|
 |
| KUNJUNGANNYA ke Eropah terutama kota Paris selama empat bulan bermula Disember 2008 hingga Mac lalu bukan sekadar bercuti dan melihat negara orang tapi lebih daripada itu. |
Malah, kata penyanyi dan ikon fesyen tanah air, Dayang Nur Camelia Abang Khalid atau Camelia, dia ke ibu kota fesyen dunia itu kerana ingin mendapat inspirasi dan idea terkini berkaitan bidang hiasan dalaman yang diceburinya sejak dua tahun lalu.
"Selain menyanyi, saya juga sangat meminati bidang hiasan dalaman yang juga cinta dan keutamaan saya buat masa ini. Mungkin ramai yang tidak tahu, saya kini sudah menjadi penata hiasan dalaman kepada beberapa rakan rapat yang mendapatkan khidmat saya sebelum ini.
"Apabila tidak terbabit dengan sebarang aktiviti seni, saya memberi fokus pada bidang hiasan dalaman yang diceburi. Saya tidak menganggapnya sebagai satu bisnes lagi kerana saya belum mempunyai kedai dan ia dibuat secara kecil-kecilan saja," katanya.
Camelia yang juga dikenali sebagai model iklan, pengacara dan duta produk ini berkata, selain Paris, dia turut mengunjungi beberapa destinasi menarik lain di Eropah iaitu Monaco, Cannes, London dan Barbados.
Bagaimanapun, destinasi yang menjadi tumpuannya ialah di Clignangcourt Antique Market dan Le Garage, Paris yang juga pusat menjadi tumpuan pereka hiasan dalaman dari Hollywood.
Camelia juga tidak bersendirian ke negara Eropah itu kerana ditemani pengurusnya, Magie Abang Saufi. Mereka turut melawat kakak Magie, Mariam Abang Saufi yang menjalankan perniagaan di London.
Selain mencari idea baru mengenai hiasan dalaman di luar negara, Camelia juga sempat membeli beberapa barangan hiasan menarik seperti barangan antik dan lukisan untuk di bawa pulang ke tanah air.
"Paris adalah negara yang banyak memberi sumber inspirasi kepada saya mengenai hiasan dalaman sejak dulu. Ia juga destinasi terbaik buat pencinta hiasan dalaman termasuk dari Hollywood untuk mendapat inspirasi terkini mengenai hiasan dalaman.
"Selain itu, jika ada pelanggan yang berminat dengan lukisan yang saya beli di Paris, saya akan menjualnya kepada mereka dengan harga berpatutan," katanya.
Camelia berkata, selaku penata hiasan dalaman, dia diberi kepercayaan sepenuhnya oleh pelanggan untuk menghias kediaman mereka.
"Kebanyakan pelanggan adalah mereka yang baru berpindah ke apartmen baru dan rumah mereka juga masih kosong.
"Saya juga memberikan pilihan kepada pelanggan dari segi konsep yang sesuai mengikut cita rasa mereka sama ada moden atau klasik. Saya juga akan menghias kediaman mengikut konsep dan bajet yang ditetapkan pelanggan sendiri.
"Saya juga tidak ada masalah untuk mendapatkan bekalan barangan yang diperlukan kerana mempunyai kontraktor yang membekalkan barangan diperlukan seperti kertas dinding dan bunga yang diperlukan untuk menghias sesebuah kediaman itu," katanya.
Tambah Camelia lagi, dia juga mengambil masa untuk menghias sesebuah apartmen berkenaan dalam tempoh dua bulan.
"Setakat ini, saya tidak menghadapi masalah dengan pelanggan kerana kami bekerja secara profesional. Apa yang penting, saya berasa puas apabila melihat pelanggan berpuas hati dengan hasil sentuhan saya itu," katanya.
Mengenai perkembangan kerjaya seninya pula, Camelia berkata, dia masih memenuhi undangan persembahan makan malam korporat mahupun persendirian sekalipun tidak ada album baru sampai hari ini.
"Setakat ini, saya masih tidak pernah putus menerima undangan persembahan termasuk dalam kemelut ekonomi global sekarang. Saya juga tidak ada masalah dari segi bayaran kerana rata-rata pelanggan sudah biasa berurusan dengan saya sebelum ini," katanya.
Dalam pada itu, duta produk Brand's Inner Shine Pati Prun dan Ara Hill ini juga berhasrat menceburi bidang lakonan pada masa depan.
"Tapi sebelum 'terjun' dalam bidang lakonan, saya perlu menimba ilmu dalam bidang lakonan terlebih dulu. Saya tidak mahu masuk dalam bidang lakonan tanpa asas dalam bidang seni.
"Pada masa sama, saya bersedia mempertimbangkan tawaran berlakon jika dapat skrip yang bagus dan pada masa sama, mempunyai kelapangan ketika itu," katanya.
Camelia yang mengagumi karya pengarah bebas, Yasmin Ahmad juga berhasrat untuk bekerjasama dengannya satu hari nanti.
"Saya sudah menonton kebanyakan karya Yasmin sebelum ini. Rata-rata karyanya mengangkat budaya pelbagai kaum dan agama di negara ini. Dari segi pengalaman pula, saya pernah menjadi pelakon undangan dalam siri Kopitiam, lapan tahun lalu.
"Justeru, kalau Yasmin sudi membimbing saya dalam bidang lakonan, sudah pasti saya tidak akan menolak untuk bekerjasama dalam filem barunya nanti," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: