
TITI KAMAL kini bergelar penyanyi. Satu langkah baru yang keberaniannya dikutip selepas mendapat sambutan hangat filem sulung yang menyaksikan dia berlakon sekali gus menyanyi, Mendadak Dangdut.
Katanya: "Mungkin melalui filem itu saya punya keberanian untuk menyanyi. Dulu, tak ada keyakinan diri. Tapi selepas filem tersebut mendapat sambutan yang baik, saya rasa menyanyi adalah pengalaman dan pekerjaan baru saya dalam tahun 2009."
Muncul dengan album perdana yang berisi tujuh buah lagu, single pertamanya Lebih Baik Sendiri menjadi taruhan. Kemampuannya menjadi pertikaian. Tapi, kata Titi, ia adalah satu proses yang sama seperti 13 tahun lalu sewaktu dia pertama kali bergelar pelakon.
Masih tercari arah, begitu akuinya. "Malah selepas sebulan album berada di pasaran, saya baru mendapat rentak menyanyi yang betul.
"Banyak benda perlu diperbaiki, dan itu adalah proses yang sama sewaktu pertama kali saya menjadi pelakon 13 tahun lalu. Ia mengasyikkan," katanya lagi.
Namun biacaranya kendur saat ditanya tentang pernikahan dengan kekasih sejatinya, Christian. Titi dan Christian bernikah pada Februari lalu di Australia. Namun dia enggan bercakap tentang perkahwinan itu.
"Kita di sini mahu bercakap tentang album, kan. Ya, saya sudah bernikah. Tarikhnya tak perlu lah tahu. Kami bernikah di Australia.
"Rencananya mahu nikah di Mesir kerana kalau menikah di Bali, bosan. Jadi kami mahu pemandangan yang cantik. Australia paling hampir dan lagi kami pun tak punya banyak masa," katanya sedikit kurang selesa berbicara tentang peribadi.
Tambah Titi lagi, pada awalnya mereka memang mahu merahsiakan pernikahan tersebut. Namun pihak media sudah dapat menghidu. Katanya: "Tunggu saja nanti resepsinya pada bulan Mei."
Biarpun agak tidak senang hal peribadinya diketahui umum, Titi tidak mengelak memberitahu bahawa lagu-lagu dalam album sulungnya itu banyak menyentuh tentang hubungannya dengan Christian. Lagu paling hampir ialah lagu duet bersama Drive, Resah Tanpamu.
"Christian itu selalu mendukung dan memberi komen terhadap nyanyian saya. Resah Tanpamu bercerita tentang hubungan kami selama enam tahun yang sering berjauhan.
"Ya, sedikit sebanyak album ini mengenai saya," katanya yang berharap kerjaya nyanyiannya mampu sukses seiring karier lakonannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: