Friday, May 15, 2009

Al-Hidayah papar pengorbanan guru


SAMBUTAN Hari Guru yang akan diraikan esok sudah tentu memberi makna mendalam pada semua individu yang bergelar guru.

Meskipun sambutan hari istimewa itu kebiasaannya hanya dilakukan di sekolah, tetapi ingatan setiap anggota masyarakat pada jasa guru tidak seharusnya dilupakan.

Bagi pengacara program Al-Hidayah, Nazrah Noor Rahmat, menganggap sambutan ini suatu yang istimewa dan lebih bermakna apabila dia terbabit menjayakan programnya yang berkongsi perasaan guru ketika mengajar di sekolah.

Dalam segmen khas sempena Hari Guru yang disiarkan jam 1 tengah hari ini di TV3, program ini memilih dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Teknik, Cheras, Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur.

Kata Nazrah, 25, segmen kali ini mengajak penonton untuk mendekati kehidupan guru yang menggalas tanggungjawab mendidik pelajar. Dalam rakaman luar yang dijalankan pada 8 dan 9 April lalu, dia berpeluang menemubual guru dan pelajar untuk bercerita pengertian dan pengalaman meraikan Hari Guru.

"Selalunya, lima segmen mengisi slot program ini tetapi sempena Hari Guru, program ini ingin memberi penghargaan dan menerbitkan satu segmen khas. Berdasarkan pengalaman ketika rakaman segmen ini, ia suatu yang menyeronokkan.

"Saya sendiri berdepan cabaran untuk melakukan stand upper dan memastikan rakaman ini berjalan sempurna. Pemilihan dua sekolah berkenaan memberikan pengalaman berbeza. Menariknya, guru di Sekolah Menengah Bandar Tasik Selatan mempunyai pelajar normal dan pendidikan khas.

"Lalu, bagaimana guru mengajar dua kelompok pelajar ini memberikan tarikan dan cabaran tersendiri. Dalam program ini, saya cuba memberi fokus pada cara guru untuk mendidik mereka.

"Sekolah Menengah Teknik, Cheras pula dipilih kerana bukan saja mencatat kecemerlangan dalam bidang akademik tetapi terbaik dalam aktiviti kokurikulum. Pelajar dari sekolah ini pernah muncul sebagai pelajar cemerlang dalam sijil pelajaran Malaysia (SPM) mahupun penilaian menengah rendah (PMR).

"Malah, mereka juga aktif bersukan termasuk kreatif dalam bidang reka cipta. Antara tiga skop berbeza iaitu akademik, kokurikulum dan pendidikan khas, ia mengisi cerita untuk disampaikan dalam segmen khas kali ini," katanya.



Menerusi program ini, Nazrah akui dia tersentuh dengan sikap guru yang tabah dalam mendidik pelajar apatah lagi mengajar pelajar istimewa. Katanya, guru memainkan peranan cukup besar selain ibu bapa dalam membesarkan anak. Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim, Kulai Johor ini turut mengambil kesempatan untuk menyampaikan ucapan Hari Guru menerusi segmen khas ini.

"Ibu bapa saya juga adalah guru. Berbeza dengan ibu saya, Saidah Mohd Yaacob, bapa saya iaitu Rahmat Ibrahim adalah guru disiplin. Jika diikutkan memang ada beza antara mereka berdua dalam mengajar. Bagaimanapun, mereka tetap dihargai pelajar bila tiba Hari Guru.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: