MINGGU lepas merupakan saringan ketiga bagi pertandingan nyanyian Bintang RTM (BRTM) melibatkan lima orang lagi peserta bersaing bagi menempatkan diri di saingan separuh akhir nanti.
Peserta pada minggu lepas ialah Amir Mukhtar (Amir), Nur Azilla Mohd Ibrahim (Zilla), Shereen Anshary (Reen), Hasfareza Harun (Eza) dan Basri AG Sharin (Basri).
Mungkin populariti yang diraih oleh BRTM ini agak kurang jika dibandingkan dengan program realiti lain seperti Akademi Fantasia dan One In A Million, namun kualiti vokal mereka juga boleh dikategorikan baik.
Berbeza dengan program-program realiti yang ada, BRTM mengadakan enam saringan peringkat separuh akhir mempunyai tema-tema tertentu setiap minggu dan minggu lepas, balada diangkat sebagai tema.
Setiap peserta perlu menyanyikan dua buah lagu penuh dan lagu bertemakan balada merupakan lagu wajib mereka.
Persembahan dimulakan oleh Amir, pemuda dari Kota Bharu, Kelantan, menyanyikan lagu Aku Penghibur dan pusingan kedua mempersembahkan lagu Harapan.
Kemudian diikuti oleh Zilla (Tua Mengejar Kita/ Menadah Gerimis), Reen (Over The Rain/ Jelingan Manja), Eza (Lepaskanlah/ Akhirnya Kini Pasti) dan diakhiri oleh Basri (Sinaran/ Mengenangmu).
Dan malam itu, rezeki memihak pada Eza dan Zilla apabila menjadi pilihan juri sekali gus secara automatik dapat beraksi di peringkat separuh akhir.
Ini menjadikan jumlah peserta setakat ini yang terpilih ke separuh akhir seramai enam orang.
Sebelum ini, Nizam, Erni, Anna dan Iqbal telah berjaya memikat hati juri untuk minggu pertama dan kedua BRTM.
Pemilihan dua orang gadis ini dibuat oleh tiga orang juri iaitu Aznul Haidi (juri tetap mewakili RTM) dan dua juri jemputan iaitu Aishah (penyanyi) serta Manan Ngah (komposer).
"Anda semua boleh menyanyi, mempunyai vokal walaupun kali pertama membuat persembahan pentas.
"Pujian dan tahniah harus diberikan kepada anda semua. Tetapi anda semua mempunyai masalah untuk penguasaan pentas dan ekspresi wajah semasa menyanyi.
"Perkara itu perlu supaya persembahan anda lebih baik serta meninggalkan impak kepada juri dan penonton,'' kata Aznul kepada kelima-lima peserta sebelum keputusan diumumkan.
Bagi Basri, Reen dan Amir, peluang masih lagi terbuka apabila nasib mereka bakal ditentukan oleh kuasa sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).
Orang ramai diberi kuasa sepenuhnya untuk memilih peserta kegemaran antara ketiga-tiga mereka ini untuk terus berada di BRTM dan beraksi di satu lagi pusingan sebelum layak merebut gelaran juara BRTM tahun ini.
Untuk undian SMS ini, Shiqal mendapat undian tertinggi pada minggu pertama, diikuti oleh Farah pada minggu kedua, menjadikan peluang mereka di BRTM masih terbuka.
Berdasarkan perspektif Hits, masih terlalu banyak aspek yang perlu dititikberatkan oleh peserta-peserta BRTM pada minggu-minggu akan datang.
Melihat kepada persembahan minggu lepas, tidak dinafikan, peserta-peserta mempunyai kualiti suara yang baik apatah lagi seawal pemilihan mereka, pihak RTM lebih menumpukan kepada kualiti vokal.
Namun dari aspek persembahan pentas dan penghayatan, masih perlu dipelajari dan diperbaiki.
BRTM disiarkan pada setiap hari Ahad pukul 8.30 malam di saluran TV2, RTM.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: