Friday, May 22, 2009

Adam pelengkap cinta


Kieran makin selesa dengan gelaran bapa yang baru disandangnya pada 26 Februari lalu

KEHADIRAN Muhammad Adam, dua bulan setengah, setelah hampir setahun melayari bahtera rumah tangga adalah hadiah paling bermakna buat penyampai radio Hot FM, Maskiran Jakiran, 34, atau Kieran bersama isteri tersayang, Yang Azliyang Mohd Yunus, 26.

Tidak hanya dia dan isteri, bonda tercinta penyampai radio itu juga adalah antara insan yang paling seronok menyambut kehadiran orang baru dalam hidup mereka. Justeru segala perancangan mengenai majlis cukur jambul yang berlangsung di kediamannya di Kapar, Klang, Sabtu lalu adalah idea bonda Kieran.

Memandangkan sebelum ini Kieran tidak mempunyai pengalaman menimang cahaya mata, pada ibunya tempat Kieran meminta pertolongan menguruskan kenduri majlis cukur jambul yang berlangsung sederhana tetapi meriah itu. Pada sebelah pagi berlangsungnya acara marhaban dan di sebelah petang pula, Kieran menjamu saudara mara dan rakan terdekatnya.

Tiada tarikh khusus kenapa Kieran memilih untuk mengadakan majlis itu Sabtu lalu tetapi hanya pada waktu itu saja dia mempunyai kelapangan kerana tidak terikat dengan sebarang aktiviti bersangkut paut dengan siri jelajah Hot FM.

Adam yang dilahirkan pada 26 Februari lalu benar-benar melengkapkan hidup Kieran dan Yang. Memang pada mulanya, dia mengakui janggal bergelar bapa tetapi lama kelamaan semakin terbiasa dengan status barunya itu. Malah, jika sehari tidak bertemu dengan putra hatinya, perasaan rindu akan menerjah.

“Perasaan menjadi bapa amat sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Perasaan itu cukup istimewa sekali, setiap hari saya mahu segera pulang untuk berjumpa Adam. Walau penat macam mana sekali pun, perasaan itu akan segera hilang sebaik saja melihat wajah serta kerenahnya.

“Memandangkan kerja yang tidak tentu masa, saya perlu bijak membahagikan masa dan sekarang ini saya mula merancang semua perkara yang ingin dilakukan untuk memastikan dapat meluangkan lebih banyak masa bersama Adam.

“Pernah sekali dua hari berturut-turut tidak dapat berjumpa dengannya iaitu pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang lalu, perasaan rindu itu memang tak dapat digambarkan. Bagi mengubat kerinduan pada Adam, saya membawa baju yang sudah dipakainya sebagai pengubat rindu,” katanya.

Antara teman rapat Kieran yang hadir pada majlis cukur jambul itu ialah Faizal Ismail, Fara Fauzana, AG, Rostam Said, kumpulan Jinbara serta ramai lagi.

Terlalu banyak kisah pengabaian penjaga terhadap kanak-kanak yang didengari sama ada melalui rakan mahupun menerusi pembacaan menyebabkan Kieran tidak percaya menyerahkan anak kesayangannya itu untuk dijaga orang yang tidak dikenali. Buat masa ini, Adam dijaga bergilir-gilir oleh ibunya dan juga nenek isterinya.

Kata Kieran dia berasa lebih selamat apabila Adam berada di bawah jagaan keluarga. Katanya lagi, Adam lahir pada waktu yang tepat kerana ibunya tidak lagi menjaga sepupunya dan kini boleh memberikan tumpuan kepada Adam.

“Emak memang cukup seronok dengan kehadiran Adam. Dialah yang paling sibuk menguruskan kenduri cukur jambul ini memandangkan saya tiada pengalaman mengendalikan majlis sebegini.

“Jika Adam menangis di waktu malam pula, dialah orang pertama yang akan bangun dan sibuk bertanya apa yang terjadi. Kehadiran Adam memang menceriakan hidup kami sekeluarga. Buat masa ini Adam dijaga secara bergilir-gilir keluarga kedua belah pihak, sebulan di rumah saya dan sebulan lagi di rumah keluarga mentua. Mungkin satu hari nanti saya akan minta isteri berhenti kerja supaya dia dapat menumpukan perhatian membesarkan anak kami, setakat ini semuanya masih lagi dalam perancangan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: