Friday, May 22, 2009

Berdebar saat bergelar suami isteri

Majlis akad nikah Adlin, Emelda Rosmila berlangsung selepas Asar hari ini

SIAPA PUN yang berada di tempat adik ipar AC Mizal ini, pasti akan berasa debaran yang cukup hebat kala menanti waktu diijabkabulkan. Biar sibuk menguruskan persiapan majlis yang harus dilangsaikan, pelakon jelita, Emelda Rosmila, masih sempat menjawab panggilan telefon daripada Hip.

Di sebalik suara manja yang kedengaran di corong telefon, ternyata dapat disimpulkan Emelda sedang bahagia menikmati fasa kehidupan mendatang.

Petang ini kira-kira selepas waktu Asar, Emelda dan buah hatinya, Adlin Aman Ramlie akan melangsungkan pernikahan mereka di Masjid An Nur, Kampung Melayu Batu 8, Ulu Kinta Perak. Untuk majlis itu, adik pelakon Emylia Rosnaida dan bakal suaminya itu akan menggayakan persalinan rekaan Calvin Thoo dan didandan rapi juru solek kegemarannya, Deq Sha.

Sebelah malamnya, satu majlis berinai akan diadakan di kediaman keluarganya. Untuk majlis itu, jurusolek Baby Elle ditugaskan mencantikkan Emelda. Keesokannya sekitar jam 8 malam, pasangan sama padan ini akan bersanding di sebuah dewan di Perak.

Untuk majlis itu, Emelda masih menggunakan khidmat tatarias Deq Sha dan bakal melaram rekaan pereka muda, Rizman Ruzaini. Pemilihan tarikh persandingan pada 23 Mei (esok) jatuh pada hari lahir Adlin yang ke-37.

Pasangan ini bertunang pada 14 Mac lalu dan tarikh itu dipilih simbolik kepada hari lahir Emelda yang ke-29. Mesra membahasakan diri sebagai Mel, dia memberitahu perasaannya bercampur baur. Namun dalam masa yang sama, dia mengakui cukup gembira kerana perjalanan cinta yang disemai akan berakhir ke jinjang pelamin.

“Nak kata macam tak percaya pun ada juga perasan Mel ketika ini. Gembira pun ada. Tapi Mel bersyukur dan harap-harapnya semuanya akan berjalan lancar dan diberkati Tuhan. Kalau sebelum ini Mel kerap kali berlakon olok-olok naik pelamin, tapi kali ini Mel betul-betul kena bersanding. Harap juga tetamu yang datang akan gembira meraikan kami.

“Untuk majlis persandingan (esok) konsep tradisional klasik dipilih sebagai tema utama. Ia direalisasikan bersesuaian dengan konsep kampung di Ipoh dan pada masa yang sama ia seperti majlis mengumpulkan sanak-saudara Mel. Selain Rizman Ruzaini dan Calvin Thoo, besar kemungkinan juga Mel akan memakai rekaan Bill Keith.

“Selepas majlis di Perak, Insya-Allah akan ada dua lagi majlis yang bakal diadakan. Majlis resepsi di Kuala Lumpur akan diadakan pada 11 Jun ini di sebuah hotel di Putrajaya. Selepas itu kalau jadi seperti yang dirancang ibu Adlin, Ruminah Sidek (Mak Mah) akan mengadakan majlis berkonsepkan Jawa di Meru, Klang. Namun tarikhnya masih belum ditetapkan lagi,” ungkap bakal raja sehari itu.

Hanya bercuti seminggu untuk melunaskan kerja kahwin, selepas itu Emelda akan kembali ke penggambaran drama 26 episod berjudul Jongkang Jongkit yang diarahkan sendiri bakal suaminya. Untuk drama yang turut menggunakan khidmat Opie Zami sebagai pembantu pengarah itu Emelda akan bergandingan dengan Faizal Yusof.

Kata Emelda, Adlin tidak akan menghalangnya daripada terus membabitkan diri di dalam liga seni. Namun, menyedari tugas baru sebagai isteri yang bakal dipikulnya, Mel akan mula mengurangkan aktiviti seninya namun tidak secara drastik.

“Mel masih sayangkan dunia seni dan selama ini dek kesibukan dengan komitmen kerja selama ini, masa Mel untuk diri sendiri pun tidak banyak. Inikan pula sudah berkahwin, jadi mahu atau tidak Mel harus bijak membahagikan masa di antara kerja dan dunia perkahwinan. Jadi inilah masanya untuk Mel memberi tumpuan untuk diri sendiri dan bakal suami.

“Adlin pun sudah banyak berubah seiring dengan peredaran masa. Sebelum ini, dia memang terlalu sibuk bekerja. Namun, alhamdulillah, kehadiran Mel sedikit sebanyak sudah mula mengubah dirinya. Dia sudah mula tahu mengimbangi kerja dan tanggungjawab yang bakal ditanganinya tidak lama lagi,” katanya yang akan menetap di rumah yang baru dibeli mereka di Melawati.

INFO: Pernikahan Adlin, Emelda

  • Wang hantaran ditetapkan RM29,000 dan mas kahwin, RM1,001. Bagaimanapun, Mak Mah menambah RM1,000 lagi sebagai hadiah kepada bakal

    menantu menjadikan wang hantaran RM30,000.
  • Dulang hantaran berjumlah sembilan daripada pihak Emelda berbalas tujuh.
  • Masih belum memikir lokasi berbulan madu kerana faktor masa.
  • Detik awal percintaan Adlin dan Emelda bermula dalam usikan di sebuah majlis anjuran Astro beberapa tahun lalu.
  • Setahun berkawan, mereka jatuh cinta.
  • Antara punca tarikh perkahwinan dilambatkan ialah kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya seni.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: