|
 |
| AHLI jawatankuasa Anugerah Perdana Seniman Malaysia 2009 (APSM2009) yang dijadualkan berlangsung esok hingga 6 April ini di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak mulai sibuk melakukan persiapan. |
Setiausaha Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan dan Persembahan, Yusuf Kelana sewaktu dihubungi menjelaskan, dia bersama beberapa ahli Seniman sudah berada di sana sejak 31 Mac lalu bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar.
"Majlis anugerah yang diwujudkan Seniman ini bakal berlangsung dengan gilang gemilang memandangkan 180 ahli sudah mengesahkan kehadiran mereka.
"Ini kali pertama ia diadakan di Sarawak. Bagaimanapun seperti diketahui umum, memang Seniman cuba menganjurkannya di negeri berbeza setiap tahun dengan tujuan merapatkan hubungan artis dan masyarakat.
"Kali pertama dianjurkan di Alor Star, Kedah, ia sangat berjaya apabila disertai hampir 200 ahli dan masuk kali kelima penganjurannya, kehangatannya masih lagi sama. Malah kali ini, penyertaan turut membabitkan ramai artis popular dan ternama," katanya.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai penganjuran APSM2009, jelas Yusof, selain acara kemuncak, beberapa aktiviti lain turut diatur terutama oleh pihak Kerajaan Negeri Sarawak yang bertindak sebagai penaung majlis.
"Sebelum acara APSM2009 berlangsung pada malam 5 April, pada sebelah siangnya kita akan adakan sukan rakyat bersama penduduk tempatan. Keesokan harinya, delegasi akan dibawa melawat beberapa tempat menarik di sekitar bandar Kuching sebelum pulang," katanya.
Menyentuh mengenai anugerah yang bakal diberikan kepada penggiat seni, jelas Yusof, ahli jawatankuasa memilih pemenang berdasarkan beberapa kriteria yang sudah ditetapkan.
"Pertama, kita melihat artis itu pernah meraih kemenangan di luar negara menerusi bakat yang dipertaruhkan dalam filem atau lakonannya mendapat pengiktirafan tertinggi di sini.
"Selain itu, kita turut mengiktiraf mereka yang mempunyai kelebihan lain seperti contoh pakar dalam bidang kesan khas, sekali gus mampu meningkatkan mutu penerbitan filem tempatan.
"APSM2009 turut mengiktiraf artis yang usianya sudah mencecah lebih 50 tahun tetapi pada waktu sama, sepanjang pembabitan dalam bidang lakonan sudah memberikan banyak sumbangan.
"Bagaimanapun, nama pemenang kita tidak boleh umumkan sekarang. Ia hanya akan diketahui pada malam majlis berlangsung," katanya.
Tahun ini, anugerah utama iaitu Anugerah Perdana Seniman Agung Tan Sri P Ramlee akan diberikan kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
"Anugerah ini diberikan kepadanya kerana Taib sendiri seperti diketahui umum peminat setia P Ramlee. Banyak usaha dilakukan beliau dalam mengembangkan karya dihasilkan Seniman Agung itu di kalangan anak muda dengan mewujudkan pelbagai pertandingan nyanyian dan tiru gaya P Ramlee.
"Selain itu, Taib turut mempunyai semua koleksi filem lakonan dan arahan P Ramlee dan usahanya itu seharusnya dijadikan contoh kepada anak muda sekarang dalam menghargai perjuangan anak seni," katanya.
Di samping mengiktiraf sumbangan dan usaha dilakukan warga seni, penganjuran malam anugerah itu dilihat sebagai pentas untuk mengumpulkan barisan artis veteran serta generasi baru dalam dunia seni tanah air.
Selain turut memeriahkan acara pembabitan artis Singapura sebagai tetamu jemputan dan turut menjayakan persembahan, antaranya Neng Yatimah, Zaiton, Hashimah Yon, Momo Latif, Wahid Satay dan Zaini Satar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: