Tuesday, May 5, 2009

Alif Satar, Suki dan Diana Danielle begitu komited jalani Program Latihan Khidmat Negara






SABTU lalu, tatkala matahari terik membakar di atas kepala, kelihatan tiga artis remaja, Diana Danielle, Alif Satar dan Suki bersiap sedia dengan senapang M16 berisikan peluru hidup untuk memulakan latihan menembak di Lapang Sasar Batu Hampar, Bukit Jugra, Banting.

Seperti remaja lain yang terpilih mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi sesi yang bermula 19 Mac lalu, ketiga-tiganya meniarap, sabar mendengar penerangan daripada anggota tentera yang mengawasi latihan berkenaan. Selepas beberapa ketika, kedengaran tembakan yang kuat dihalakan ke papan sasaran yang berada kira-kira 100 meter di hadapan.

Selepas 20 butir peluru terhambur keluar, Danielle, Alif dan Suki bingkas bangun meninggalkan lapangan bersama lima rakan sepelatih dari Kem Princess Haliza, Sepang, untuk kembali ke khemah. Pada raut wajah mereka, jelas terbayang kepuasan setelah berjaya melakukan tembakan.

Tidak lama kemudian, Danielle melonjak gembira apabila dia muncul antara penembak terbaik di kalangan lapan pelatih sekumpulan dengannya iaitu 78 markah, diikuti Suki dengan 76 markah. Manakala Alif yang sedikit tersasar, sekadar memungut 52 markah. Kali pertama memegang senjata, apatah lagi menembak menggunakan peluru betul, ketepatan sasaran ketiga-tiga artis ini agak memberangsangkan.

Lebih-lebih lagi, semuanya mengaku agak gemuruh sebelum latihan berkenaan diadakan. Namun, sebaik saja bidikan pertama dilakukan, ketiga-tiganya cukup teruja dengan latihan itu sehingga mengharapkan agar peluang sebegitu akan menjelma lagi selepas ini. Entah mengapa, menembak bagai memberikan kepuasan tidak terhingga buat mereka.

SUKI membidik sasaran dengan tunjuk ajar anggota tentera.

"Daripada rasa gementar, ia bertukar kepada rasa tidak mencukupi pula. Memang seronok apabila kita boleh menembak menggunakan senjata M16. Tentunya, ia pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan," kata Suki yang kemudian dilihat bergegas pulang ke kem untuk bersiap sedia menghadiri pertandingan akhir One In A Million (OIAM) musim ketiga di Stadium Malawati, Shah Alam.

Begitupun bagi juara OIAM musim pertama ini, bukan aktiviti latihan menembak saja yang membuatkannya seronok berada di kem PLKN.

"Malah, banyak lagi aktiviti lain seperti pemanduan arah di hutan, memanjat dinding, latihan berhalangan dan sebagainya yang membuatkan saya amat bertuah untuk terpilih menyertai program ini," katanya.

Di kem, penyanyi ini mengaku cukup rapat bersama kumpulan rakan barunya sehinggakan ibu bapa mereka sendiri bagai sudah mengenali antara satu sama lain.

KESERONOKAN menjalani sesi latihan terpancar di muka mereka bertiga.

"Bayangkan, kalau mereka datang melawat anak masing-masing, kami juga boleh menumpang makan pelbagai hidangan lazat yang dibawa," katanya sambil tersenyum lebar.

Di situ juga, dia dapat mengenali rakan remaja yang dianggapnya kreatif serta ikhlas dalam menghulurkan kerjasama sewaktu menjayakan sesuatu tugasan yang diberikan. Kesemua itu, katanya, pasti dirindui apabila mereka menamatkan program itu pada pertengahan Mei ini.

Sementara itu, rakannya Alif melihat penganjuran program itu amat memberi makna kepada pengukuhan semangat kerjasama antara golongan muda. Di kem terbabit, jelasnya, semua pelatih adalah sama. Tiada yang dilihat lebih tinggi kedudukannya apabila semua pelatih mengenakan gaya rambut, baju dan mengikuti kelas atau aktiviti serupa.

"Saya pula bersahabat dengan semua rakan pelatih. Di sini, usah memilih kumpulan tertentu kerana kita semuanya sama. Ia turut memberi peluang kepada kami mengenali rakan dari Sabah dan Sarawak yang nyata lebih ekspresif apabila terbabit dalam sesuatu aktiviti," katanya.

Anak muda ini nyata menyukai kelas binaan diri kerana baginya kelas sebegitu memberikannya keyakinan yang lebih tinggi.

"Sebagai penyanyi, tentulah saya perlu memiliki keyakinan kerana sentiasa berdepan dengan peminat. Namun, nyata sekali, kelas binaan karakter diri yang diadakan di sini membantu saya meningkatkan lagi keyakinan terbabit. Justeru, saya lebih yakin untuk muncul dan berdepan dengan orang ramai selepas ini," katanya.

Manakala Danielle yang terpilih sebagai Timbalan Ketua Wirawati di Kem Princess Haliza sempat berpesan kepada rakan remaja yang bakal mengikuti program itu sedikit masa nanti.

"Apabila datang ke kem nanti, datanglah dengan fikiran yang terbuka. Pelatih perlu meninggalkan mana-mana ego yang ada padanya di rumah. Jangan bawa sikap itu ke tempat latihan," kata Danielle sambil menekankan, perkara paling penting yang perlu diambil berat oleh setiap pelatih ialah penjagaan disiplin.

Katanya, berada di kem bukan bermakna pelatih didera dengan pelbagai aktiviti lasak atau oleh cercaan tenaga pengajar.

"Sebaliknya, kami di sini amat dimanjakan oleh cikgu (jurulatih), asalkan kita tidak melanggar peraturan. Mereka pun akan hanya bertegas apabila kita berada dalam sesuatu kelas. Sebaik saja selesai kelas, mereka tidak ubah kawan-kawan kepada semua, dek usia yang tidak banyak berbeza," ujar pelakon filem Bohsia ini yang turut berpesan agar pelatih berkawan dengan semua rakan yang berada dalam satu kem dengan mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: