Saturday, May 16, 2009

Dunia karaoke ke Cannes


CHRIS Chiong (kiri) dan Zahiril Adzim menggalas tanggungjawab mengharumkan nama negara di Festival filem Cannes tahun ini menerusi filem Karaoke.


SEJARAH manis pernah tercatat dalam direktori filem negara apabila filem Kaki Bakar arahan U-Wei Shaari menjadi filem tempatan pertama menyertai Festival Filem Cannes di Perancis pada tahun 1995.

Pemerhati dan pengikut dunia perfileman global umum mengetahui festival filem berkenaan antara yang paling berprestij dan tertua di dunia.

Bukan itu sahaja, adalah menjadi impian dan idaman pengarah filem seantero dunia agar filem mereka dapat ditayangkan di festival yang mula diperkenalkan pada tahun 1946 itu.

Selepas 14 tahun momen indah itu berlalu, sebuah lagi filem tempatan yang berjudul Karaoke menjejaki kecemerlangan filem Kaki Bakar apabila ditayangkan di festival filem berkenaan yang bermula semalam (14 Mei).

Karaoke yang diarahkan oleh seorang sutradara baru, Chris Chong itu ditayangkan menerusi slot Directors' Fortnight yang sekali gus melayakkan Karaoke dicalonkan untuk anugerah Caméra d'Or yang mengiktiraf filem cereka pertama yang diarahkan oleh seorang pengarah baru.

Berpeluang bertemu dengan Chris Chong Chan Lai di ibu negara baru-baru ini, dia sendiri bagaikan tidak percaya apabila filem arahannya itu dipilih untuk tayangan di festival filem itu.

Apatah lagi untuk melihat filemnya ditayangkan bersama dengan filem-filem hebat dari negara lain menjadikan ia sebagai satu penghargaan yang tidak ternilai.

Malah, dia juga tidak dapat memberikan gambaran secara spesifik apakah kriteria yang dilihat menerusi filem cereka pertamanya untuk di bawa ke Cannes saat dihubungi wakil penganjur festival filem berkenaan.

"Apa pun, saya tidak menafikan kejayaan ini sememangnya menggembirakan saya dan mereka yang terlibat dalam pembikinan filem ini.

"Saya masih lagi baru dalam bidang ini dan saya mahu mendapat sokongan daripada rakyat negara sendiri terlebih dahulu sebelum saya membawa filem ini mengembara jauh ke seluruh dunia," kata Chris yang sebelum ini pernah mengarahkan filem pendek dan dokumentari berjudul Block B dan Kolam.

Secara ringkasnya, Karaoke mengisahkan dunia seorang anak kampung bernama Betik yang kembali semula ke kampung halamannya setelah berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengubah hidupnya.

Akan tetapi, dia tidak dapat menerima hakikat apabila pembangunan mula mengambil tempat di kampungnya yang telah mengubah segalanya.

Bermula detik itu, dia hidup dalam khayalan dan sering membayangkan kehidupannya sama seperti dalam video muzik karaoke yang sering ditontonnya.

Bukan itu sahaja, Karaoke juga mengisahkan bagaimana perhubungan Betik dan ibunya yang semakin renggang akibat perbuatan dirinya sendiri.

Sambungnya lagi, ketika mendapat panggilan daripada wakil di Cannes, Chris menjelaskan, ketika itu dia masih lagi sibuk dengan pasca produksi filem Karaoke yang dilakukan di Bangkok, Thailand.

Menurut anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini lagi, Karaoke yang diterbitkan oleh Tanjung Aru Pictures itu hanya menjalani penggambaran selama 12 hari di sekitar Selangor dengan kos kurang daripada RM1 juta.

Jauh di sudut hatinya, dia tidak pernah memikirkan untuk membawa filemnya menyertai anugerah di peringkat antarabangsa, sebaliknya sekadar mahu melihat karyanya menemui rakyat di negaranya sendiri.

"Kalau mahu berjaya, kita harus mendapat sokongan daripada orang kita sendiri sebelum kita mahu diiktiraf di peringkat antarabangsa," tuturnya penuh berhemah, namun terselit maksud yang cukup mendalam.

Ditanya tentang idea menghasilkan filem berkenaan, Chris menjelaskan, ia datangnya daripada minatnya yang suka berkaraoke bersama teman-temannya di Sabah.

Ternyata, dia cukup tertarik dengan video muzik karaoke yang pada pendapatnya merupakan satu subjek menarik untuk diangkat sebagai sebuah naskhah.

Lantas, ideanya itu direalisasikan apabila bertemu dengan Shahnon Shah yang menghasilkan lakon layar, skrip, lagu serta muzik untuk filem berkenaan yang disifatkannya sebagai anak seni yang terlalu berbakat.

Pembikinan filem Karaoke bagi Chris tidak langsung mendatangkan masalah baginya kerana mendapat kerjasama yang baik daripada pelakon-pelakonnya.

Menariknya tentang Karaoke ialah filem berkenaan tidak langsung mempertaruhkan muka-muka popular tetapi pelakon baru dan lama yang sememangnya diiktiraf bakat lakonan mereka.

Antara yang membintangi filem ini adalah Zahiril Adzim, Mislina Mustaffa, Mohammad Hariry, Amerul Affendi dan Nadiya Nissa.

"Saya tertarik dengan bakat lakonan yang ada dalam diri Zahiril sejak dia membintangi teater Air Con tahun lalu. Mislina pula, saya amat mengagumi bakatnya yang cukup hebat itu meskipun dia tidak popular seperti pelakon lain," luahnya jujur terhadap dua pelakon utama filem Karaoke itu.

Chris turut melahirkan rasa kagumnya dengan karyawan yang terlibat dalam filem Karaoke. Mereka melakukannya atas dasar kecintaan dan minat mereka terhadap seni dan bukannya kerana wang semata-mata.

Diminta pandangannya terhadap industri perfileman tempatan, jejaka berusia 30-an ini mahu melihat satu transformasi terutama dari segi aspek penceritaan.

"Sebagai pembikin filem, seharusnya kita menjadi berani untuk mencuba sesuatu yang baru kerana penonton hari ini sudah bijak menilai.

"Kita juga tidak boleh mengulangi apa yang sudah dilakukan dan sebaiknya jika kita mampu berfikir di luar akal fikiran kita untuk menjadi lebih kreatif," katanya memberikan pendapat mengenai perkembangan sinema tempatan hari ini.

Sementara itu, Zahiril turut berkongsi kegembiraan apabila filem lakonannya itu bakal disaksikan oleh penonton dari seluruh dunia.

Lebih manis lagi apabila Karaoke merupakan filem pertama yang menyaksikan dia memegang watak utama selepas tampil sebagai watak pembantu menerusi filem Kami The Movie serta beberapa buah drama bersiri seperti Kami, Merah Puteh dan Ghost.

"Kejayaan ini membuktikan bahawa filem kita mampu dibawa ke luar negara jika kita cuba menongkah arus dengan menghasilkan sesuatu yang berbeza.

"Jika semua pembikin filem mempunyai sikap seperti itu, tidak mustahil untuk industri perfileman kita berkembang maju setanding dengan negara luar," kata jejaka berusia 25 tahun itu yang juga bekas graduan Akademi Warisan dan Seni Budaya (Aswara) dalam bidang teater itu lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: