ISU semasa sering kali menjadi objek utama kalangan penggiat filem indie menghasilkan idea untuk menerbitkan filem. Begitu jugalah dengan filem terbitan Big Pictures Production untuk Organisasi Hak Asasi Manusia Malaysia (Komas) berjudul Gadoh yang mengetengahkan isu perkauman.
Pengarah, penulis skrip dan pelakonnya, Namron menghasilkan filem Gadoh untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai sensitiviti berkaitan isu ini dan tidak mengambil mudah.
“Idea ini timbul selepas melihat masalah perkauman yang terjadi sebenarnya berpunca daripada kebanyakan kita yang tidak memahami persekitaran budaya masing-masing.
“Semuanya ada dipaparkan dalam filem ini bagi mendedahkan punca dan jalan penyelesaian yang sepatutnya dilakukan apabila situasi ini terjadi kepada kita. Gaduh yang dipaparkan adalah sebahagian daripada kesan yang bakal berlaku.
“Penghasilan skrip ini juga berdasarkan pengalaman masa lampau saya ketika menuntut di salah sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina suatu masa lalu. Kami juga mengambil masa untuk melakukan penyelidikan di beberapa sekolah bagi mendapatkan fakta yang benar,” katanya yang ditemui baru-baru ini.
“Filem ini sedikitpun tidak menyentuh sensitiviti perkauman kerana kita betul-betul menjaga sensitiviti itu, lagipun tujuan utama adalah untuk memaparkan bukan ingin menggalakkan permusuhan.
“Filem yang menyentuh mengenai gejala sosial seperti gaduh, mat rempit, bohsia, rogol yang biasanya mudah menjadi ikutan kepada remaja tidak sama sekali mampu menjadi ikutan kepada remaja sekiranya menonton filem ini.
“Apa yang ditayangkan adalah sesuatu yang menarik remaja kepada jalan kebaikan. Lagipun ending ceritanya semua kaum mampu disatukan sebagai satu keluarga,” katanya.
Selepas mengadakan pertemuan dan mendengar pengalaman lalu bersama pengarah dan penerbit bagi filem Gadoh, penulis merasakan perjuangan mereka bukan kerana keuntungan semata-mata tetapi mengutamakan kesedaran kepada penonton.
Penerbit Bersama, Brenda Danker berkata, tujuan mereka menghasilkan filem ini bukanlah untuk mengaut keuntungan tetapi mendedahkan isu bagi menarik perhatian masyarakat untuk duduk membahaskan isu yang diketengahkan.
“Sebelum ini pun memang tiada tempat dalam sistem sosial dan pendidikan untuk mengadakan perbincangan terbuka mengenai perbezaan tradisi dan agama rakyat Malaysia. Ini biasanya dianggap sebagai satu pantang larang masyarakat Malaysia. Atas sebab itulah filem Gadoh diterbitkan.
“Kita mensasar pelajar dan remaja untuk menonton filem ini, sebab itu filem Gadoh yang akan ditayangkan pada Jumaat ini di Theatrette, Kolej Universiti HELP, Petaling Jaya, jam 8 malam diadakan secara percuma,” katanya yang hanya memerlukan kos sebanyak RM70,000 untuk pembikinan filem ini.
Filem yang mengambil masa selama 12 hari tempoh penggambaran memulakan penggambaran sejak Disember tahun lalu, bagaimanapun mempunyai misi lain untuk dilaksanakan.
Penerbitnya, Anna Har berkata, pihaknya mengatur perancangan untuk mendedahkan isu yang berbangkit di dalam filem ini untuk dikongsi semua masyarakat di seluruh negara.
“Selepas mengadakan tayangan di Kolej Universiti HELP Jumaat ini, kita berharap filem ini akan mendapat perhatian kementerian untuk dibahaskan.
“Kita juga merancang untuk mengadakan tayangan jelajah percuma ke setiap negeri dalam masa terdekat. Kami memerlukan maklum balas setiap negeri yang ingin mengundang kami untuk membawa filem ini ke setiap negeri.
“Selain itu, sekiranya filem ini mendapat reaksi positif, kami juga berhasrat untuk membawa filem ini ke Wajib Tayang bagi mendapat kelulusan agar dapat ditayangkan di seluruh pawagam tanah air,” katanya.
Gadoh adalah sebuah filem yang mencabar isu perkauman yang sering menjadi halangan dalam persahabatan di kalangan pelajar sekolah negara ini.
Gadoh dibintangi pelakon amatur seperti Namron sebagai Azman, Zahiril Adzim (Khalil), Nicholas Liew Davis (Heng), Amerul Affendi (Zahir), Chew Kin Wah (En Chua) dan Maya Arissa Tan Abdullah (Cikgu Anne Lee), Ryan Lee Bhaskaran (Raj), Khairil Ridzuan Saharudin (Jan) dan Intan Diyana Zainal Abidin (Linda).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: