|
| KEMELUT antara Norish Karman, 34 (NK) dan bekas suami, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir, 60, membabitkan kebajikan tiga anak hasil perkahwinan mereka selama 10 tahun menjadi tumpuan masyarakat sejak perang media mereka berdua, minggu lalu. |
Ia sampai ke kemuncaknya Khamis lalu apabila Hashimuddin mengadakan sidang media di pejabatnya di Ampang Point, untuk menjawab segala tuduhan bekas isterinya mengatakan dia dan anak-anak teraniaya sejak bercerai 15 Julai tahun lalu.
Ternyata kini bukan saja pelakon Sayang Salmah yang dikenali dengan nama NK menjadi tumpuan masyarakat malah percikan populariti turut terpalit kepada bekas suami.
Selama ini beliau mengambil sikap berdiam diri, tetapi akhirnya terpanggil membuat pendedahan untuk menjelaskan kedudukan sebenar.
Hashimuddin membuktikan segalanya secara bertulis atas apa yang disediakan membabitkan wang saku anak-anak (RM700 sebulah), belanja dapur (RM700 - RM1,000 seminggu), kenderaan menghantar dan mengambil anak dari sekolah bersama pemandu, bayaran pembantu rumah (RM700), bil telefon (RM500 - RM600 sebulan), keperluan perubatan, yuran sekolah dan pakaian anak-anak.
Begitu juga bantuan kewangan sekitar perceraian berupa bayaran edah RM5,000 sebulan selama tiga bulan kepada Norish, RM9,000 membiayai kos deposit sewa rumah baru di Beverly Residence, sewa rumah RM5,000 sebulan selama tiga bulan di Tropicana selama tiga bulan, RM3,000 kos pembungkusan dan pengangkutan perpindahan ke rumah baru dan RM7,000 beli perabot kediaman rumah baru.
"Adakah saya masih dianggap kejam dan zalim hingga meninggalkan anak dalam keadaan menyedihkan sebagaimana didakwa? Saya sebenarnya tidak suka memanjangkan cerita tetapi, kini saya dalam keadaan terdesak hingga terpanggil mengadakan sidang akhbar untuk menjelaskan cerita sebenar.
"Sememangnya bekas isteri saya selebriti popular dan lebih mudah bercakap dengan media, tetapi sampai satu tahap saya perlu tampil mempertahankan diri. Bagi saya kesabaran seseorang ada hadnya.
"Saya ingin jelaskan di sini mengenai dua perkara sebagai menjawab dakwaan bekas isteri iaitu berkaitan nafkah anak-anak dan kedua, isu kereta Nissan Murano.
"Bekas isteri saya canang nafkah RM700 sebulan untuk tiga anak-anak dan saya akui jumlah itu sememangnya terlalu kecil, tapi dia tidak ceritakan lain-lain yang saya sediakan dan bayar untuk mereka.
"Saya sendiri membeli barang keperluan dapur setiap minggu untuk memastikan anak-anak tidak kebuluran. Bagaimanapun, saya tidak memberikan tunai sebagaimana diminta kerana saya tidak percaya bekas isteri. Dia seorang yang tidak amanah dan biarlah saya bersusah payah beli sendiri.
"Isu kereta Nissan Murano, saya izinkan bekas isteri menggunakan kereta itu sebagaimana ketika berkahwin, tapi dengan syarat tidak digunakan mana-mana lelaki. Tapi sayangnya, ia selalu digunakan lelaki bernama Luqman Amin.
"Saya nampak dengan mata saya sendiri kereta itu dipakai Luqman malah berada di rumahnya. Saya beri amaran kepada NK kerana tidak suka kereta didaftarkan atas nama saya digunakan orang lain kerana apa-apa berlaku saya yang bertanggungjawab. Tapi dia ingkar.
"Apabila cukai jalan kereta mati, saya ambil kereta itu dan kini ada dengan saya. Bagaimana pula timbul cerita dia terpaksa redah hujan ribut untuk hantar anak ke sekolah sedangkan saya sudah sediakan kenderaan bersama pemandu yang bersiap sedia 24 jam untuk kemudahan anak-anak.
"Pada 22 April lalu, saya juga mendapatkan perintah mahkamah menghalang Luqman berjumpa atau menghampiri anak-anak kerana tidak mahu mereka terdedah kepada kehidupan tidak sihat dan bertentangan hukum syarak.
"Saya juga tidak mahu bekas isteri menggunakan anak untuk kepentingan diri seperti membawa mereka bercuti dan berada di rumah dengan kehadiran orang luar," katanya.
Hashimuddin juga mendedahkan kecurangan bekas isteri hingga membawa perceraian mereka. Difahamkan, bibit-bibit kemesraan mereka sudah diketahui dari awal dan cuba diselesaikan secara baik dengan bantuan keluarga malah bertemu sendiri dengan teman lelaki isterinya meminta menghentikan perhubungan mereka kerana dianggap salah di sisi agama. Namun NK meminta dilepaskan.
Ini juga perceraian kedua Hashimuddin selepas menceraikan isteri pertama, Zainab Abdul Rahim tidak lama selepas berkahwin dengan NK, sebagai jalan penyelesaian selepas berbincang dengan anak-anak.
Hasil perkahwinan selama 20 tahun, dikurniakan empat anak dan tiga anak-anaknya bekerja dengannya menimba ilmu perniagaan sebagai persediaan mengambil alih perniagaannya nanti. Mereka juga memikul amanah menjaga kebajikan adik-adik mereka yang masih kecil.
Pastinya semua ini menjadi satu kisah menarik untuk dijadikan drama bersiri. Ia bukan sesuatu yang mustahil kerana Hashimuddin berkawan baik dengan penerbit drama yang juga penulis skrip terkenal, Mohd Noor Kadir (Kuasatek Pictures Sdn Bhd).
Difahamkan, Hashimuddin berminat menceburi perniagaan penerbitan drama sekali gus mengikut jejak langkah rakannya itu. Jadi, kita nantikan produk sulung kerjasama Hashimuddin-Mohd Noor mengenai kehidupan keluarga serta tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak.
Mungkin ini buah tangan terbaru Kuasatek yang sekian lama menyepi selepas menghasilkan drama-drama menarik seperti Syurga Di Pintu Neraka, Cinta Antara Benua, Cinderella, Marabbuka, Salam Taj Mahal, Metafizik dan Odisi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: