Bintang Paling Popular ABPBH 2008, Nabil lebih selesa menunggang motosikal
SUDAH diniatkan di dalam hati, apabila saja kunci kereta Nissan Sylphy 2.0L yang dimenanginya sebagai Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 berada dalam tangan, kenderaan berharga RM109,000 itu itu akan dihadiahkan kepada bapa tercinta, Ahmad Ismail.
Nabil berasakan, kereta berwarna perak yang dimenangi itu lebih sesuai dipandu bapanya. Lalu, rezeki yang baru diperoleh itu tidak akan disimpan, sebaliknya dia lebih gembira jika ia digunakan orang tuanya.
"Bapa saya juga sudah tentu mempunyai kereta impiannya. Dia pernah memandu kereta Fiat lama, begitu juga Mitsubishi Gallant. Tetapi, saya rasa saya tidak mampu hendak membelikan kereta impiannya. Jadi Nissan Sylphy ini mungkin pemberian terbaik untuk saya buat dia," katanya yang akan menerima kunci kereta itu pada 13 Mei ini dalam majlis penyampaian hadiah yang bakal diadakan di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan.
Lagipun, kata pemenang Raja Lawak musim kedua ini, dia sudah pun mempunyai kenderaan sendiri. Justeru, ada baiknya dia menghadiahkan kereta tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd itu kepada bapanya. Nissan Sylphy ialah kereta keempat dimiliki artis komedi ini selepas Perodua MyVi, Kia Optima dan Mitsubishi Lancer.
Dia sendiri lebih selesa menunggang motosikal Kawasaki Z750, walaupun menyedari bahayanya lebih besar berbanding kereta.
"Memang saya pernah terbabit dalam kemalangan bersama motosikal, tetapi rasanya ia tidaklah membuatkan saya serik. Menunggang motosikal sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya. Maklumlah, sebelum ini pun saya pernah bekerja sebagai ‘mat despatch’. Dengan menunggang motosikal, ‘feelnya’ lebih sedikit. Motosikal sebenarnya melengkapkan lagi hidup saya," katanya yang mula menunggang motosikal sejak berusia 14 tahun.
Dua hari selepas dirinya dinobat Bintang Paling Popular, Nabil terbabit dalam kemalangan jalan raya bersama motosikalnya apabila dia terlanggar pembahagi jalan dalam perjalanan ke tempat kerja.
"Ketika kejadian itu berlaku, boleh tahan juga sakitnya apabila saya tidak boleh bangun akibat pinggang yang terasa begitu sakit setelah terhentak di pembahagi jalan. Apabila dibawa ke hospital dan mendapat suntikan, barulah saya boleh berdiri semula," katanya yang turut terbabit dalam kemalangan kereta kira-kira empat minggu lalu.
Menyentuh soal kariernya, anak muda dari Mambau, Negeri Sembilan ini memberitahu, bermula 2 Mei ini, dia akan memulakan rakaman program Nabil - Lu Pikirlah Sendiri untuk musim kedua. Sebanyak 13 episod lagi akan dirakam, untuk siaran Astro Prima.
Pada tahun ini, bintang dalam ciptaan ini juga bakal menghiasi layar lebar dengan beberapa judul filem lakonannya termasuk Lu Pikirlah Sendiri De Movie, Jin Notti, Eee... Hantu, Kecoh Betul, Pisau Cukur, Momok The Movie dan Magika.
Sehingga penghujung 2009 pula, dia hanya akan terbabit dalam penggambaran filem Bangladesh, terbitan KRU Studios.
"Tawaran berlakon filem yang diterima memanglah banyak, tetapi nampaknya saya kenalah memilih sikit selepas ini. Sepanjang tahun lalu sehingga awal tahun ini, banyak juga judul yang saya jayakan. Sebahagiannya pula saya diberikan watak utama. Daripada pengalaman berkenaan, saya banyak belajar, mana yang bagus dan mana pula judul yang kurang menyerlahkan bakat.
"Contohnya, filem Bangladesh menarik perhatian saya kerana ia memberikan peluang kepada saya menonjolkan lakonan yang amat berbeza. Filem itu memerlukan saya menjadi orang lain, bukannya diri saya sama sekali. Sudah tentu ia menghadirkan cabaran besar kepada saya sebagai pelakon," katanya.
Filem berkenaan bakal memulakan penggambarannya sekitar Oktober depan.
Kata Nabil, sehingga kini, hanya dirinya yang diketahui ditawarkan berlakon filem berkenaan. Justeru, dia cuba untuk mencadangkan KRU agar mengundang buah hatinya, Irma Hasmie, bagi membawakan watak teman wanitanya dalam filem terbabit.
"Jika saya digandingkan dengan Irma, mungkin saya akan berasa lebih selesa. Lagipun, tidaklah masing-masing risau apabila berada di lokasi," katanya sambil ketawa kecil.
Sepanjang hujung tahun ini, Nabil bagai terikat dengan projek terbitan KRU. Bukan saja dia terbabit dengan penggambaran filem Bangladesh, malah selepas itu, dia akan ke pentas teater pula dengan Cicak-Man 3 bersama Saiful Apek dan Aznil Nawawi. Menerusi teater itu, dia akan memegang watak Super Glam.
"Watak Super Glam diwujudkan sebagai salam perkenalan buat peminat, menerusi teater ini. Khabarnya, KRU akan menerbitkan filem berdasarkan watak berkenaan pula selepas ini," katanya yang kini berusaha untuk menjadi pelakon yang dikenali kerana bakat, bukan populariti semata-mata.
Berhubung dakwaan sesetengah peminat mengenai permohonan maafnya yang dianggap tidak ikhlas, selepas berlakunya insiden dia memeluk Irma pada malam kemuncak ABPBH 2008 yang lalu, Nabil sendiri bingung memikirkan perkara itu.
"Entah dari sudut mana mereka mempertikaikan pengucapan maaf saya itu? Saya pula tidak mahu menjadi manusia yang ego. Saya sudah berkali-kali memohon maaf atas kejadian yang tidak disengajakan itu. Walaupun wartawan tidak bertanyakan hal berkenaan, saya tetap memohon maaf berkali-kali kerana ia lahir daripada hati saya sendiri.
"Tapi, jika mereka menuduh saya tidak ikhlas ketika menuturkannya, tidak mengapalah. Apa lagi yang mampu saya lakukan, selain terus memohon maaf?" katanya.
Terlanjur bercerita mengenai Irma, Nabil mengaku mereka mempunyai perancangan membawa hubungan cinta itu ke peringkat lebih serius pada masa depan. Tetapi yang nyata, tidak ada majlis perkahwinan antara mereka dilangsungkan pada 2009.
Kata Nabil, jika dia dan Irma merancang bernikah pada tahun ini juga, tentulah mulai sekarang masing-masing sibuk menguruskan persiapan.
"Biarlah kehidupan saya stabil dulu. Maknanya, bukan stabil dari segi kewangan untuk jangka masa sekarang, tetapi untuk masa depan juga. Manalah tahu dalam setahun dua nanti, saya tidak lagi diperlukan dalam industri. Paling tidak sokongan hidup seperti perniagaan boleh membantu kami," katanya.
pergh!
ReplyDeletehebat tol nabil ni~!