati saya sudah bulat dan itulah tarikh terbaik kerana selepas ini sibuk membuat persiapan untuk konsert. Tidak mengapalah ketika itu berlangsungnya AIM kerana setiap tahun saya hadir memberi sokongan," katanya.
Selepas Lentera Timur dipasarkan Disember tahun lalu, tahun ini Siti mahu menghasilkan dua album iaitu album kerohanian untuk pasaran Ramadan dan duet bersama Kris Dayanti untuk akhir tahun atau awal tahun depan.
Album kerohanian itu bakal memuatkan dua lagu yang dirakamkan Siti untuk filem Indonesia, Perempuan Berkalung Sorban iaitu Ketika Cinta dan Batasku Asaku serta tiga lagu yang disampaikan ketika menjayakan pementasan Sirah Junjungan. Selebihnya lagu baru dan juga merakamkan semula lagu lama yang dirasakan sesuai.
Apapun, kata Siti buat masa ini tumpuannya ialah menjayakan Konsert Eksklusif Satu Datuk Siti Nurhaliza di Istana Budaya pada 26 hingga 28 Jun ini dan dia mempunyai masa hanya sebulah untuk membuat persiapan dari segi vokal, pernafasan dan stamina.
Konsert ini sungguh bermakna buat Siti kerana inilah persembahan pertamanya tahun ini dan dianggap eksklusif di IB kerana menampilkan lagu daripada albumnya sendiri berbanding sebelum ini konsert tribute untuk Sudirman Arshad atau Tan Sri P Ramlee dan Puan Sri Saloma.
Konsepnya juga berbeza dengan konsert yang pernah dijayakan Siti sebelum ini kerana bakal merealisasikan impiannya mengadakan persembahan seperti penyanyi idolanya, Celine Dion.
"Saya ingin cuba merealisasikan impian itu, tetapi tetap ukur baju di badan sendiri dan mengikut kemampuan. Saya sedar untuk mengadakan konsert sebegini memerlukan kos yang besar, tetapi dengan bantuan penaja yang sudi meringankan beban, saya berusaha memberikan yang terbaik.
"Konsert ini juga cukup bermakna kerana menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memberi inspirasi Satu Malaysia. Tapi konsert ini bukanlah gabungan pelbagai kaum untuk memperlihatkan elemen 'satu' sebaliknya ditampilkan menerusi tarian dan alat muzik melalui persembahan saya sendiri.
"Ia juga konsert amal untuk disalurkan ke tabung Yayasan Nurjiwa bagi membantu badan kebajikan pelbagai kaum yang memerlukan," katanya.
Siti akan bekerjasama dengan Pat Ibrahim sebagai Pengarah Konsert manakala Pengarah Muziknya dipertanggungjawabkan kepada Aubrey Suwito. Sebanyak 30 lagu akan disampaikan dalam konsert yang berlangsung selama dua jam itu yang bakal mengimbau perjalanan seni Siti selama 14 tahun.
Pat berkata, konsert ini bukan saja eksklusif malah istimewa dengan konsep teaterikal yang belum pernah dilakukan penyanyi tanah air sebelum ini. Akuinya, inilah peluang yang ditunggu-tunggu selama ini untuk menjayakan satu persembahan yang menggabungkan muzik, tarian dan penataan cahaya untuk membangkitkan emosi yang ingin disampaikan.
Katanya, pihaknya cuba membawa penonton menyelami pengalaman suka dan duka yang dilalui Siti melalui muzik dan lagu serta bantuan kelengkapan canggih di IB.
"Sebanyak 30 lagu disampaikan Siti melalui segmen tertentu untuk menceritakan emosi dan perjalanan seninya. Apa yang mampu saya katakan ialah ia sebuah konsert dengan konsep teaterikal terhebat yang tiada lainnya sesuai namanya Konsert Eksklusif Satu Datuk Siti Nurhaliza," katanya.
Turut hadir, Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani dan suami Siti, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa. Tiket konsert berharga RM80, RM120, RM180, RM250 dan RM300 boleh didapati di IB, Triways Travel & Tours, MTB dan ticket2u.biz.
>Profil
NAMA SEBENAR: Datuk Siti Nurhaliza Tarudin
TARIKH LAHIR: 11 Januari 1979
TEMPAT LAHIR: Kampung Awah, Temerloh, Pahang.
BINTANG: Capricorn
KELUARGA: Anak kelima daripada lapan beradik
STATUS: Berkahwin (21 Ogos 2006)
SUAMI: Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa
WARNA KEGEMARAN: Hijau dan pastel
MUZIK KEGEMARAN: Pop, alternatif, R&B, tradisional
ANUGERAH: Johan Setia Mahkota (JSM), Paduka Mahkota Perak (PMP), Ahli
Ahmad Shah Pahang (AAP), Setia Ahmad Shah (SAP) dan Darjah Indera Mahkota
Pahang (DIMP yang membawa gelaran Datuk)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: