Kata orang, kalau hendak seribu daya dan kalau tak hendak seribu dalih. Ungkapan itu menggambarkan seseorang yang mahu mendapat sesuatu akan berusaha segigihnya untuk mencapainya.
Walaupun banyak kali menemui kegagalan, mereka tidak mudah putus asa. Berusaha tetap berusaha dan mencari cara untuk mendapatkannya.
Barangkali itulah yang sedang dilalui oleh Hanafiah Anuar kala ini. Beliau sangat berminat menceburi bidang lakonan, namun apa yang dicita-citakannya belum terhasil.
Penghias ruangan Kacak Bergaya ini akui pernah beberapa kali kecewa dalam percubaannya menempatkan diri dalam bidang seni.
Malah beliau juga pernah mencuba nasib menyertai uji bakat peserta program realiti mencari pelakon, iaitu Anak Wayang dan Pilih Kasih, namun kedua-duanya tidak berhasil.
“Saya tidak putus asa dan akan berusaha lagi untuk mendapat tempat dalam bidang seni kerana saya sangat meminatinya. Saya pernah juga ke syarikat produksi untuk mencuba nasib, namun setakat ini belum ada rezeki lagi,” kata Hanafiah kepada Pancaindera.
Hanafiah bukan main-main mencuba nasib berlakon walaupun beliau memiliki kerja tetap. Malah masa lapangnya diisi dengan menulis skrip dan setakat ini sudah menyiapkan beberapa buah.
“Apabila kita menjalani uji bakat, kita diminta menghafal skrip dan melakonkannya secara spontan. Daripada situ saya dapat idea menulis skrip.
“Malah ada masanya saya menggunakan skrip sendiri ketika menjalani uji bakat.
“Saya juga suka berlatih berlakon untuk persediaan apabila ada sesi uji bakat. Malah saya pernah ditegur oleh ibu gara-gara dianggapnya saya bercakap seorang diri,” ujarnya lagi.
Kini beliau kerap berlatih bersama kawan yang juga mempunyai minat yang sama agar apa yang mereka lakukan tidak disalahanggap.
“Saya tak tahu macam mana minat saya begitu tinggi dalam bidang lakonan. Apabila menonton lakonan orang lain, saya berkobar-kobar untuk melakonkan watak yang sama, lebih-lebih lagi apabila menonton watak yang mencabar,” sambungnya.
Hanafiah sedar mungkin wajah baru sepertinya yang tidak mengenali sesiapa dalam bidang seni tidak mudah mendapat peluang. Tapi itu bukanlah halangan sebaliknya cabaran buat dirinya.
Setakat ini beliau pernah berlakon untuk projek filem pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) semasa mereka menyiapkan tugasan perfileman. Kebetulan beliau ada kawan yang sedang menuntut di sana.
Beliau juga pernah berlakon watak tambahan. Itulah antara sebab beliau menyertai ruangan Kacak Bergaya untuk mendedahkan diri kepada dunia seni.
“Saya tahu ramai lagi remaja di luar sana yang meminati bidang lakonan dan tidak tahu bagaimanakah caranya. Sebenarnya mereka boleh mencuba nasib dengan menjalani uji bakat dan membuat temu janji dengan syarikat produksi.
“Saya sendiri membuat temu janji dan menghantar portfolio kepada beberapa syarikat produksi untuk mendapat peluang yang lebih baik,” kata Hanafiah lagi.
Anak muda yang meminati sukan dan suka ke gimnasium itu sedang menunggu peluang itu dan yakin akan memperolehinya suatu hari nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: