Thursday, May 14, 2009

BORAK LOKASI: Pastikan penggambaran tak kelam-kabut


JIKA tiada individu yang mengendalikan aspek pengurusan sudah pasti pergerakan penggambaran kru produksi menjadi kelam-kabut.

Di sini peranan penolong pengarah yang sentiasa memastikan jadual membabitkan penggambaran, artis dan memantau babak lakonan.

Bahri Umararif Bajuri, 27 atau Bahri ditugaskan sebagai penolong pengarah untuk menyelesaikan penggambaran drama bersiri Merah Puteh.

Malah ketika ditemui di penggambaran drama itu, Bahri tidak dinafikan antara individu yang cukup sibuk sepanjang penggambaran berlangsung.

Mula terbabit dalam bidang produksi sekitar sembilan tahun lalu, graduan Institut Media Integratif Malaysia (MIIM) mengakui tertarik membabitkan dalam bidang produksi sejak remaja lagi.

Bahri yang berpengalaman bekerja bersama pengarah Sinderalla, Shahrul Ezad Mohameddin memaklumkan pemilihan Isma Yusoof sebagai pengarah juga satu langkah yang positif untuk melahirkan lebih ramai pelapis pengarah pada masa depan.

"Tidak timbul istilah tangkap muat dalam hal ini. Pemilihan Isma sebagai pengarah mungkin sebagai lembaran baru yang dilihat oleh pihak pengurusan Radius One atau Ezad. Sebagai individu yang berpotensi Isma mempunyai kareter dan kebolehan tersendiri dalam aspek pengarahan.

"Apa yang saya perhatikan Isma sama seperti Ezad yang cukup teliti mengenai watak dalam setiap lakonan biarpun watak berkenaan kecil. Sepanjang bekerja sama dengannya Isma mudah berbincang dan boleh bertolak ansur," katanya.

Menurutnya apabila bekerja bersama kumpulan yang sudah memahami tugas masing-masing seterusnya berjaya melaksanakannya dengan lancar. Secara tidak langsung penggambaran berjalan lancar tanpa masalah besar. Hendak diikutkan masalah ketika setiap penggambaran berlangsung pasti ada cuma bagaimana kita menyelesaikannya menjadi faktor penentu.

"Setakat ini, melalui pengalaman berkerja dengan kru yang terbabit bersama produksi Radius One tidak timbul masalah yang besar. Segala masalah yang dihadapi diselesaikan secara bersama dan melalui perbincangan. Malah segala perancangan yang diatur setiap diikuti oleh kru yang menjadikan penggambaran bertambah lancar.



"Cuma soal membabitkan perkara kecil seperti masa dan cuaca kadang kala sedikit menjejaskan persiapan kami," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: