
LEWAT kebelakangan ini, nama Tomok kembali hangat. Dalam industri hiburan, siapa yang tidak pernah mendengar nama Tomok. Nama ini selalu dipersenda. Banyak orang yang skeptikal apabila mendengar nama Tomok.
Dia digelar penyanyi dengan suara meleleh. Band yang diasaskan juga, New Boyz dilabelkan sebagai kugiran kampung.
Pendek kata, Tomok dan New Boyz macam satu virus yang menggelikan kelompok yang merasakan diri mereka orang bandar atau pejuang muzik internasional.
Tetapi nama Tomok hari ini disebut dalam nada berbeza. Ramai yang sudah mula kagum dengan penyanyi ini.
Menyaksikan kredibilitinya dalam One In A Million (OIAM), baru ramai menyedari bahawa potensi penyanyi ini bukan sekadar menyanyi lagu leleh dengan suara sedikit sengau. Namun Tomok mempunyai lebih daripada suara lelehnya itu.
Lebih-lebih lagi selepas ramai yang terkesima menyaksikan dia mendendangkan lagu Crazy In Love milik ratu hip hop, Beyonce Knowles. Mendadak terus saham Tomok naik lebih tinggi daripada kebiasaan.
Tomok yang saya temui hujung minggu lalu hanya senyum. Ringkas tapi tepat maksud bicaranya: "Saya tahu, kutukan terhadap saya sudah melimpah ruah. Tak muat ruang lagi dah." Dia ketawa. Sinis.
Dia kemudian menyambung bahawa dia seorang lelaki yang realistik. Selalu dia tanam dalam diri, dalam sejuta yang membencinya, pasti terselit orang yang sukakannya.
Dia juga tidak hidup kerana orang, lantas cacian itu hanya satu asam garam kehidupan.
Enggan pakai nama Tomok
Biarpun dia tahu ramai yang memandang dirinya sebagai penyanyi leleh dan kekampungan, kata Tomok, dia tahu siapa dirinya.
Dia pun tak mahu dilabel begitu, tetapi apabila dilabel dan sering diperkata orang, bermakna dirinya relevan.

Kerana itu, selepas 10 tahun berada dalam belantika muzik, sarat memikul hinaan orang terhadap vokal dan muzik lelehnya, Tomok berasa sudah masanya dia keluar daripada kepompong.
Lantas OIAM menjadi platform terbaik buat dia mempamer kredibiliti diri. Usia 10 tahun menjadi vokalis band yang pernah menimbulkan fenomena dengan hit Sejarah Mungkin Berulang itu mahu mengulang sejarah baru. Tapi kali ini dalam perjuangannya secara solo.
"Saya mula menyanyi pada usia 14 tahun. Usia 15 tahun, New Boyz muncul dengan album pertama yang terjual ratusan ribu unit. Kami meletup betul pada masa itu.
"Ramai orang yang mengutuk muzik leleh kami. Tapi itu yang pasaran mahukan. Suara saya pun tak pecah lagi waktu itu. Budak sangat lagi.
"Tapi sekarang, saya rasa saya sudah sedia untuk bangkit. Saya mahu buktikan pada semua bahawa saya boleh melakukan lebih daripada apa yang orang pernah lihat saya dalam New Boyz sebelum ini.
"Sebab itu saya sangat berusaha keras memperbaiki diri dan membawa pembaharuan dalam setiap imej dan persembahan saya. Saya mahu orang lihat inilah Tomok yang baru. Yang lebih matang dan lebih bersedia," katanya penuh optimis tentang misi masa depan.
Misi baru, kata Tomok, adalah dengan menaik taraf jenama dirinya sendiri. Mengaku begitu sayang dengan penggunaan nama Tomok, tapi dia mempunyai pemikiran untuk menggunakan nama sebenarnya bagi penjenamaan semula dirinya.
Kata Tomok: "Mungkin orang sudah lupa, malah ada yang tak tahu nama sebenar saya ialah Shah Inderawan. Orang hanya ingat saya dengan nama Tomok.
"Tapi kali ini saya berfikir untuk menggunakan nama Inderawan sebagai pengenalan saya bergerak solo. Saya rasa ia juga sesuai dengan usia 24 tahun dan kematangan saya."
Nak jadi juara OIAM
Mampu tersenyum dengan sokongan positif yang diberi banyak orang, terutama golongan urban, Tomok menyifatkan ia sebagai harga kesabaran dan enggan menyerah kalahnya dalam industri seni.
Sebab itu dia sangat teringin untuk menjadi juara OIAM. Dia tidak malu untuk menyatakan keazamannya itu. Kata Tomok: "Lepas saja saya selamat uji bakat dan dikritik Paul Moss dan Syafinaz, saya terus cakap pada diri sendiri yang saya nak jadi juara.
"Saya tak malu mengaku itu sebab ia membakar semangat saya untuk menjadi orang yang lebih baik.
"Selain sebab peribadi, saya nak buktikan bahawa lelaki juga boleh jadi juara dan saya mahu memecah tembok menjadi artis pertama yang menang pertandingan ini."

Bagai mampu melihat api semangat dalam matanya, misi itu harus dicapai. Sewaktu berbicara tentang masa silamnya, Tomok sesekali tersenyum. Bicaranya cukup sederhana. Sesekali dia mengangguk sendiri.
"Untuk penjenamaan yang saya mahu bina semula sekarang, saya sudah tidak perlukan glamor. Saya sudah rasa dunia glamor itu.
"Dulu masa zaman kegemilangan New Boyz, memang rasa glamor habis. Duit pun banyak. Dan sebagai remaja, tentu seronok. Tapi kemudian, masa berubah, jenis muzik pun berubah.
"Album keenam kami tak berapa menjadi. Pendapatan tidak konsisten dan kontroversi pun datang melanda," ceritanya tentang turun naik kerjayanya.
Tambah Tomok juga, dua tahun lalu, pendapatan New Boyz sangat terbatas. "Tak ada banyak undangan dan kami sempat belasah main di fun fair. Kami tak kisah, janji ada duit.
"Mujur saya juga jenis yang beringat. Alhamdulillah, walaupun dua tahun pendapatan kami tidak berapa baik, saya tidak pernah putus kewangan," katanya lagi.
Meluat perempuan mengada
Sebenarnya, Tomok meminta saya untuk tidak mengulas panjang tentang kisah peribadinya. Kata Tomok, dia mahu khalayak menumpukan perhatian terhadap kerjayanya.
Namun sebagai orang terkenal, peribadi adalah sebahagian rencah anak seni yang ingin diketahui umum.

Lantas, barangkali pernyataan sudah punya cinta daripada jejaka ini ditunggu peminat.
"Saya sudah ada kekasih. Dia bukan orang seni. Tapi kami selesa bersama kerana dia banyak menyokong kerjaya saya," katanya ringkas dan malu-malu.
Sewaktu diminta memberi kriteria seorang wanita yang boleh menakluk hatinya, Tomok terdiam lama. Mencari ayat yang sesuai agar tidak menyinggung hati wanita.
Selepas lama terdiam, dia akhirnya memilih untuk bercakap telus. Katanya: "Saya tak suka perempuan yang mengada-ngada. Tak perlu tarik perhatian lelaki dengan rengekan atau taktik. Tapi cukup kalau perempuan itu tahu diri dan menjadi diri sendiri."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: