| BERBANDING gadis sebayanya, mereka lebih menumpukan perhatian pada pelajaran. Sebaliknya, aktres remaja, Dakota Fanning sibuk di lokasi penggambaran filem kerana komitmen sebagai pelakon. Bagi pelakon berusia 15 tahun ini, dia tidak menyesal kerana terpaksa berkorban masa remaja untuk mencari pendapatan sendiri memandangkan apa yang dilakukan adalah atas dasar minat. |
Perjalanan karier lakon Dakota bermula selepas ibu bapanya membawanya ke Los Angeles untuk mencuba nasib dengan agensi lakon di sana. Ketika itu, dia yang berasal dari Georgia tidak mempunyai sebarang pengalaman lakon secara profesional. Langkahnya untuk bergelar pelakon menjadi kenyataan selepas mendapat tawaran untuk drama bersiri popular iaitu ER, Ally McBeal, Strong Medicine, Crime Scene Investigation (CSI), The Practice dan Spin City pada 2000.
Biarpun sekadar membawakan watak pembantu, Dakota mampu berbangga dengan pencapaian awal karier lakonnya kerana mendapat peluang terbabit dengan enam drama bersiri untuk tahun yang sama. Sejak itu, dia makin dikenali dalam kalangan produser lain yang tertarik untuk memberikan watak kanak-kanak yang sesuai kepadanya. Bagaimanapun, peluang dia untuk menimba pengalaman di layar perak akhirnya muncul menerusi Tomcats (2001). Hingga diberi kepercayaan membawa watak utama sebagai Lucy Diamond Dawson menerusi I Am Sam (2001), lakonannya dikagumi bersama pelakon popular, Sean Penn dan Michelle Pfeiffer yang turut terbabit dalam filem itu.
Lebih bermakna, kejayaan filem itu melayakkan dia tercalon menerusi Anugerah Screen Actors Guild untuk kategori Pelakon Pembantu Terbaik dan dia berjaya meraih anugerah Aktres Muda Terbaik dari Broadcast Film Critics Association untuk lakonan filem yang sama.
Selepas itu, dia terus dikenali menerusi beberapa filem antaranya Sweet Home Alabama dan Taken (2002), The Cats In The Hat dan Uptown Girl (2003), Hide And Seek dan War Of The Worlds (2005).
Pada tahun ini, Dakota akan muncul dengan filem baru, Caroline yang mula ditayangkan pada 20 Ogos nanti. Filem berkonsep animasi itu yang turut dibintangi Teri Hatcher dan Ian McShane mengisahkan perjalanan gadis Coraline Jones yang menemui pintu rahsia yang mengubah kehidupannya menjadi lebih baik. Dalam pada itu, dia kini sibuk di lokasi penggambaran filem The Twilight Saga: New Moon arahan Chris Weitz yang dijayakan sama, Kristen Stewart, Robert Pattinson dan Ashley Greene.
Kata Dakota, dia gembira untuk membintangi filem ini kerana dia adalah peminat setia novel Twilight karya Stephenie Meyer yang dijadikan panduan untuk penerbitan filem berkonsep fantasi, romantik dan thriller ini. Melakonkan watak pontianak iaitu Jane, dia berpandangan cabaran untuk berlakon filem ini tetap ada walaupun wataknya hanyalah pelakon pembantu.
"Berlakon sebagai pontianak yang bersikap jahat memberi tarikan pada saya untuk bersetuju terbabit dengan filem ini. Ia adalah pengalaman yang menyeronokkan dan saya merasakan, peluang ini adalah penghormatan untuk saya memberikan lakonan yang terbaik.
"Saya yakin ramai rakan saya juga teruja untuk menonton filem ini kerana mereka juga adalah peminat setia novel Twilight. Saya juga berharap filem ini mendapat sambutan positif penonton bila ditayangkan nanti," katanya.
Penggambaran filem ini masih dijalankan di Vancouver, Kanada dan dijangka berakhir penghujung bulan ini bukan hanya memberikan cabaran kepada barisan pelakon, tetapi menarik perhatian penduduk sekitar khusus peminat Dakota untuk melihatnya dengan lebih dekat. Bagaimanapun, Dakota yang kelihatan sibuk di lokasi penggambaran tetap menghargai sokongan peminat yang hadir.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: