Thursday, April 23, 2009

Soseh Soseh: Mana kelibat pelakon


ENTAH mengapa dan di mana silapnya majlis pelancaran drama bersiri terbaru Suhan Movies iaitu Rahsia Hati sepi sesepinya, berikutan kebanyakan pelakon popular yang membintanginya tidak hadir.

Ketika majlis berlangsung terpampang wajah artis ternama di layar Mini Pawagam P.Ramlee di Finas, lokasi majlis pelancaran diadakan, hingga kalangan teman wartawan SS yang membuat liputan majlis itu berasakan drama 40 episod itu kelihatan hebat, memikat dengan nama besar.

Antara wajah dikenali membintangi drama itu termasuk Rita Rudaini, bekas anggota kumpulan Elite, iaitu Watie; Ifa Raziah dan penyanyi, Nurul yang memegang teraju utama Rahsia Hati.

Sidang akhbar patutnya bermula awal terpaksa ditunda bagi menunggu kehadiran artis popular terbabit. Bagaimanapun, sehingga majlis bermula, keempat-empat bintang jelita drama itu tidak muncul.

Mereka yang hadir hanyalah pelakon utama lelaki seperti Aaron Aziz dan Arash Mohamad termasuk pelakon pembantu seperti Rosnah Johari dan Mohd Azlan Kamiran.

Ketika ditemui wakil media, Rosyam selaku penerbit berkata dia kecewa apabila pelakon utama yang membintangi drama berkenaan tidak datang membantunya mempromosikan karya yang dihasilkan itu.

Baginya sidang akhbar penting kerana bukan saja untuk kebaikan produksi dan stesen televisyen iaitu Astro Prima yang menayangkan Rahsia Hati sebaliknya ia untuk pelakon itu sendiri.

Setidaknya, dengan adanya sidang akhbar artis dapat mempromosikan diri mereka kepada media.

Lebih membuatkan Rosyam kecewa, sebahagian mereka yang tidak hadir di majlis pelancaran itu tidak memberikan sebab mengapa mereka tidak hadir. Hal itu benar-benar membuatkan dia berasa sedih.

Nampaknya susahlah kalau hati penerbit seperti Rosyam Nor sudah terguris. Nasihat SS kepada empat artis ini cepat-cepatlah hubungi balik Rosyam bagi menjelaskan kedudukan sebenar apa yang sudah berlaku kepada mereka sehingga gagal hadir di majlis pelancaran Rahsia Hati tempoh hari.



Sebabnya kata teman rapat, Rosyam kalau sudah kecewa susah hendak dipujuk. Artis pula kalau bermasalah dengan penerbit yang aktif seperti Suhan Movie, bukan spesies penerbit suam-suam kuku, SS khuatir kelak 'dapur tidak berasap' kerana penerbit tawar hati untuk memberi peluang berlakon lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: