LAN dan bakal tunangnya, Mala. |
SUDAH lama gambar vokalis Meet Uncle Hussain (MUH), Lan dan kekasih hatinya disimpan erat dalam simpanan Cik Normah. Gambar ini dirakamkan kawan sepejabat Cik Normah yang cuba berjinak-jinak menjadi jurugambar. Ia diambil ketika majlis post party Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 yang berlangsung 12 April lalu.
Kebetulan kawan Cik Normah nampak kelibat Lan dan aweknya yang bernama Mala itu. Pada mulanya, Lan agak keberatan untuk mengizinkan gambar ini dirakam. Namun, tak semena-mena Lan bertukar fikiran mengenangkan yang dia cukup mengenali kawan Cik Normah itu. Tak silap Cik Normah, Mala bekerja dengan sebuah agensi pelancongan.
Khabar terbaru yang Cik Normah dapat tahu Lan dan Mala bakal mengikat tali pertunangan dalam beberapa bulan lagi. Bukan Lan saja, anggota MUH yang lain, Taja dan Bakri pun khabarnya memilih tahun ini untuk menamatkan zaman bujang.
Taja akan mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya yang turut dikenali rakan media pada Jun ini. Hubungan Taja dan kekasihnya sudah berlanjutan selama dua tahun. Bakri pula khabarnya mahu terus nikah tanpa bertunang. Apa-apapun Cik Normah doakan selamat berbahagia untuk kalian semua.
Jadi, kesimpulannya dengan gambar ini terbukti sudah bahawa Lan memang meminati wanita tulen dan bukannya wanita jadian. Bukannya apa, sebelum ini pernah timbul gosip kononnya Lan pernah menjalinkan hubungan baik dengan seorang mak nyah. Namun, semua itu sudah pun berlalu sepi dan tidak perlu diungkit lagi.
Sebut mengenai Lan, Cik Normah masih dengar lagi rungutan kawan-kawan bahawa penyanyi bersuara unik itu masih ada masalah ‘attitude’ yang boleh terus mengundang masalah termasuklah susah nak menjawab panggilan telefon. Ingatkan sudah berubah! Sayang kalau Lan terus begitu, siapa tahu nama MUH itu akan terus berkubur dan terpadam daripada lipatan sejarah. Buat Lan, renung-renungkan apa yang patut.
Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Cik Normah hairan kenapa manusia mudah menjadi lalai di saat nama meniti puncak. Apa yang terjadi kepada Lan sebenarnya sudah mampu merosakkan dan membataskan keupayaan anggotanya yang lain. Bila agaknya Lan nak sedar...
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: