| APABILA ditugaskan sebagai propmaster untuk drama legenda, Merah Puteh hati Muhamad Fardlee Ramli mula membuak-buak. Apatah lagi apabila membayangkan tugasnya dalam menyediakan props atau kelengkapan ketika menjalani penggambaran. Memandangkan drama yang cukup popular itu mempunyai beberapa elemen yang cukup sinonim dengan cerita legenda. |
Bagi drama itu, kelengkapan mereka hias seperti buai, ikan kaloi dan pari-pari menjadi fokus kepada Muhamad Fardlee untuk menjadikan penceritaannya lebih menarik.
Muhamad Fardlee atau lebih mesra disapa Pak Tam juga berkebolehan melukis sehingga ada di antara babak dalam drama itu memerlukan kepakarannya.
Dia yang membabitkan diri dalam bidang produksi sejak 1996 memulakan karier sebagai kru am di Skop Production. Sepanjang berada di sana dia banyak menimpa pengalaman daripada pengarah terkenal Datuk Yusof Haslam dan Yusof Kelana.
Pengalaman sepanjang lapan tahun membolehkannya beralih daripada satu tugas kepada tugas yang lain. Bermula sebagai kru am sehingga mengendalikan aspek teknikal, Pak Tam turut diberi kepercayaan sebagai pengarah seni.
Menurutnya, dia sentiasa menganggap setiap kerja yang dihasilkan adalah berdasarkan kerjasama berkumpulan. Malah kepuasan yang dikecapi ialah apabila melihat hasil yang diperolehi.
"Dalam produksi kami berkerja sebagai satu kumpulan. Kejayaan dikongsi bersama begitu juga sebaliknya. Pada saya kepuasan terhadap kerja dalam bidang ini apabila hasil kerja ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Apabila penonton menyedari kewujudan kesan khas dan props yang ada menerusi babak itu. Pada saya ia sudah memadai. Malah satu kejayaan.
"Bukan mudah untuk reka hias kelengkapan yang menyamai cerita legenda itu. Begitupun, kami tetap cuba menjadikan ia seakan cerita itu namun mengikut perubahan zaman ini," katanya.
Malah secara keseluruhannya, tugas berkenaan dapat dilaksanakan jika segala kelengkapan yang diperlukan ada. Tambah lagi, bergantung sepenuhnya kepada kreativiti individu itu sendiri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: