Friday, May 22, 2009

Dengarnya...: Hantar gambar panas kepada selebriti


TIBA-TIBA, telefon di meja Cik Normah berdering lain macam beberapa hari lalu. Cik Normah memang perasan, kalau getaran telefon itu semacam saja, maknanya ada cerita panas yang akan didengar sekejap lagi. Telahan Cik Normah memang tepat, apabila seorang pembaca Berita Harian sudi berkongsi kisah agak hangat untuk ruangan popular kelolaan Cik Normah ini.

Ceritanya macam ini, pemanggil tadi mempunyai seorang kawan lelaki yang memang agak lama juga dikenali. Kawan lelakinya itu pula, khabarnya, berkawan pula dengan seorang selebriti lelaki yang saban minggu boleh dilihat mukanya di kaca TV.

Katanya, kalau sekadar bersahabat tu, dia tidaklah mempunyai masalah. Tetapi, kawannya ini khabarnya pernah menghantar gambarnya yang berada dalam keadaan tidak elok (faham-fahamlah sendiri ya) kepada selebriti tadi menerusi MMS.

Apabila ditanya, si kawan selebriti itu pun menjawab, dia hanya ingin mendekati selebriti tadi bagi mendapat peluang untuk terjun ke dunia seni. Yalah, mana tahu, apabila berkawan baik dengan orang popular macam selebriti lelaki itu, dia juga akan bergelar pelakon, penyanyi, pengacara atau sebagainya satu hari nanti.

Yang tak sedapnya, kata pemanggil tadi, takkan hendak mencari tapak dalam dunia hiburan, sampai menggadaikan maruah sekali? Dia pernah menasihat kawannya itu, tetapi ala-ala mencurahkan air ke daun keladi.

Sampai sekarang pun, kawan pemanggil itu masih berkawan dengan selebriti terbabit, tetapi dia masih juga belum mendapat apa-apa peluang muncul di TV atau filem. Lambat-laun, mungkin dia sedar, maruah yang digadai itu belum mampu untuk menjadikannya seorang bintang, kalau tidak disertakan dengan bakat dan kesungguhan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: