Peserta bukan pilihan, Kris Allen dinobatkan sebagai juara American Idol 8
SELAMA ini dia tidak pernah disebut-sebut sebagai peserta yang bakal merangkul gelaran American Idol musim kelapan. Malah sewaktu pengacara rancangan itu, Ryan Crest mengumumkan nama pemenang, dia juga menggelarkan jejaka berusia 23 tahun itu sebagai peserta “underdog”.
Namun, dek kerana sikap rendah diri dan imej budak baik yang ditonjolkannya, rakyat Amerika sebulat suara memilih Kris Allen sebagai juara American Idol musim terbaru ini. Mungkin bagi sesetengah pihak keputusan ini cukup memeranjatkan kerana saingannya Adam Lambert sejak awal sudah menunjukkan taring dengan persembahan konsisten pada setiap minggu, di samping sering mendapat pujian juri.
Begitu pun, apabila kuasa undian diberikan kepada penonton, pasti siapa yang dilihat terbaik pada mata mereka saja yang layak untuk dinobatkan sebagai juara. Dan Allen, yang menyampaikan lagu Ain’t No Sunshine, What’s Going On dan single terbarunya, No Boundaries ciptaan bersama juri pertandingan itu Kara DioGuardi lebih menyerlah berbanding Lambert yang menyanyikan Mad World, A Change is Gonna Come dan juga No Boundaries.
Kemenangan itu memang mengejutkan Allen kerana dia sendiri tidak menyangka tuah nyata menyebelahinya dalam pertandingan itu.
“Maafkan saya, saya sendiri tidak tahu perasaan bagaimana perlu saya luahkan. Ini memang gila,” luah Allen spontan dalam keadaan terpinga-pinga sebaik saja namanya diumumkan juara.
Namun andai diimbas kembali, kemenangan Allen bukanlah kejutan terbesar buat peminat program realiti ini kerana sewaktu tiga peserta terbaik diberi peluang pulang ke kampung halaman masing-masing, sambutan yang ditunjukkan peminat terhadap pemuda ini cukup luar biasa.
Ketaksuban itu barangkali disebabkan mereka begitu bangga dengan anak jati Arkansas yang mampu melangkah sejauh itu sedangkan negeri itu bukanlah kilang yang banyak menghasilkan nama besar dalam industri hiburan berbanding Lambert yang datang dari kota Los Angeles yang memang terkenal sebagai pusat industri hiburan terbesar dunia.
Seperkara yang menarik mengenai persembahan malam final itu adalah, undian yang diterima untuk kedua-dua peserta itu hampir mencecah 100 juta dan ini menunjukkan kedua-duanya berpotensi untuk menjadi penghibur terbaik serta mempunyai ramai peminat.
Malah sewaktu memberikan komentar mengenai pandangannya terhadap kedua-dua finalis itu, Simon Cowell akur dengan bakat yang dimiliki finalis terbabit.
“Untuk kamu berdua, saya tidak pernah menyatakan perkara ini selalu, tetapi pada saya kamu berdua sama hebat dan layak untuk berada di sini,” puji pengkritik sensasi ini.
Pun begitu, selain berbakat besar, sebenarnya faktor kemenangan Allen mungkin ada kaitan dengan kisah di sebalik tabir membabitkan peserta lawan iaitu Lambert. Isu orientasi seksual pemuda berusia 27 tahun ini yang lebih cenderung kepada sesama jenis dikatakan menjadi punca kekalahannya.
Sebelum ini pun dikhabarkan, Lambert pernah mengakui secara terbuka yang dirinya seorang homoseksual dan pengakuan berani matinya itu sudah pasti membuatkan rakyat Amerika terpaksa berfikir panjang apakah peserta seperti ini ingin dijadikan idola mereka.
Dan andai benar dakwaan itu, ini membuktikan rakyat Amerika sebenarnya menentang secara halus gaya hidup songsang ini sehingga memaksa Lambert berputih mata dan membiarkan Allen menjadi koleksi idola kesayangan rakyat Amerika selepas Kelly Clarkson, Ruben Studdard, Fantasia Barrino, Taylor Hicks, Carrie Underwood, Jordin Sparks dan David Cook.
Konsert final itu menyaksikan penampilan istimewa Keith Urban yang menyampaikan lagu Kiss A Girl secara duet bersama Allen manakala Lambert turut berduet bersama kumpulan Kiss. Turut membuat persembahan adalah finalis wanita musim ini yang menyampaikan lagu Big Girls Don’t Cry bersama Fergie dan kumpulannya Black Eyed Peas.
Antara nama besar yang turut diundang menghiburkan penonton malam itu ialah Cyndi Lauper, Lionel Ritchie, Jason Mraz, Rod Stewart, Queen Latifah, Carlos Santana serta pelakon komedi tersohor, Steve Martin yang menunjukkan kehandalan bermain alat muzik banjo.
Kedua-dua finalis terbabit turut bergabung menyanyikan lagu We Are The Champion sambil diiringi kumpulan rock legenda, Queen.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: