Thursday, April 9, 2009

Saya bayar rumah Nash...SOSILAWATI

HULU KLANG: “Memang rumah yang diduduki Nash di Shah Alam atas namanya tapi saya yang bayar,” kata pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages, Sosilawati Lawiya, 45, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, semalam.

Sosilawati yang diwakili peguam syarie, Datuk Zaidi Zain berkata demikian ketika memberi keterangan dalam permohonan taklik terhadap suaminya, vokalis kumpulan Lefthanded, Nash atau Jamaluddin Elias, 49.

Katanya, mereka bernikah pada 16 November 2006 di Batu Pahat, Johor, sebelum Nash (defendan) didakwa keluar dari rumah 13 Ogos 2007.

ZAIDI: Adakah puan dengar lafaz taklik yang dilafazkan oleh suami?


SOSILAWATI: Ya.

ZAIDI: Adakah lafaz taklik ini tercatat pada sijil pernikahan?

SOSILAWATI: Ada.

ZAIDI: Apakah alasan puan dalam permohonan taklik ini?

SOSILAWATI: Dia (Nash) sudah melanggar taklik itu.

ZAIDI: Apa perkara taklik itu?

SOSILWATI: Dia meninggalkan saya lebih daripada empat bulan.

ZAIDI: Pada hari pertama perkahwinan, puan dan Nash tinggal di mana?

SOSILAWATI: Saya dan suami tinggal di rumah saya di Taman Harmonis, Gombak.

ZAIDI: Dalam tempoh 10 bulan perkahwinan, puan dan suami tinggal di mana?

SOSILAWATI: Taman Harmonis.

ZAIDI: Pernah tinggal di Shah Alam?

SOSILAWATI: Pernah.

ZAIDI: Dalam tempoh 10 bulan itu banyak tinggal di Shah Alam atau Taman Harmonis?

SOSILAWATI: Taman Harmonis.

ZAIDI: Adakah defendan membawa pakaian dan kelengkapan diri ke rumah Taman Harmonis? Kuantiti?

SOSILAWATI: Ada. Lebih daripada 20 baju, kasut, semua serba lengkap.

ZAIDI: Adakah puan bawa pakaian ke rumah di Shah Alam?

SOSILAWATI: Tidak ada.

ZAIDI: Kenapa?

SOSILAWATI: Kerana Taman Harmonis adalah tempat tinggal kita berdua.

ZAIDI: Kita yang dimaksudkan?

SOSILAWATI: Suami saya.

ZAIDI: Jika pergi rumah di Shah Alam, berapa lama?

SOSILAWATI: Tidur saja di sana, pagi balik semula ke rumah.

ZAIDI: Adakah dalam tempoh 10 bulan, suami pernah ajak untuk tinggal menetap di Shah Alam?

SOSILAWATI: Tidak ada.

ZAIDI: Defendan kata rumah itu (di Shah Alam) disediakan olehnya?

SOSILAWATI: Tidak benar. Memang rumah itu atas nama suami tapi saya yang bayar.

Terdahulu dalam prosiding mahkamah, peguam Amli Embong yang mewakili Nash membangkitkan isu ‘kemudaratan harta benda’ yang dikemukakan Sosilawati dalam tuntutan takliknya atas alasan tidak relevan.

“Untuk maklumkan Yang Arif, isu ‘kemudaratan’ langsung tidak timbul dalam kes hari ini (semalam) kerana permohonan injunksi (sebelah pihak) untuk menahan duit dan hartanah plaintif di Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini sudah dibatalkan.

“Mohon mahkamah memerintahkan plaintif membuat pindaan terhadap penyata tuntutan kerana ia tidak menunjukkan sandaran tepat kepada permohonan taklik yang dibuatnya,” katanya.

Sementara itu, Zaidi dalam hujahnya membantah isu itu dan meletakkan tindakan yang dibuat defendan sebagai tidak menghormati mahkamah serta pihak pemohon.

“Sewajarnya bantahan ini dibuat lebih awal. Hari ini (semalam) ditetapkan untuk perbicaraan. Sepatutnya tidak ada gangguan. Isu yang dibangkitkan lebih kepada kesimpulan, seolah-olah mereka adalah hakim menentukan apa yang boleh dan tidak dimasukkan dalam penyata tuntutan.

“Semua penyataan kami ini dikemukakan pada masa material iaitu sebelum keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam dikeluarkan. Soal perintah injunksi itu dibatalkan tidak ada bersangkut paut dengan kes ini,” katanya.

Kata Zaidi lagi, isu harta itu belum diputuskan dan anak guamnya masih mempunyai hak untuk mengemukakannya, oleh itu beliau meminta mahkamah menolak permohonan peguam Nash itu.

Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Mohammad dalam keputusannya menolak permohonan pihak defendan dan meminta plaintif meneruskan perbicaraan.

Bagaimanapun, selepas beberapa soalan dikemukakan Zaidi, pihak defendan mempertikaikan dokumen yang digunakan Sosilawati selain membangkitkan isu peguam itu ‘membimbing’ wanita itu ketika menjawab soalan.

Keadaan di mahkamah panas seketika apabila beberapa isu itu dibangkitkan sehingga menyebabkan hakim menegur dan mengingatkan pihak terbabit untuk menghormati suasana mahkamah.

Mahkamah menetapkan 26 Mei dan 23 Jun ini untuk sambung bicara serta berharap kes dapat berjalan dengan lancar.

Sosilawati memfailkan tuntutan cerai taklik pada 2 Januari lalu selepas mahkamah sama pada 12 November tahun lalu mengesahkan kedua-dua mereka masih pasangan suami isteri yang sah.

Nash melafazkan sumpah nafi dia tidak melafazkan cerai terhadap Sosilawati melalui telefon pada jam 8.30 malam 12 September 2007.

Sosilawati dalam tuntutannya sebelum ini mendakwa dia yang bernasib malang menjadi lebih malang apabila Nash melakukan kemudaratan terhadap harta bendanya kerana gagal memulangkannya.

Harta itu membabitkan pelaburan RM400,000 dalam Amanah Saham Bumiputra (ASB) dan Amanah Saham Wawasan (ASW), pinjaman suaminya RM480,000 untuk rumah serta wang pelaburan dalam Public Mutual RM500,000 yang didaftarkan atas nama Nash.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: