![]() |
| |
"KUMPULAN Fotograf tidak tenggelam. Malah kami masih menunggu Ringgo dilepaskan untuk meneruskan pembikinan album yang seterusnya. Harapan kami ialah untuk mengabadikan nama Fotograf sampai bila-bila."
Demikian reaksi Shamrin, vokalis kumpulan Fotograf ketika ditanya tentang perkhabaran kumpulan itu yang telah lama menyepi dari industri hiburan tanah air. Fotograf turut dianggotai anggota asalnya, iaitu Ringgo (Drum), Amran (Gitar Bass) dan Abol (Gitar Utama). Ringgo kini ditahan di Venezuela kerana disyaki mengedar dadah di negara itu namun beliau mendakwa diperangkap oleh sindiket dadah antarabangsa.
Kebangkitan kumpulan muzik rock seperti Fotograf menjadi pemangkin keghairahan di kalangan peminat muzik tanah air pada pertengahan 80-an, sebelum irama pop mula menjadi siulan pada tahun 90-an.
Tidak mungkin sebahagian besar peminat muzik tempatan yang pernah melalui zaman itu lupa akan nama kumpulan seperti Mega, Lestari dan Fotograf.
Lagu-lagu seperti Di Alam Fana Cinta, Ke Pintu Kasih Mu dan Luka Seribu Rindu menjadi taruhan Fotograf pada era kebangkitan kumpulan-kumpulan rock.
Memori berputar kembali kepada kegamatan di pusat hiburan terkenal di Kuala Lumpur, Planet Hollywood ketika Fotograf hadir membuat persembahan di situ tidak lama dahulu.
Ia sudah cukup untuk membuktikan kehebatan Fotograf. Kumpulan yang dianggotai oleh empat orang pemuzik dan penyanyi itu mula berjinak-jinak dengan dunia muzik komersial seawal tahun 1987.
Lagu hits mereka, Di Alam Fana Cinta, telah menjulang nama mereka ke persada muzik rock. Versi lagu ini yang didendangkan bersama Datuk Sharifah Aini pernah memenangi Lagu Terbaik Kategori Rock pada Juara Lagu 1992 dan juga Anugerah Khas Muzik-Muzik.
Namun begitu, komitmen luar dan kesibukan masing-masing menyebabkan kumpulan ini terpaksa dibubarkan seketika.
"Masa itu semua ahli kumpulan bimbang kerjaya dalam bidang nyanyian tak boleh pergi jauh. Lagipun ekonomi ketika itu tak berapa stabil. Jadi semua anggota ambil keputusan meneruskan karier masing-masing kecuali saya dan Ringgo," ujar Shamrin yang turut berkebolehan mencipta lagu serta bermain gitar dan bass.
"Peminat tak tahu saya boleh cipta lagu. Dan mungkin kerana kurang mendapat perhatian media, nama Fotograf juga semakin dilupakan," luahnya.
Walaupun sepi daripada publisiti, hakikatnya Shamrin masih bertahan. Kesetiaannya dalam bidang muzik sukar digugat.
"Sudah hampir 21 tahun saya dalam industri. Tak pernah terlintas langsung difikiran saya untuk bergiat dalam bidang lain," ujar pemegang Sarjana Muda Kejuruteraan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.
Impiannya kini hanyalah untuk melihat kumpulan Fotograf bangkit semula. Namun tanpa sokongan penaja dan bantuan daripada pihak lain, sememangnya ia suatu perkara yang mustahil untuk direalisasikan.
"Saya sedang berusaha menghasilkan album baru dan merancang sebuah konsert besar untuk Fotograf. Tapi kami bukanlah artis di bawah syarikat rakaman. Sebab itu sukar untuk kami kembangkan sayap. Ini berlainan bagi artis yang dah ada label, mereka disokong oleh syarikat rakaman," luah Shamrin.
Kini, dalam menyatakan apresiasi diri serta cintanya terhadap bidang muzik, dia kerap muncul dalam konsert-konsert gabungan seperti konsert Gegar di Melaka pada 21 Mei lalu dan juga konsert Lefthanded-Mercy sebagai artis jemputan pada 30 Mei depan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: