![]() |
| |
KUALA LUMPUR 23 Mei – Setelah 54 hari melahirkan Engku Aleesya, pelakon popular Erra Fazira dan suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin akhirnya memperkenalkan bayi sulung mereka pada majlis akikah dan cukur jambul yang diadakan di sini hari ini.
Buat pertama kalinya, Erra dan suaminya yang merupakan Ketua Pegawai Operasi Suria FM membenarkan pihak media merakamkan wajah bayi comel yang dilahirkan seberat 4.04 kilogram di Hospital Pakar Damansara, Kuala Lumpur pada 30 Mac lalu.
Erra sebelum ini memohon kerjasama media agar tidak merakam dan menyiarkan gambar anaknya itu sehingga dirinya habis proses berpantang dan benar-benar bersedia.
Ketika ditemui pada majlis tersebut, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chik memanjatkan kesyukuran kerana majlis meraikan anaknya itu berjalan lancar.
“Melayan seorang anak kadang-kadang rasa macam tak cukup masa. Biarpun penat, tetapi ini merupakan kurniaan yang tidak terhingga. Saya rasa seronok.
“Bulan pertama menjaga Aleesya memang rasa susah sikit sebab saya dan Emran masing-masing tiada pengalaman, tetapi nak masuk bulan kedua ini dah rasa ok,” kata Erra yang kelihatan semakin langsing itu.
Erra yang bercuti selama enam bulan sejak Januari lalu bakal menamatkan cutinya dengan menjalani penggambaran drama bersiri Astro arahan Rashid Sibir bermula 25 Jun ini.
Tambah Erra, dia bakal mengehadkan jadual kerjanya terutama aktiviti keluar daerah untuk memberi perhatian kepada keluarga dan anaknya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: