DALAM dunia ini tipulah kalau Cik Normah cakap tak ada jenis manusia yang sanggup menghimpit seseorang untuk kepentingan dirinya. Perkara ini memang berlaku dan kalau nak sebut satu persatu pun boleh termasuk yang berlaku di depan mata mereka yang berada di dalam industri hiburan. Cik Normah kecilkan skop itu sebab kalau nak bercerita satu dunia memang tak muat nak dikongsi di dalam ruangan ini.
Baru-baru ini kawan lama Cik Normah, Lara Kirana Manja yang agak senyap kebelakangan ini muncul kembali. Mujur juga dia datang bukan dengan tangan kosong. Lara yang cantik macam anak patung itu membawakan kisah dan gelagat seorang pelakon kacukan yang memang pandai mencari sasaran untuk memastikan hayat seninya terus bergerak.
Selepas satu persatu lelaki berpengaruh dalam bidang seni didekati pelakon itu pasti ada kejayaan yang dirangkulnya. Kejayaan yang dimaksudkan ialah mendapat peluang untuk berlakon. Yang hebatnya bukan watak biasa yang diperolehnya sebaliknya peranan utama yang bukan calang-calang orang boleh dapat.
Terbaru Cik Normah dapat tahu pelakon itu memasang jerat dan strategi baru mendekati pengarah baru yang boleh tahan kacaknya. Cik Normah dengar pengarah itu semakin rapat dengan pelakon yang khabarnya tidak berada di Malaysia ketika ini. Cik Normah tak kisah kalau mereka nak bercinta sekalipun sebab masing-masing pun sudah kembali solo.
Cuma yang Cik Normah takutkan pengarah tadi akan makan hati kemudian hari kalau tahu tembelang sebenar yang dirancang pelakon itu. Pengalaman lalu sudah menunjukkan pelakon itu sudah tidak lagi berhubungan dengan lelaki yang ditemuinya sebelum pengarah itu. Bak kata pepatah, habis madu sepah dibuang. Selepas dapat apa yang diingini, jelas sekali pelakon itu akan cuba menjauhkan diri dan sama sekali tidak lagi berhubungan dengan lelaki yang pernah didekati itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: