LOS ANGELES 15 Mei - Farrah Fawcett yang tenat akibat penyakit kanser terhimpit dengan pertelingkahan undang-undang antara teman lelakinya, Ryan O'Neal dan penerbit yang pernah bekerja dengan bintang Charlie's Angels itu.
Pertikaian tercetus ekoran dokumentari televisyen Farrah's Story yang dijadualkan disiarkan di NBC hari ini. Fawcett bekerjasama dengan penerbit Craig Nevius dalam video diari tersebut yang dengan jelas menunjukkan dia kini berada di ambang kematian.
Nevius memfailkan saman minggu ini selepas menuduh O'Neal atau rakan perniagaannya mengambil dokumentari berkenaan tanpa kebenaran Fawcett.
"Projek berkenaan diterbitkan tanpa penglibatan atau kebenaran Farah," kata Nevius kepada Reuters, semalam.
Nevius yang mengatakan Fawcett memberi kebenaran kepadanya untuk bertindak bagi pihaknya, menolak untuk menerangkan perbezaan antara dua versi berkenaan dan memberitahu dia tidak dibenarkan melihat babak akhir versi baru.
Dia turut dihalang oleh pengurus perniagaan O'Neal daripada berkomunikasi dengan Fawcett 'di bawah ancaman fizikal dan profesional', katanya.
Defenden dalam saman tersebut ialah O'Neal, dan pengurus peniagaannya serta teman Fawcett, Alana Stewart iaitu bekas isteri penyanyi rock, Rod Stewart.
Jurucakap O'Neal dan Fawcett berkata, saman ini sesuatu yang amat dikesali dan menjijikkan.
"Mereka terkejut terhadap perbuatan yang tidak patut ini ketika Fawcett sedang berhadapan dengan maut," kata Paul Bloch.
Fawcett mengidap kanser dubur pada 2006 dan ia telah merebak ke hati dua tahun lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: