| SELEPAS berjaya dengan filem bercorak aksi dan seram, pengarah semakin meningkat naik namanya dalam industri perfileman tempatan, Ahmad Idham Ahmad Nadzri (Idham), cuba mencabar kemampuannya dengan menghasilkan kembali karya bertema cinta. |
Kali terakhir pengarah Jangan Pandang Belakang dan Rempt-it itu menghasilkan filem cinta sembilan tahun lalu menerusi Mr Cinderella menampilkan Yusry Abdul Halim dan Erra Fazira sebagai pelakon utama.
Keputusannya mengarahkan filem Syurga Cinta terbitan MIG Production Sdn Bhd ternyata tepat. Selepas majlis prebiu kelmarin, rata-rata wakil media dan jemputan memuji karya terbaru Idham.
Lebih menarik apabila jalan cerita filem yang bakal ditayangkan kepada umum pada 21 Mei ini bukan hanya menampilkan tema cinta kosong sebaliknya mempunyai pengertian dan boleh dijadikan santapan rohani kepada penonton.
Pengisian berunsur keagamaan diadun cantik dengan nilai komersial diperlukan dalam sesebuah filem, termasuk adegan komedi mencuit hati membabitkan tiga watak utama, Ikmal lakonan Hadziq, Irham (Awal Ashaari) dan Syuhada (Heliza AF5).
Idham berkata, keputusan MIG Production untuk menghasilkan filem bertemakan cinta dilihat sebagai satu risiko kerana ia kurang mendapat sambutan penonton sepanjang lima tahun kebelakangan ini.
“Pada awal perbincangan dengan penerbit, David Teo mengenai filem cinta yang mahu dihasilkan, kami memikirkan formula terbaik terutama membabitkan pengisiannya.
“Bimbang jika ia tidak mempunyai kekuatan, penonton menganggap filem ini sama saja dengan cerita cinta lain yang dihidangkan dalam telefilem atau drama bersiri.
“Kebetulan dalam proses merancang menghasilkan Syurga Cinta, ada beberapa filem cinta berunsurkan keagamaan dari seberang sedang hangat diperkatakan dan ditayangkan seperti Ayat-Ayat Cinta dan sebelum itu Kiamat Sudah Dekat.
“Memandangkan kebanyakan filem itu pengisiannya agak berat, saya selaku pengarah cuba mencari jalan terbaik agar perkara sama tidak berlaku dalam Syurga Cinta. Saya mahu orang datang menyaksikan filem ini terhibur, tetapi pada waktu sama memperoleh sesuatu yang bermakna,” katanya.
| |
Idham mengakui ketika memperoleh skrip Syurga Cinta, ia agak kosong. Bantuan daripada mereka yang tinggi pengetahuan dalam pengajian Islam membolehkan beberapa dialog diolah menggunakan firman dan hadis. Ia dikupas dengan baik agar mudah difahami.
| |
“Walaupun dalam menangani filem ini David tidak terlalu menekan, saya tetap menjaga reputasi sebagai pengarah. Maklumlah, sepanjang bekerja dengannya, filem yang saya hasilkan sering memperoleh keuntungan. Jadi Syurga Cinta pada saya kalau boleh biarlah mendapat kejayaan sama,” katanya.
Menyentuh pemilihan pelakon, jelas Idham dia tidak menghadapi banyak masalah membentuk lakonan Awal kerana sudah biasa bekerja dengan pengacara rancangan One In A Million itu.
“Awal antara pelakon lelaki yang saya cipta bermula dengan filem Impak Maksima. Dari sudut lain, dia agak komersil untuk menarik perhatian penonton.
“Begitupun, peminat jangan salah sangka kerana filem bukan bergantung kepada pelakon semata-mata sebaliknya pengisian filem itu sendiri harus kuat.
“Sudah mempunyai pengalaman dan serasi bekerjasama menyebabkan sebagai pelakon utama Awal tahu apa yang saya mahukan sepanjang 20 hari penggambaran filem ini dijalankan.
“Sementara Heliza pula dipilih selepas kami menyenaraikan pelakon bertudung. Hendak diikutkan saya tidak mempunyai masalah memanggil pelakon yang bagus dan berpengalaman berbanding Heliza, tetapi masalahnya mereka tidak bertudung.
“Penonton tempatan pula penilaian mereka terhadap pelakon memainkan peranan penting. Kalau dalam filem jadi wanita baik dan bertudung, di luar juga mereka mahukan pelakon itu mempunyai penampilan sama. Begitupun, sikap Heliza yang kekok di lokasi menjadikan ia sesuai dengan watak Syuhada,” katanya.
Sementara itu David pula berkata, dalam keadaan masyarakat moden yang semakin alpa dengan pegangan agama menyebabkan dia berasa penting menghasilkan filem yang boleh dijadikan santapan kerohanian.
“Sebelum ini saya pernah menghasilkan Syukur 21, tetapi ia tidak berjaya. Sambutan Syurga Cinta mungkin berbeza kerana unsur komersial kuat ditampilkan dalam jalan ceritanya. Saya tidak terlalu mengharap, cukup jika mampu pulang modal,” katanya mengenai filem yang menelan belanja RM1.5 juta itu.
Katanya, mengenai persamaan yang wujud antara Syurga Cinta dan filem Kiamat Sudah Dekat yang turut diedarkan MIG Production di Malaysia, kata David perkara itu tidak boleh dielakkan.
“Saya tidak nafikan ilham menghasilkan Syurga Cinta diperoleh daripada filem seberang itu, tetapi secara umumnya kedua-dua filem ini menyentuh kehidupan dilalui kebanyakan masyarakat moden sekarang ini. Namun, Syurga Cinta disesuaikan dengan cita rasa masyarakat tempatan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: