LUMRAH hidup manusia sering memberikan pelbagai janji namun sukar untuk mengotakannya. Berdepan dengan golongan sebegini pasti akan mengundang banyak masalah sehingga boleh membawa permusuhan.
Begitulah gambaran yang boleh diberikan mengenai Embun Mutiara, drama terbaru di TV3 yang telah ditayangkan pada 10 April lepas, setiap Jumaat dan Sabtu pada pukul 9 malam.
Drama arahan Heykal Hanafiah dan diterbitkan oleh Metrowealth Sdn. Bhd., membawa mesej betapa pentingnya keluarga yang prihatin dan kasih sayang sebagai tema utama.
"Drama ini cukup mencabar bagi saya sepanjang menjadi pengarah.
"Kami kena menjalani penggambaran dan dalam masa yang sama, Embun Mutiara ditayangkan di televisyen.
"Oleh itu, kami tidak boleh membazir masa ketika penggambaran serta mengurangkan kesilapan bagi memastikan ia dapat ditayangkan mengikut masa yang ditetapkan," ujarnya kepada Hits.
Dalam kunjungan Hits ke lokasi penggambaran di Seksyen 7, Shah Alam baru-baru ini, hampir 75 peratus penggambaran telah berjaya dilakukan.
"Alhamdulillah, setakat ini saya tidak menghadapi banyak masalah sama ada dengan pelakon ataupun krew produksi kerana mereka memberi kerjasama dan komitmen yang baik," ujar Heykal lagi.
Menurutnya, kekuatan drama ini bergantung kepada jalan cerita dan kredibiliti para pelakon.
Membariskan pelakon-pelakon seperti Eira Syazira (Embun), Mas Muharni (Mutiara), Awal Shaari (Roni), Norman Hakim (Hadi), Anne Abdullah (Athirah), Aida Aris (Sara), Noniswara (Laila), Kuza (Yana), Sharifah Shahora (Nadia) dan Noorzam Zam (Jebat), pastinya menjanjikan sebuah kisah yang menarik untuk ditonton.
Drama ini mengisahkan perjalanan hidup sepasang adik beradik iaitu Embun dan Mutiara yang mempunyai sikap yang berbeza.
Embun seorang yang degil, nakal, suka mengarah dan meminati dunia yang penuh glamor. Bercita-cita menjadi seorang model terkenal menyebabkan dia suka berlagak dan sukar mencari teman.
Mutiara pula seorang gadis lembut, rendah diri dan ramah membuatkannya lebih disenangi oleh orang sekelilingnya. Dia mempunyai cita-cita menjadi penulis.
Mereka berdua belajar di kolej yang sama di mana Embun mengambil jurusan hiburan tanpa pengetahuan keluarga. Mutiara pula mengikut kehendak pakciknya dengan mengambil bidang kewangan meskipun dia terpaksa melupakan bidang penulisan yang diminati.
Embun menjalin hubungan cinta dengan Roni, seorang jurugambar. Dalam masa yang sama, Ashreeq, pelajar jurusan fotografi meminati Mutiara.
Malangnya, Mutiara juga menyintai Roni. Tetapi Mutiara hanya mampu memendam perasaannya apabila mengetahui Roni kekasih kakaknya, Embun.
Tambahan pula, Mutiara sangat menyayangi kakaknya, Embun.
Namun, menjelang perkahwinan Embun dan Roni, ibu Embun, Athiera dan rakannya Laila cuba menghalang perkahwinan mereka atas rahsia silam yang mereka sembunyikan daripada pengetahuan Embun, Mutiara dan Roni.
EIRA SYAZIRA
"Saya sangat teruja kerana pertama kali membawa watak gadis nakal, sebab itu saya terima tawaran ini.
"Embun merupakan satu lagi cabaran buat saya sebagai pelakon. Embun seorang gadis yang suka populariti, high test sehingga kerap melanggar disiplin sekolah.
"Untuk menghayati watak tersebut, saya sanggup mengubah imej saya seperti rambut dan cara berpakaian,'' ujarnya kepada media.
MAS MUHARNI
"Mas menggemari watak Mutiara ini kerana ia dekat dengan diri Mas,'' kata Mas ketika diminta pandangannya mengenai watak Mutiara.
Mutiara merupakan adik kepada Embun dan sangat menyayangi kakaknya.
Tidak mengenali bapanya sejak dilahirkan, Mutiara yang berminat dengan bidang penulisan sering kali menutup kesalahan yang dilakukan oleh Embun.
Sifat Mutiara yang terlalu merendah diri dan cepat mesra, menjadikan dirinya agak berbeza dengan Embun.
AWAL ASHAARI
Diberi tanggungjawab menggalas watak Roni , Awal berkata; Roni seorang jurugambar yang mewarisi syarikat ayahnya dan kekasih kepada Embun.
"Tidak dinafikan Roni tidak jauh berbeza dengan watak-watak yang pernah saya bawa sebelum ini (anak muda bergaya dan anak orang berada), namun saya yakin pengarah mampu memberikan kelainan pada watak Roni melalui shot dan jalan ceritanya,'' tambah Awal lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: