Friday, May 15, 2009

Dengarnya...: Nasib malang seorang produser


BEBERAPA hari lalu, akhbar ini ada mengeluarkan cerita mengenai sebuah syarikat produksi baru yang bersiap sedia untuk menghasilkan sebuah siri televisyen mengetengahkan kisah sekumpulan pasukan penguat kuasa keselamatan di negara ini.

Alih-alih Cik Normah didekati seorang produser yang juga pelakon terkenal tanah air. Katanya, bagaimana pula syarikat terbabit boleh mendakwa akan menerbitkan siri berkenaan, kerana menurutnya, siri terbabit pernah dicadangkannya kepada sebuah stesen televisyen dan juga agensi kerajaan.

Bagaimanapun, kertas cadangan daripada produser terkenal ini tidak mendapat maklum balas, sehinggalah dia membaca artikel disiarkan, baru-baru ini. Bukan saja nama siri berkenaan adalah sama dengan skrip yang dicadangkannya dulu, malah konsep siri terbabit juga tidak jauh berbeza.

Jadi, si produser ini pun tertanya-tanyalah bagaimana pula tiba-tiba orang lain yang akan menerbitkan siri berkenaan sedangkan dialah yang memberikan kertas cadangan menghasilkan projek itu kepada pihak terbabit.

Mungkinkah ada pihak tertentu yang ternampak kertas cadangan asal oleh produser ini, lalu diserahkan kepada syarikat lain? Entahlah, Cik Normah gagal memberikan jawapan. Mungkin Cik Normah hendak kena upah pasukan CSI untuk menyiasat perkara ini.

Bukannya apa, kasihan jugalah pada produser tadi yang bersungguh-sungguh menyediakan kertas cadangan projek. Tup-tup, ada pihak lain yang menangguk di air keruh.

Kalau tak silap Cik Normah, bukan kali pertama produser tadi mengalami kejadian seperti ini. Tidak lama dulu, dia pernah mengemukakan cadangan mengadakan sebuah program realiti kepada sebuah stesen televisyen. Tetapi, ia tidak mendapat sokongan. Kemudian, stesen berkenaan dikatakan menggunakan idea asalnya itu untuk menerbitkan program lebih kurang sama.

Produser ini juga pernah menghantar cadangan untuk menerbitkan siri yang mengetengahkan golongan wanita kepada stesen sama. Sekali lagi ia tidak diberikan layanan. Kemudian, siri lebih kurang sama diterbitkan syarikat lain untuk stesen berkenaan.

Nampaknya, kena mandi bunga jawabnya si produser yang boleh digolongkan tampan lagi gigih ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: