Friday, April 24, 2009

Sedekad Kris di Malaysia


kemunculan Kris Dayanti (kanan) sentiasa dinanti ramai. Persembahan diva terkenal Indonesia itu tidak pernah membosankan kerana Kris sangat bijak menghiburkan peminat-peminatnya.


TATKALA seorang guru bahasa Inggeris di salah sebuah sekolah di Sabah, Dayang Noraini Sahari beraksi di pentas akhir Sinaran Pasport Kegemilangan anjuran TV3 pada 1998, ramai yang tertanya-tanya akan judul lagu yang dinyanyikannya iaitu Menghitung Hari.

Masakan tidak, ketika peserta lain berlumba-lumba menyanyikan lagu popular Ziana Zain dan Datuk Siti Nurhaliza, Dayang sebaliknya memilih lagu yang ketika itu agak kurang popular nyanyian Kris Dayanti.

Sungguhpun begitu, Menghitung Hari bukan sahaja membawa seribu satu kenangan manis buat Dayang apabila diumumkan sebagai juara tetapi juga kepada penyanyi lagu berkenaan yang secara tidak langsung mula mencipta populariti di Malaysia.

Bermula detik itu, bukan sahaja Menghitung Hari semakin meniti di bibir-bibir peminatnya malah membuka ruang kepada Kris Dayanti untuk menembusi dan melebarkan pengaruh seni serta lagunya.

Dan, pada saat itu juga, album Menghitung Hari mula dipasarkan di negara ini meski di Indonesia pada tahun tersebut, Kris telah menghasilkan sekitar 10 buah album termasuk album duet bersama suaminya, Anang.

Bukan sahaja album, juara Asia Bagus pertama di Jepun pada tahun 1993 ini juga turut diundang mengadakan konsert sulungnya di sini sekitar 1999 yang mendapat sambutan hebat apabila peminat memenuhi ruang tempat duduk di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Kini, selepas lebih 10 tahun berlalu, nama Kris tetap utuh dan kehadirannya masih dapat diterima di kalangan peminatnya di negara ini.

Biarpun penyanyi baru silih berganti, ia tidak

menghalangnya untuk bersama mewarnai dunia hiburan.

"Alhamdulillah sudah lebih 10 tahun saya menempa nama di Malaysia. Syukur kerana masyarakat Malaysia masih meletakkan dan memberi harapan kepada saya untuk mengisi undangan persembahan.

"Lagu-lagu saya juga masih diputarkan di radio-radio. Juga terima kasih kepada peminat-peminat di Singapura," katanya ketika ditemui selepas mengadakan persembahan di

Minggu Setiausaha anjuran Quality Hotel di Matrade, Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Ujar Kris, sepanjang meniti populariti di negara ini, dirinya tidak lupa berterima kasih kepada artis, peminat dan media Malaysia kerana telah banyak membantunya mencipta nama di luar lingkungan negaranya.

"Artis-artis Malaysia pun bagaikan sudah menjadi teman baik saya sendiri. Apabila ada persembahan, pasti mereka akan saya hubungi untuk meminta bantuan dalam pelbagai perkara seperti urusan pakaian dan sebagainya," jelasnya.

Ditanya mengenai saingan yang diterimanya daripada artis baru baik di Malaysia mahu pun Indonesia, Kris memberitahu, kesemua mereka dilihat cukup bagus kerana menampilkan elemen-elemen baru.

"Di Indonesia sendiri, banyak muncul band-band yang kini menjadi kegilaan dan mereka dilihat kuat dalam bersaing.

"Justeru, menjadi artis seperti saya, kualiti dan karakter harus bersatu. Syukur juga kerana muzik saya masih dapat diterima," katanya.

Menurutnya, menghimpit ke usia 34 tahun dan penglibatannya dalam bidang seni sudah memasuki tahun ke-20, Kris harus menyedari hakikat bahawa usianya semakin bertambah.

Untuk itu, katanya, dia perlu pantas memikirkan serta menghasilkan sesuatu yang baru untuk terus bertahan.

"Suami saya juga selalu menekankan bahawa saya harus kuat berusaha," jelasnya.

Album duet bersama Siti Nurhaliza

Sementara itu, kepada soalan tentang perkembangan terbarunya, Kris menjelaskan, kerja-kerja penghasilan album duetnya bersama penyanyi ternama Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza akan dimulakan tahun ini.

Katanya, album itu akan memuatkan enam buah lagu yang mana empat daripadanya adalah dinyanyikan secara duet.

"Dua buah lagu lagi adalah lagu lama saya dan Siti Nurhaliza yang pernah hits satu ketika dahulu. Empat buah duet itu dipecahkan dua iaitu dua daripadanya dihasilkan oleh pencipta lagu Malaysia dan selebihnya dari Indonesia," ujarnya.

Kata Kris, album duet itu tercetus ketika dirinya dijemput untuk bertandang ke rumah Siti dan suami pada November tahun lalu.

"Insya-Allah semoga tahun ini album itu akan dapat diselesaikan dan dipermudahkan kerja-kerjanya," jelas adik kepada penyanyi Yuni Shara ini lagi.

Selain album duet, Kris berkata, dia dan Melly Goeslow punyai kerjasama baru dalam menghasilkan sebuah lagu tema untuk filem Ketika Cinta Bertasbih berjudul Menanti Cinta.

Mengenai kontrak dengan Warner Music Indonesia, jelas Kris, ia tidak lagi bersama syarikat rakaman itu sejak 2007 dan kini bergerak atas label sendiri, KD Records.

Harapan masa depan

Berganjak daripada berbicara tentang perkembangan seni, Kris turut ditanya apakah harapan dirinya menjelang 10 tahun mendatang.

Mahu terlibat dalam kerja di belakang tabir, harapannya hanya satu iaitu memastikan kebahagiaan diri dan keluarga.

"Mudah-mudahan suami saya akan terus sayang dan menyintai saya.

"Semangat saya dalam bidang seni pastinya sama. Ketika itu, saya bukan sahaja mahu berada di hadapan tetapi terlibat dalam kerja-kerja belakang tabir," katanya.

Ujar Kris, 10 tahun mendatang juga menyaksikan anak-anaknya semakin membesar dan memerlukan perhatian yang lebih.

Menghiburkan setiausaha

Dalam pada itu, persembahan Kris di Minggu Setiausaha anjuran Quality Hotel sememangnya tidak perlu dipersoalkan lagi.

Tampil menyanyikan 10 buah lagu antaranya Menghitung Hari, Pilihlah Aku, Cinta, Joget dan Mahadaya Cinta, Kris turut menghiburkan peminatnya dengan sebuah lagu yang pernah dipopularkan oleh Nora, Di Persimpangan Dilema.

"Setiap tahun saya menantikan undangan Minggu Setiausaha. Ini merupakan tahun kelima saya menjayakan minggu tersebut.

"Sudah lima tahun, saya seharusnya memikirkan sesuatu yang baru berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Tetapi, perubahan tidak dapat dilakukan 100 peratus kerana saban tahun, pasti ada permintaan untuk saya membawakan lagu-lagu hits saya," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: