Friday, April 3, 2009

Soseh Soseh: Produser tak amanah


ADA produser buat filem guna duit sendiri, ada yang pinjam bank dan tidak kurang guna duit orang atau dipanggil 'funder' iaitu orang yang membiayai sesuatu projek itu. Entahlah, SS bukan tahu sangat kerana SS tak pernah buat filem. Menonton filem adalah.

Bercerita pasal pembikinan filem, ada di kalangan produser yang tidak amanah. SS faham, kita berniaga hendak untung tetapi jangan tamak sehingga menyebabkan produk yang dikeluarkan macam 'hampeh'.

Funder ini pula ada yang tahu selok-belok industri filem dan drama ini, cuma mereka tiada kepakaran untuk membuatnya. Jadi, duit yang dikeluarkan itu memang cukup untuk menghasilkan sebuah drama atau filem yang bagus.

Tetapi masalahnya, produser yang dapat duit itu sudah mengurangkan kos produksi kerana hendak mendapat untung maksima. Misalnya kos buat satu episod drama RM15,000. Produser peruntukkan RM13,000 untuk satu episod drama manakala RM2,000 itu masuk poket dia awal-awal.

Itu keuntungan daripada satu episod, kalau produser itu buat drama 13, 26 atau 40 episod, kiralah sendiri. Kata orang, untung atas angin belum buat apa-apa duit sudah masuk.

Dengan bajet sebanyak itu, pengarah boleh cari pelakon yang bagus dan lokasi menarik. Tetapi produser kurangkan lagi kos menjadi RM10,000, maka jadilah drama itu haprak. Ini kerana dengan bajet yang ada, terpaksalah pengarah drama ambil pelakon baru yang tak tahu apa-apa pasal lakonan kerana bayarannya murah.

Pengarah itu pun pening kepala kerana kalau drama itu tak elok, nama dia juga yang busuk. Produser itu goyang kaki saja tetapi kalau pengarah tak terima tawaran mengarah drama itu, tak berasap pula periuk nasi. Jadi, apa pilihan yang dia ada buat sajalah dengan bajet diberi.

SS difahamkan, perkara sama berlaku pada seorang produser filem ini. Dengarnya, orang yang membiayai projek filemnya sanggup keluar duit dua tiga juta ringgit. Tetapi khabarnya, produser itu buat filem dengan bajet tak sampai sejuta.

Patutlah kawan-kawan SS yang pergi menonton filemnya merungut sakan kerana filem yang dibuat tak 'macam filem'. Elok lagi tengok drama TV. Tetapi produser ini seringkali mendabik dada kerana katanya filemnya bagus dan lain daripada yang lain.

Dalam hati SS kata, memanglah lain sebab orang tak buat filem macam yang awak buat. Bukan tak boleh ambil keuntungan, tapi biarlah berpada-pada.



Kalau mahu lama dalam industri, perlu jujur dan menjalankan tanggungjawab dengan baik. Kalau buat taik, lama-lama nama busuk dan orang hilang percaya. Ingatlah, dunia hiburan kita kecil, esok, lusa cerita busuk itu sampai dari satu telinga ke satu telinga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: