Friday, May 15, 2009

Dengarnya...: Filem Adik Manja versi 2009


MASIH ingat dengan filem komedi keluaran tahun 1980, Adik Manja? Sesiapa yang membesar atau menempuh alam remaja pada era berkenaan, tentunya mengingati kisah sekumpulan pelajar wanita nakal dalam filem berkenaan. Filem terbabit diarahkan oleh Othman Hafsham.

Antara pelakon yang menjayakan filem komedi itu ialah Dharma Harun Al-Rashid, Noor Kumalasari, Adibah Amin, Noraini Hashim dan Shasha.

Dua puluh sembilan tahun kemudian, Cik Normah dapat cerita, filem itu akan dibuat semula oleh pengarah yang juga pelakon asalnya, Dharma. Malah pelancarannya akan diadakan di Saloma Bistro pada 18 Mei ini. Khabarnya, majlis pelancaran filem Adik Manja Returns itu akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang.

Menerusi filem baru itu, penonton akan dipaparkan dengan kisah kenakalan sekumpulan pelajar perempuan di sebuah kolej, serta kehidupan mereka di dalam dan luar kampus. Banyak cara sudah dilakukan pihak pentadbiran kolej untuk mendisiplinkan pelajar berkenaan, namun semuanya gagal.

Akhir sekali, pihak kolej memanggil semula Cik Azmi untuk mengubah perangai pelajar berkenaan. Dengan caranya sendiri, Cikgu Azmi berusaha menjadikan kumpulan pelajar perempuan itu manusia yang baik, biarpun mendapat tentangan pada awalnya.

Berbeza dengan filem asal, Adik Manja Returns menggunakan pendekatan terkini termasuk tarian shuffle serta irama muzik hip hop untuk menarik perhatian penonton ke panggung.

Cik Normah memang mengalu-alukan usaha Dharma menghasilkan filem komedi itu, asalkan kualiti dan sambutannya nanti kenalah lebih hebat daripada filem asal. Adik Manja terbitan Studio Merdeka (filem terakhir syarikat terbabit) memungut sejumlah RM3.5 juta ketika ditayangkan hampir tiga dekad lalu. Masa itu, harga tiket hanya kira-kira RM2 hingga RM3.

Ia juga berjaya menggondol beberapa trofi, di dalam dan luar negara. Antaranya ialah Filem Komedi Terbaik, Skrip Terbaik (Othman) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Adibah) pada Festival Filem Malaysia Pertama 1980. Adik Manja juga memenangi anugerah pada Festival Filem Asia Pasifik ke-26, 1980 (Jakarta), iaitu bagi kategori Filem Komedi Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Shasha).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: