Friday, May 15, 2009

Dimensi baru Pemburu Hantu

Platform untuk penonton hadapi masalah paranormal kemuka aduan

BUKAN untuk menakutkan atau menimbulkan elemen seram yang mampu membuatkan bulu roma berdiri tegak, sebaliknya kewujudan program baru di Astro Ria, Pemburu Hantu bertujuan mengetengahkan kaedah, teknologi serta teknik saintifik untuk mengesan entiti paranormal.

Demikian kata Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul sewaktu majlis sidang media program itu kelmarin di Scream Park, Sunway Lagoon.

Ironinya, pendekatan program sebegitu sudah banyak dipersembahkan di kaca TV antaranya seperti Seekers, Ghost Hunters dan Expose Mistik. Ia bukan sesuatu yang baru, namun Pemburu Hantu dilihat memberi satu dimensi lain dalam penerbitan program sedemikian. Malah kalau ada yang masih ingat di Barat pernah diterbitkan program penghalau hantu yang dipanggil Ghostbusters.

Menurut Khairul Mizan, program terbitan FM Production itu diilhamkan bagi memberikan satu perkhidmatan kepada penonton Astro yang mempunyai masalah berhubung perkara yang berkait dengan alam mistik.

Katanya lagi, setiap siri episod program itu dirakamkan berdasarkan aduan yang dibuat masyarakat di Malaysia. Ia disiarkan setiap Khamis jam 11 malam sejak 7 Mei lalu.

“Untuk permulaan ini, 13 episod dirakamkan untuk fasa pertama. Episod ini akan terus berkembang jika terus ada permintaan daripada masyarakat. Malah sebelum ini, pihak kami sudah pun mendapat aduan sewaktu menjalankan Gempak Selebriti Astro di beberapa tempat sekitar Malaysia. Kepada sesiapa yang ingin mengusulkan aduan boleh ke laman sesawang di www.astro.com.my/pemburuhantu.

“Juga perlu diingat apabila program ini diterbitkan, ia bukan memberi konotasi yang semua perkara alam lain itu adalah berhantu. Ini kerana tujuan utama program ini adalah untuk mencari jawapan kepada permasalahan yang ditimbulkan si pengadu. Pada akhirnya, ia terpulang kepada pengadu untuk membuat kesimpulan apa sebenarnya yang berlaku.

“Pada masa yang sama, kita juga membabitkan pengamal agama dan cara pendekatan juga mengikut kepercayaan tertentu. Kita tidak berniat menakutkan sesiapapun kerana ia lebih kepada memahami apa yang berlaku di sebalik masalah mistik yang berlaku itu,” katanya.

Dokumentari drama ini asasnya adalah program bagi menelusuri kejadian sains metafizik yang berlaku di sekeliling kita. Ia mengisahkan tiga orang anak muda yang dibintangi Hairi Shahrizal Mustafa, Iskandar Ishak dan Anis Azman yang lengkap dengan kemudahan teknologi terkini termasuk gajet yang mampu mengesan kewujudan aktiviti entiti paranormal.

“Mereka akan melakukan penyiasatan di lokasi yang disyaki atau dikatakan kononnya ‘berhantu’. Pemilihan tiga pelakon ini dilakukan menerusi uji bakat yang dilakukan sepanjang tahun lalu. Mereka terpilih kerana mempunyai ciri dan karakter berbeza,” kata Khairul Mizan.

Sementara itu, Hairi Shahrizal Mustafa berkata, gajet yang digunakan diimport khas dari luar negara. Antara gajet yang digunakan seperti kamera litar tertutup, hidrometer, pengesan hab dan pengesan pergerakan.

“Setiap negara mempunyai kelab yang mengkaji dunia ghaib ini dan menggunakan cara penyelidikan berbeza. Untuk program ini kita beli produk tertentu dan menggunakannya. Ada di antara gajet yang dipakai mampu merakamkan imej atau imbasan ‘sesuatu’ yang ada di tempat yang menerima aduan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: