Friday, May 22, 2009

Artis popular gegar East Coast Mall

Zoom Malaysia Travel Fair bermula hari ini

INGIN menikmati persembahan hebat daripada artis popular tanah air seperti Mila dan Stacy yang pernah melakar jaya dalam sejarah penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian? Mahu dibuai kelunakan suara merdu penyanyi bersuara jantan, Jamal Abdillah dan si jutawan segera, Tomok yang baru memenangi One In A Million musim ketiga?

Semuanya dapat disaksikan pada acara Zoom Malaysia Travel Fair yang pertama kalinya bakal menjejaki ruang legar East Coast Mall, Kuantan bermula hari ini hingga 24 Mei. Acara itu turut menampilkan penyanyi seperti Farah AF2, Ramlah Ram, Ameng Spring, Along dan Angah Raja Lawak, Ifa Raziah, Amylea dan Fazli Zainal.

Kumpulan indie yang mula meledak dengan lagu Situasi dan Revolusi turut diundang membuat persembahan selama sejam pada malam terakhir karnival ini berlangsung. Helmi The Gimmik dan Roslan Shah akan memikul tugas sebagai pengacara majlis sepanjang tiga hari berlangsung.

Tanpa melupakan peranan golongan selebriti yang mampu menjadi saluran penyampai dan contoh kepada masyarakat, maka tanpa ragu-ragu penganjur mendekatkan golongan artis dengan masyarakat yang sentiasa dahagakan terapi hiburan. Bukan saja mempersembahkan hiburan, orang ramai juga boleh menjayakan kempen melancong di dalam Malaysia yang sedang giat diusahakan.

“Acara ini diadakan bertujuan mempromosikan kepada umum destinasi pelancongan melalui kempen Pelancongan Domestik Zoom! Malaysia dan memudahkan semua lapisan masyarakat untuk membeli pakej pelancongan domestik yang menarik.

“Selain itu juga kempen ini akan memberi peluang perniagaan kepada pengusaha pelancongan yang menyertai karnival ini untuk memasarkan pakej pelancongan domestik dalam usaha memastikan perkembangan ekonomi dalam sektor pelancongan terus bercambah.

“Artis bukan saja akan menyanyi dan menghibur pengunjung, tetapi juga akan berkongsi pengalaman mereka mengunjungi tempat menarik di dalam negara sesuai dengan kempen pelancongan domestik yang diadakan kerajaan,” kata Ketua Jawatankuasa Penganjur Zoom Malaysia Travel Fair, Azhari Haron.

Artis popular terbabit akan sentiasa berada di lokasi untuk memeriahkan acara dan bertemu dengan peminat secara langsung, selain melawat ruang pameran dan gerai agensi pelancongan yang disediakan. Karnival ini akan bermula seawal jam 10 pagi hingga 10 malam selama tiga hari berturut-turut dengan aktiviti yang bakal disertai oleh agensi pelancongan, percutian dan yang berkaitan dari seluruh negara.

Aktiviti sampingan lain yang terbuka kepada pengunjung ialah pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, sudut juruhebah, kuiz pelancongan dan cabutan bertuah yang menyediakan hadiah menarik.

Turut diselit persembahan kebudayaan daripada negeri Terengganu, Pahang dan Kelantan yang sedia menanti kunjungan tetamu yang bertandang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: