Tuesday, May 5, 2009

Amerika dan masalah imigran


HARRISON Ford dalam satu babak Crossing Over.


SEJAK tahun 2002, Amerika menerima lebih daripada 3.3 juta pendatang yang masuk secara sah dan juga haram dan jumlah ini bertambah setiap tahun. Jumlah ini memberikan persamaan sebanyak 59.4 peratus daripada jumlah pertumbuhan penduduk Amerika.

Bagaimanapun peratus ini tidak termasuk catatan daripada kelahiran yang mana sebanyak 750,000 kelahiran telah dicatatkan setiap tahun. Jumlah ini samalah dengan kira-kira 86.7 peratus daripada peratus pertumbuhan penduduk Amerika.

Imigran telah menjadi salah satu faktor kepada pertambahan penduduk Amerika. Masalah daripada peristiwa September 11, sikap anti-pendatang dan juga kemerosotan ekonomi tidak juga memperlahankan kemasukan pendatang ke Amerika.

Amerika menjadi lubuk imigran kerana di situ terdapat pelbagai peluang untuk memperbaiki kehidupan mereka. Tetapi pendatang ini juga terutamanya pendatang tanpa izin telah menghasilkan pelbagai kegiatan jenayah selain mereka juga memperoleh pelbagai perkhidmatan sosial yang dibayar oleh rakyat pembayar cukai.

Pada tahun 2006, sebanyak 95 peratus jenayah yang didaftarkan di Los Angeles dilakukan oleh pendatang haram. 29 peratus penghuni penjara di seluruh Amerika terdiri daripada pendatang.

Bukan itu sahaja, dianggarkan sebanyak 12 kematian rakyat Amerika dilakukan oleh pendatang tanpa izin ini setiap hari.

Sebanyak 62 peratus mereka yang bekerja dengan dibayar tunai terdiri daripada golongan imigran ini. Sebanyak 58 peratus pelbagai bayaran kebajikan dibayar kepada golongan imigran tanpa izin ini setiap tahun.

Sebenarnya bukan mudah untuk mendapat kad hijau iaitu kad yang mengesahkan penerimaan anda sebagai penduduk tetap Amerika walaupun anda telah berkahwin dengan rakyat Amerika. Sebab itu tidak hairan kalau Amerika berhadapan dengan kebanjiran imigran yang sedia memasuki negara tersebut secara haram walaupun akan berdepan dengan pelbagai tindakan pihak berkuasa. Jika ditangkap mereka akan dipenjara atau dihantar pulang dan dilarang memasuki Amerika paling kurang lima tahun.

Filem Crossing Over arahan dan lakonlayar oleh Wayne Kramer cuba mengangkat isu yang cukup berduri di Amerika ini. Dengan mengambil kota Los Angeles sebagai latarnya, Wayne Kramer yang juga merupakan seorang imigran dari Afrika Selatan cuba untuk memahami masalah imigran ini.

Los Angeles sendiri menerima sejumlah besar imigran daripada pelbagai negara terutamanya dari Mexico yang mahu mencari kehidupan baru di sini. Max Brogan (Harrison Ford) adalah pegawai Imigresen Amerika yang sering ditugaskan membuat serbuan di kilang-kilang yang menggunakan para pekerja daripada imigran haram Mexico. Dia dibantu oleh Hamid (Cliff Curtis) yang juga merupakan anak kepada pendatang dari Iran. Bapa Hamid adalah dalam proses untuk mendapat kerakyatan Amerika.

Pada masa yang sama, Amerika yang masih belum padam daripada trauma 11 September, masih bermasalah untuk berhadapan dengan orang Islam terutamanya mereka daripada imigran. Inilah masalah yang dihadapi oleh Taslima (Summer Bishil) yang menghadapi tekanan daripada rakan-rakannya di sekolah. Akibat cuba menyuarakan pandangannya tentang jihad dalam tugasan kelasnya, Taslima disiasat oleh pihak FBI dan kemudiannya ditahan lalu dihantar pulang ke negara asalnya, Bangladesh dan memisahkan Taslima dengan keluarganya.

Budaya bebas

Bukan sahaja Taslima, keluarga Hamid yang sudah lama menetap di Amerika digambarkan sukar menerima budaya bebas di Amerika apabila adik Hamid, Zahra (Melody Khazae) yang meminati lakonan dan berpakaian seksi telah dibunuh oleh abangnya hanya kerana mahu menjaga maruah keluarga.

Crossing Over cuba melihat beberapa masalah daripada imigran ini dalam beberapa sub plotnya. Antaranya masalah Cole Frankel (Ray Liota), pegawai yang berkuasa mengeluarkan kad hijau yang mengambil kesempatan daripada kelemahan pihak imigran ini. Di pihak lain adalah Denise (Ashley Judd), isteri Frankel yang juga peguam yang memperjuangkan nasib imigran sedang berusaha mengambil anak angkat dari Nigeria.

Filem Crossing Over ini sebenarnya mempunyai subjek yang menarik untuk diketengahkan, tetapi sub-plot dalam filem ini tidak diolah dengan baik untuk menjadi sebuah cerita yang lebih meyakinkan. Ia berselirat dan bertindih seperti mana gambaran imej lebuh raya yang sering ditonjolkan dalam filem ini.

Gambaran daripada watak-watak imigran tidak begitu meyakinkan walaupun kita tahu sebahagian besar statistik jenayah dilakukan oleh pihak imigran ini.

Mengapa Max mudah bersimpati dan mengambil berat terhadap keluarga Mexico tersebut hingga mengganggu emosinya, tidak dijelaskan. Dalam filem ini Harrison Ford akhirnya menjadi pegawai yang letih dan bosan dengan kerjanya. Malah penonton juga hilang tumpuan kepada sebuah filem yang cuba menonjolkan elemen patriotisme Amerika disebalik sikap anti-imigrannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: