KETIKA ini, ramai juga peminat yang mula bercakap mengenai seorang pelakon lelaki dikenali sebagai Shaheizy Sam. Cik Normah kurang mengenai pelakon ini, selain daripada hakikat dia yang pernah mencipta nama menerusi drama Pa’e ialah adik kepada pelakon Zizie Ezette.
Khabarnya, rezeki Sam dalam dunia lakonan ketika ini sangat cerah. Satu demi satu filem dijayakan olehnya. Selepas Bohsia yang dibintangi bersama Nabila Huda, Salina Saibi dan Syamsul Yusof (yang turut bergelar pengarah), pelakon ini disambar pula produser David Teo untuk muncul dalam Jangan Pandang Belakang Congkak. Dalam filem komedi seram itu, dia beraksi di samping Cat Farish, Lan Pet Pet dan Lisa Surihani.
Baru-baru ini, Sam berlakon pula dalam Evolusi KL Drift II, sekali lagi di bawah arahan Syamsul. Kali ini, di samping Syamsul, aktor berusia 26 tahun ini beraksi pula bersama Scha, Aaron Aziz, Farid Kamil, Remy Ishak dan Hetty Sarlene. Paling baru Cik Normah dengar, pelakon ini akan diberikan peranan utama dalam filem aksi komedi, Rempit Nan Sempit, yang bakal diarahkan Ahmad Idham. Filem ini bakal dikeluarkan Metrowealth Movies Production.
Cik Normah memang dengar juga pujian yang diberikan kepada Sam, hasil lakonannya dalam Bohsia. Kata kawan-kawan Cik Normah, gaya lakonannya yang selamba membuatkan watak Acai menarik untuk ditonton. Dia juga pelakon yang berdisiplin, sebab itu produser senang hati bekerjasama dengannya.
Harapan Cik Normah, semoga Sam terus bekerja keras untuk menempatkan diri sebaris pelakon lelaki popular hari ni seperti Farid Kamil, Pierre Andre, Rusdi Ramli, Zul Huzaimy dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: