Tuesday, May 5, 2009

Haziq laris di pasaran


KESIBUKAN sebagai penuntut jurusan diploma bunyi dan muzik tidak langsung menghalang misi remaja ini melebarkan sayapnya di dalam industri hiburan.

Malah, bakat dan rezekinya semakin menyerlah dan melimpah ruah selepas keluar dari program realiti popular, Akademi Fantasia (AF) musim keempat yang nampaknya membawa tuah kepada Haziq atau nama sebenarnya Hazwan Haziq Rosebi, 21.

Namun, disebabkan tidak banyak publisiti mengenai dirinya, ramai menganggap perjalanan seni Haziq tidak begitu memberangsangkan berbanding rakan seangkatannya yang lain.

Apatah lagi Haziq yang dikenali antara pelapis yang memperjuangkan lagu irama tradisional dianggap tidak mempunyai masa depan cerah dalam industri hiburan.

Bagaimanapun, itu hanya kata-kata yang digembar-gemburkan sesetengah pihak tanpa mengetahui perkara sebenar.

Malah, ramai tidak tahu Haziq sentiasa mendapat undangan mengadakan persembahan sama ada di Kuala Lumpur mahupun luar melalui perjuangannya dalam memartabatkan irama tradisional.

"Permintaan terhadap lagu tradisional tidak pernah berkurangan dek peredaran zaman. Cuma, popularitinya di media cetak atau elektronik tidak sehangat genre lagu pop, rock, R&B dan sebagainya.

"Disebabkan itu, ramai menganggap irama ini tidak sesuai lagi dinyanyikan," kata Haziq.

Bagaimanapun, Haziq menyangkal dakwaan itu dengan membuktikan irama ini mampu menjana pendapatan yang lumayan.

Tambahan pula, tidak ramai generasi muda yang boleh dikatakan mahir dalam lenggok irama tradisional, oleh itu bakat dimiliki Haziq memberi rezeki yang tidak terhingga kepadanya.



"Saya banyak menerima undangan persembahan untuk majlis rasmi, makan malam daripada golongan kenamaan dan kerabat diraja.



"Antaranya hari keputeraan, majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Malah, sepanjang Ramadan tawaran membuat persembahan tidak pernah putus.

"Terbaru, saya mengadakan persembahan di majlis jamuan Jasamu Dikenang yang disediakan khas untuk menghargai jasa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," katanya.

Selain majlis kenamaan, Haziq juga turut mendapat undangan membuat persembahan di majlis perkahwinan.

Haziq yang menjadikan Datuk Ahmad Jais sebagai idolanya membuat persembahan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 (21 April) dan bakal mengadakan konsert Tribute To Sudirman Jun ini di Istana Budaya.

Melihat jadualnya yang ketat, persoalan timbul bagaimana Haziq menguruskan masa sebagai pelajar dan pada masa sama memenuhi tawaran persembahan.

Kata Haziq, kesibukannya sebagai penyanyi tidak pernah dijadikan alasan untuk mengabaikan pelajaran.

"Selalunya tawaran persembahan pada hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad. Jadi, ia tidak mengganggu tumpuan saya dalam pelajaran.

"Lagipun, belajar di Universiti Limkokwing, masanya fleksibel dan ini memudahkan saya untuk menumpukan perhatian kepada pelajaran di samping membuat persembahan," katanya.

Haziq berkata, tujuan utamanya menyambung pelajaran dalam bidang muzik adalah kerana bercita-cita untuk menjadi seorang komposer terkenal seperti S Atan dan penyanyi berjaya selepas lima tahun dari sekarang.

"Sekarang, saya sudah mula mencipta lagu dan apabila ada kesempatan berjumpa dengan Pak Ngah, saya akan minta nasihat dan tunjuk ajar daripadanya yang sememangnya terkenal dengan irama lagu tradisional.

"Insya-Allah, saya akan cipta lagu sendiri untuk album baru akan datang," katanya.

Diminta mengulas mengenai penjualan album sulungnya, Zapin Suri, kata Haziq, sambutannya setakat ini memuaskan walaupun tidak dipromosi secara meluas.

Sambil meluahkan perasaan kecewanya terhadap stesen yang tidak mengambil peduli lagu irama tradisional, Haziq berkata hanya Klasik Fm sahaja yang memutarkan lagu daripada albumnya.

"Ada stesen swasta tertentu hanya memutarkan lagu saya pada permulaan sahaja, kini sudah tiada lagi. Jadi, macam mana nak menarik generasi muda hari ini untuk meminati lagu irama tradisional jika mereka tidak mahu memutarkan lagu sebegini?" katanya.

Sehubungan itu, Haziq amat berharap stesen radio swasta turut sama membantu menobatkan kembali irama tradisional.

Mengenai pencalonan album dan lagunya, Zapin Suri dalam Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM 16), kata Haziq siapalah dirinya sekiranya ingin dibandingkan dengan Datuk Siti Nurhaliza.

Haziq tercalon dalam kategori Album Pop Etnik Terbaik menerusi album Zapin Suri yang diterbitkan S Atan, Pak Ngah, Arab dan Sham Kamikaze serta Lagu Pop Etnik Terbaik.

Dalam kedua-dua kategori itu, Haziq bersaing dengan Datuk Siti Nurhaliza yang mempertaruhkan album Lentera Timur menerusi lagu Di Kayangan Kita dan Di Taman Teman.



Profil:

NAMA SEBENAR: Hazwan Haziq Rosebi

TARIKH LAHIR: 7 Januari 1988

TEMPAT LAHIR: Hospital Kluang

TINGGI :165 sentimeter

UMUR : 21 Tahun

PENDIDIKAN : Jurusan diploma bunyi dan muzik di Limkokwing University of Creative Technology (LUCT)

ALBUM : Zapin Suri

HOBI : Bermain badminton, tenis dan melayari internet

* Sebelum terpilih di dalam rancangan Akademi Fantasia, Haziq sudah aktif dalam bidang nyanyian sejak sekolah lagi.

* Pernah menjadi wakil negara dalam sukan kriket dari tahun 2001 hingga 2004.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: